SEBANYAK RM1.5 juta diperuntukkan oleh kerajaan Kelantan sebagai pemberian sagu hati kepada 2,500 peniaga yang terkesan akibat pembatalan bazar Ramadan di negeri ini.
Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan
Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, pemberian sagu hati berkenaan diberikan kepada semua peniaga yang
berdaftar di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri dalam masa terdekat.
“Kita memahami bahawa setiap kali musim Ramadan,
bazar Ramadan merupakan punca kepada peniaga kecil. Kita sudah menjangkakan
kerugian akan dialami mereka kerana tidak meneruskan bazar ini.
"Kita cukup faham, ada sesetengah peniaga sudah beli barang. Oleh itu, sagu hati ini diberikan atas kesusahan mereka. Kita berharap dengan sedikit pemberian ini dapat meringankan beban mereka,” katanya di Kota Bharu, yang dipetik oleh Sinar Harian, pada Selasa 13 April 2021.
Pembatalan bazar Ramadan tersebut kata Dr Izani dilakukan secara drastik kerana keadaan peningkatan jumlah jangkitan Covid-19 yang tidak stabil di negeri ini serta kadar kebolehjangkitan yang tinggi.
Kerajaan juga bimbang sekiranya jumlah kes Covid-19
berterusan yang berkemungkinan besar akan menyebabkan Kelantan melaksanakan
semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tegas beliau, keputusan untuk melaksanakan PKP atau
PKP Bersyarat (PKPB) adalah daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Jabatan Kesihatan Negeri akan memberikan laporan
kepada MKN dan jika keadaan semakin tidak terkawal, kapasiti hospital tidak
cukup dan sebagainya, dari situlah keputusan untuk melaksanakan PKP akan
diputuskan oleh MKN, dan bukan kerajaan negeri," ujarnya.
Sehubungan itu beliau turut meminta kerjasama seluruh
rakyat untuk terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang
ditetapkan.
“Sekiranya kes meningkat, kita berada dalam PKP,
rakyat akan susah. Kerajaan juga akan susah dan ekonomi akan kembali merudum,"
katanya. - KitaReporters
Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporters