Menurut kenyataan YKAT dalam akaun Facebooknya (https://www.facebook.com/ykat2012/), sumbangan yang telah disampaikan pada Isnin, 6 April 2020 adalah daripada dana yang diperolehi daripada kerajaan sejak penubuhannya pada tahun 2012.
Dana tersebut digunakan secara berhemah oleh pihak pengurusan YKAT untuk menjalankan pelbagai aktiviti seni juga membantu dalam kebajikan artis-artis tanah air.
Pengurusan YKAT yang dianggotai pemegang Amanah iaitu Datuk DJ Dave, Datuk M Nasir, Datuk Nash, Datuk Yusof Haslam, Datuk Nancie Foo, Mejar Jenderal Datuk Hj Khairudin, Kanagarajan dan Colin Edmonds.
Menurut kenyataan itu, dalam tempoh Peringkat Kawalan Pergerakan (PKP) ini, pihak YKAT sebulat suara ingin membantu artis-artis yang benar-benar memerlukan bantuan ini.
Sumbangan barangan ini dihantar secara terus kepada artis-artis berkenaan di alamat rumah masing-masing dengan kerjasama Pasaraya Lulu Group Sdn Bhd.
Pelakon keturunan Cina Gan Hui Lan menunjukkan sumbangan yang diterima daripada YKAT.
Antara artis-artis yang menerima sumbangan adalah Hamid Gurkha, Papa Rawi, Abu Bakar Juah, Mak Jah, Poe Rampa, Kogilarani, Balakrishnan, Alfred Ho, Lim Kong Tuck dan Goh Cheng Hock.
Menurut YKAT, sumbangan akan tetap diteruskan kepada artis-artis yang memerlukan dan diharap sumbangan ini dapat meringankan beban mereka.
Sejak ditubuhkan pada 2012, yayasan itu telah membantu lebih 1,000 orang artis termasuk di Sabah dan Sarawak yang ditimpa kesusahan seperti sakit, kemalangan serta waris artis yang telah meninggal dunia.
YKAT dahulu dikenali sebagai Yayasan Artis 1Malaysia dan bertukar nama sejak 5 Jun tahun 2019. - KitaReporters