SEORANG wanita yang terpisah dengan dua adik kandungnya daripada keluarga ketika tragedi pembahagian India-Pakistan pada 1947 tidak menyangka teknologi mampu menyatukan hubungan adik beradiknya.
Malah 24 April 2022 lalu menjadi tarikh keramat kepada tiga beradik itu berjumpa dan berpelukan selepas 75 tahun terpisah.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan adik beradik
Mumtaz Bibi, 75, dari keluarga Sikh yang terpisah dengan dua adik kandungnya, Gurmukh Singh dan Baldev Singh dipertemukan semula buat pertama kali di kuil Kartarpur Sahib Gurwara di Pakistan.
Mumtaz berkata, dia tidak menyangka hasrat untuk bersatu dan berjumpa dengan adik beradiknya sebelum menutup mata menjadi realiti selepas sekian lama berusaha mencari adik beradiknya kandungnya.
Sementara itu Gurmukh Singh pula mengakui sangat teruja dipertemukan semula dengan kakaknya.
Pada tahun 1947, tragedi pembahagian kepada dua negara, India dan Pakistan telah memberi kesan kepada jutaan penduduk di kedua-dua negara.
Hampir 12 juta penduduk menjadi pelarian manakala setengah juta pula dibunuh dengan kejam dalam tragedi berdarah.
Keganasan tersebut turut menjejaskan keluarga kami, kata Gurmukh yang kini berusia 70-an.
Kongsinya, bapa mereka, Pala Singh dari Pakistan berhijrah ke daerah Patiala, Punjab, India selepas isterinya terbunuh dalam keganasan berkenaan.
“Apabila dia mengetahui isterinya meninggal dunia dan menyangka anak perempuannya juga dibunuh.
"Perpindahan berkenaan dibuat selepas terlalu sedih dan kecewa dengan kematian isterinya,” kata Baldev Singh.
Namun Mumtaz Bibi dijumpai keluarga Islam yang mengambilnya sebagai anak angkat dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang di Pakistan.
Malah ketika usia remaja lagi, Mumtaz melakukan usaha mencari dua adik lelakinya namun tidak berhasil.
Baldev berkata, bagaimanapun kira-kira dua tahun lalu, anak lelakinya berjaya menemukan kakaknya selepas memuat naik kisah pencarian tersebut dalam media sosial.
Mumtaz juga yang turut melakukan pencarian berkenaan tidak menyangka hasrat untuk bersatu dengan adik beradik kandungnya menjadi realiti walaupun tidak pernah bertemu sepanjang usianya.
Sementara itu Gurmukh pada peringkat awalnya melahirkan rasa keraguan apabila dipertemukan dengan kakaknya.
Bagi mencari kepastian berkenaan dia telah menghubungi seorang pekerja kedai yang pernah tinggal sekampung dengannya di daerah Sheikhupura, Pakistan.
“Dia juga yang menyatukan kami dua beradik dengan kakak kesayangan kami, walaupun tidak membesar bersama namun darah yang mengalir di badan kami adalah sama, itu menyebabkan hubungan kami menjadi erat,” kata Gurmukh lagi.
Kini tiga beradik itu berjanji untuk terus mengeratkan hubungan walaupun berlainan agama.
“Biarpun kami kini berlainan agama namun darah yang mengalir dalam badan kami tetap sama dan akan hubungan akan diteruskan sehingga akhir hayat kami,” kata Mumtaz lagi. - KitaReporters