Insan & Komuniti 12 Feb, 2021

Siapa Tok Ujang! Rakan pasukan Lt Adnan Saidi! Prebet Ujang Mormin berjuang hingga akhir hayat

@amil abdullah saiby
Berkhidmat di Utusan Melayu(M)Berhad selama 35 tahun,Jawatan terakhir disandang ialah Pegawai Penyelidik Kanan Jabatan Editorial Utusan. Pengalaman: Wartawan sambilan di Mingguan Timur,Utusan Malaysia dan Kosmo. Penulis buku "coffeetable" Transformasi

Share this

Prebet Ujang Mormin semasa zaman muda  dalam kenangan. - Kredit foto: Koleksi Allahyarham.


Satu lagi kehilangan besar kepada negara apabila Prebet Ujang Mormin, anggota veteran tentera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang lebih mesra disapa sebagai Tok Ujang, telah kembali ke rahmahtullah pada jam 5.05 petang Selasa, 9 Februari 2021 lalu di Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Kematian Allahyarham disahkan oleh cucu saudara perempuannya, Lailawati Jamil, 59, ketika dihubungi oleh agensi berita Bernama.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan anggota tentera:

https://kitareporters.com/search?search=tentera



“Pihak hospital ada menghubungi saya selepas empat hari dimasukkan ke hospital. Saya ada membuat panggilan video dan bertanyakan perkembangan arwah atuk.

“Pihak hospital memaklumkan keadaannya kritikal dan arwah akhirnya menghembuskan nafas pada petang Selasa, 9 Februari 2021,” kata beliau.

Lailawati berkata kali terakhir beliau berjumpa datuknya ialah pada awal Januari 2021 lalu di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, Kuala Lumpur.


Pahlawan negara, Prebet Ujang Mormin dalam kenangan. - Kredit foto koleksi Allahyarham.


Pada 26 Januari 2021 lalu, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh apabila dikesan sebagai positif Covid-19  dan ditempatkan wad ICU sebelum akhirnya dia meninggal dunia.

Allahyarham yang berusia 99 tahun lapan bulan, dilahirkan pada  14 Jun 1921 di Kampung Kundur, Rembau, Negeri Sembilan dan pernah berkahwin sebanyak dua kali serta mempunyai empat orang anak. 


Leftenan Adnan Saidi merupakan rakan seperjuangan Allahyarham Ujang kita bersama-sama melawan tentera Jepun di Singapura.


Allahyarham pernah berjuang dalam batalion sama bersama dengan wira negara Allahyarham Leftenan Adnan Saidi ketika menentang penjajah Jepun di Singapura ketika Perang Dunia Kedua.

Sepanjang hayat Allahyarham berkhidmat sebagai anggota tentera dia pernah berkhidmat dengan angkatan Tentera British pada tahun 1939 sebelum diserap ke Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 1942.

Ketika itu Allahyarham baru empat bulan menjalani latihan ketenteraan di kem tentera di Port Dickson sebelum dihantar ke Gap Ridge, Singapura untuk menentang tentera Jepun.

Allahyarham kemudiannya ditempatkan di sebuah kubu pertahanan terakhir British di Bukit Chandu, Singapura di bawah Leftenan Jeneral Arthur Perchival bagi melawan kemaraan tentera Jepun yang diketuai Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita.

Allahyarham kemudiannya ditugaskan bersama Leftenan Adnan Saidi serta beberapa anggota RAMD lain menuju ke sebuah kubu lain di Bukit Chermin.

Malangnya, Leftenan Adnan gugur di perbatasan pada 14 Februari 1942 setelah beberapa hari bertempur dengan musuh.

Allahyarham Ujang turut mengalami kecederaan tangan dan kaki akibat terkena letupan bom dari serangan musuh dan lebih seminggu pertempuran berlarutan sehingga pasukannya kehilangan nyawa ramai anggota dan menyebabkan ketiadaan bekalan makanan dan minuman.

Pada malam hari Singapura jatuh ke tangan Jepun, ketua kompeninya, Mejar Henry berkata kita sudah kalah dan memberitahu bahawa dia dan rakan-rakannya ada dua pilihan sama ada menyerah diri sebagai tawanan perang atau menanggalkan pakaian seragamnya (tentera) dan melarikan diri.

Akhirnya, Allahyarham telah membuat keputusan (tanggal uniform) menjadi orang awam untuk melarikan diri balik ke kampung halamannya di Rembau, Negeri Sembilan.



Perjuangan Allahyarham bersama Leftenan Adnan Saidi menentang Jepun dalam Perang Dunia Kedua telah mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Bristish apabila dikurniakan pingat War Medal dan Pacific Star bagi mengenang jasa mereka yang telah berkhidmat bersama tentera British sepanjang tahun 1939 hingga 1945 selain menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM). 

Sebagai menghargai jasa dan pengorbanannya mempertahankan kedaulatan Tanah Melayu, jenazah Allahyarham telah disemadikan di Pusara RAMD Port Dickson, Negeri Sembilan. 

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta soleh. Al-Fatihah. -KitaReporters


Sumber: 

https://kliqnewsmedia.com/2021/02/09/ujang-mormin-veteran-perang-dunia-kedua-meninggal-dunia/

https://www.sinarharian.com.my/article/13281/BERITA/Nasional/360-veteran-ATM-terima-Pingat-

5
0
1
1
0
You will be interested