‘BIARLAH rahsia’! Seolah-olah mengambil sempena judul lagu popular Datuk Seri Siti Nurhaliza itu. Berapa harga sebenar Kasut Emas Liga Perdana Satu 2002 yang dibeli oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 14 September 2020 daripada pemenangnya, Muhamad Khalid Jamlus? : KitaReporters
TROFI Kasut Emas Liga Perdana Satu 2002 dianggap mempunyai nilai tinggi kerana Khalid Jamlus mendakwa, perlu bersaing dengan ramai penyerang import handalan sebelum meraihnya. - Kredit foto: Pejabat Diraja Selangor.
Lagi cerita-cerita berkaitan bola sepak:
https://kitareporters.com/search?search=bola+sepak
Adakah RM10,000? Atau sehingga RM50,000 seperti ketika bidaannya kepada umum mula-mula dibuka KJ25 (akronimnya), lebih dua bulan lalu.
Bagaimana dengan RM99,999 yang pernah ditawarkan bakal pembeli yang menggelar diri, ‘Tuah Nice’, menurut bekas penyerang Malaysia itu dalam laporan media pada 25 Julai 2020 lalu?
Laman sosial Facebook rasmi Pejabat Diraja Selangor tidak pula mendedahkan nilai sebenarnya, cuma menyebut: “Tuanku Sultan Selangor berkenan membelinya pada satu nilai yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.”
SULTAN Sharafuddin Idris Shah (kiri) menerima trofi Kasut Emas daripada Khalid di Istana Alam Shah, Klang. - Kredit foto Pejabat Diraja Selangor.
Khalid, 43, yang memenangi anugerah itu selaku penjaring terbanyak musim 2002 setelah menyumbat 17 gol buat Perak mengulas dalam laman Facebooknya, Khalid jamlus 25: “Ampun Tuanku. Walaupun perjuangan saya bersama Selangor tidak begitu lama (musim 2005 hingga 2006), Tuanku masih menghargai jasa saya bersama Selangor dan (pasukan) kebangsaan.
“(Saya) cukup terharu. Daulat Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya dalam laman Facebook KJ 25, beberapa jam selepas majlis penyerahan ringkas trofi Kasut Emas itu di Istana Alam Shah, Klang.
Lapor Pejabat Diraja Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan agar trofi Kasut Emas Liga Perdana Satu 2002 itu diletakkan di Muzium Galeri Bola Sepak Selangor yang terletak di pekarangan Istana Alam Shah, Klang.
KHALID mencipta nama dengan Perak, berhijrah ke Selangor dan kembali ke Perak. - Kredit foto FB Ahmad Syahieran.
Anak jati Ipoh, Perak ini pernah menyarung jersi Merah Kuning di bawah kendalian Dollah Salleh, malah membantu pasukan itu membolot gelaran trebel (Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia).
Sepanjang bersama Gergasi Merah selama dua musim, Khalid dikatakan agak tenggelam malah kehadiran pemain Indonesia, Bambang Pamungkas dan Brian Fuentes dari Argentina yang kerap memuncak, menyempitkan laluannya ke kesebelasan utama.
Hanya sembilan gol dan 27 penampilan yang mampu diukirnya dengan Selangor.
KHALID merakamkan sesuatu yang menarik minatnya ketika berkunjung ke Muzium Galeri Bola Sepak Selangor di pekarangan Istana Alam Shah. - Kredit foto Pejabat Diraja Selangor.
Dia memulakan kariernya dengan Perak malah menjulang Piala Malaysia 1998 dan 2000, Liga Perdana Satu 2002 dan 2003, Piala FA 2004 dan Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah 1999 bersama Sang Seladang.
‘Sahamnya’ melonjak ketika itu sehingga pernah cuba ‘dipinang’ Kedah dengan tawaran gaji yang jauh lebih lumayan sebelum memilih berhijrah ke Selangor dan kembali ke Perak, 2007 hingga 2008, Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia.
Karier KJ 25 selaku pemain bola sepak berakhir pada 2012 termasuk selepas mencatat 25 penampilan antarabangsa dan 10 gol dari 1998 hingga 2005 dengan pencapaian terbaik, tempat ketiga Piala AFF 2004 buat pasukan negara.
Dia nekad melelong trofi Kasut Emas itu selepas khidmatnya selaku penolong jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak disambung dan terpaksa menganggur malah kesempitan hidupnya yang tular pada laman sosial mendapat perhatian banyak pihak.
Antaranya termasuk Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan kerajaan negeri Perak. - KitaReporters
MUZIUM Galeri Bola Sepak Selangor di Klang, menghimpunkan khazanah bersejarah dan pencapaian hebat pasukan Merah Kuning. - Kredit foto Pejabat Diraja Selangor.