Insan & Komuniti 26 May, 2020

Hikmahnya PKP: Dapat jadi imam, baca khutbah, solat bersama!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

“SAYA amat bersemangat dan begitu teruja untuk mengimamkan solat Aidilfitri kepada anak dan cucu walaupun terpaksa menyampaikan khutbah dalam keadaan duduk kerana ruang solat yang sempit selain merasakan situasi begitu lebih mesra dan santai," kata bekas tentera Mohd Diah Mohamad Yunus yang dihubungi di Kampung Bukit Punggor Alai, Melaka. : KitaReporters


Mohd Diah Mohamad Yunus sedang menyampaikan khutbah Solat Aidilfitri kepada anak dan cucunya sambil duduk. 


“Arahan supaya menunaikan solat Aidilfditri di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu amat wajar kerana secara tidak langsung memberi peluang kita mengeratkan hubungan silaturrahim,” tambahnya ketika dihubungi petang Isnin, 25 Mei 2020.

Pesara FELCRA, Abdul Razak Ismail, pula berkata jika dulu dia hanya mendengar khutbah yang disampaikan arwah bapa beliau di surau di kampungnya, tetapi tahun ini, kerana PKP Bersyarat (PKPB), dia pula membaca khutbah solat Aidilfitri untuk ahli keluarga.

Beliau yang kini menetap di Kampung Sekayu, Kuala Berang, Kuala Terengganu, ketika dihubungi menganggap bagaikan satu hikmah apabila PKP bagi membanteras penularan Covid-19 memberinya peluang untuk mengimamkan solat Aidilfitri serta membaca khutbah. 

Abdul Razak Ismail membaca teks khutbah Solat Aidilfitri daripada sumber telefon bimbit.


Bagi Ramza Abdullah dari Kampung Pasir Hor, Kelantan, pula berkata, PKP itu ibarat norma baharu dalam masyarakat yang menuntut generasi muda seperti dia untuk membimbing ahli keluarga dalam agama seperti mengimamkan solat Aidilfitri di rumah.

“Walaupun berasa kekok khusus ketika membaca khutbah di depan ibu dan bapa serta adik-beradik tetapi sebagai menyahut seruan kerajaan berikutan PKP demi kesejahteraan bersama perkara itu menjadi mudah untuk dilakukan,” katanya.

Ramza Abdullah sedang menyampaikan khutbah Solat Aidilfitri untuk adik-beradik dan kedua-dua ibu bapanya. 


Sementara itu, Wahab Yusuf dari Cheras, Selangor, pula melahirkan rasa sayu apabila dapat menunaikan solat Aidilfitri bersama-sama ahli keluarga di rumah berikutan PKP kerana sebelum ini mereka akan ke masjid atau surau menunaikan ibadat itu.

“Kita terpaksa lalui norma baharu dalam hidup ini walaupun ruang solat dalam rumah tidak seluas surau atau masjid, namun ahli keluarga dapat berkumpul menunaikan solat Aidilfitri dan mendengar khutbah yang sampaikan menantunya,” kata Wahab yang bertindak sebagai imam.

Wahab Yusuf (kanan) bersama-sama anak mendengar khutbah Solat Aidilfitri yang disampaikan menantu beliau, Muhammad Khairul Nizam Jaffari.


Jirannya, Mhd Shah Abdul Hamid, berkata sebaik sahaja pelaksanaan PKP dia dan keluarga terus memanfaatkan nikmat beribadah di rumah dengan menunaikan solat fardu dan tarawih berjemaah secara tidak langsung mengimarahkan bulan Ramadan.

“Apabila tiba waktu untuk menunaikan solat Aidilfitri dia berasa tidak kekok kerana sering bergilir-gilir dengan menantu yang menetap bersama-sama di rumah saya untuk menjadi bilal atau imam solat,” katanya.

Mhd Shah Abdul Hamid (barisan depan kiri) menunaikan Solat Aidilfitri bersama-sama anak dan menantu.


Bagi Anuar Ahmad dari Batu Pahat, Johor, menunaikan solat Aidilfitri kemudiannya diikuti khutbah di rumahnya berikutan PKP secara tidak langsung mengeratkan hubungan silaturrahim antara suami dengan isteri dan anak-anak.

“Hikmah Covid-19 dan pelaksanaan PKP ini kita tidak sedari banyak kebaikan di sebaliknya seperti penerapan nilai didikan Islam menerusi khutbah yang kita baca untuk didengari ahli keluarga,” katanya.

Anuar Ahmad sedang menyampaikan khutbah Solat Aidilfitri di rumahnya di Parit Jabar, Senggarang, Batu Pahat, Johor.


Kakitangan kerajaan di Kota Bharu, Kelantan, Abdul Wahab Ismail, berkata PKP itu seolah-olah termakbul hajatnya selama ini untuk menjadi khatib dan imam solat Aidilfitri kepada ahli keluarga.

“Sebelum ini saya kadang-kadang tidak dapat membawa semua ahli keluarga menunaikan solat itu di masjid atau surau kerana pelbagai masalah seperti kesibukan waktu kerja termasuk pada hari raya,” katanya.

Abdul Wahab Ismail sedang membaca doa selepas menunaikan Solat Aidilfitri. 


Aminuddin Sarmiran dari Kampung Endah, Kuala Langat, berkata menunaikan solat Aidilfitri bersama-sama keluarga di rumah memberi peluang kepada dia dan anak-anak lelaki bergilir-gilir melaungkan takbir raya sebelum menunaikan solat itu.

“Sebelum ini, kami hanya sebagai jemaah dan mengikuti sahaja apabila hadir ke masjid atau surau untuk bertakbir, tetapi pada hari raya, saya menjadi imam solat Aidilfitri dan adik ipar pula menyampaikan khutbah,” katanya.

Aminuddin Sarmiran melaungkan takbir raya bersama-sama ahli keluarga sebelum mengimamkan Solat Aidilfitri di rumahnya di Kampung Endah, Kuala Langat, Selangor. 

43
1
0
0
0
You will be interested