Tidak lama dahulu menjadi tular pernikahan yang diadakan di luar pagar rumah seorang kadi.
Hari ini Sabtu, 18 April 2020 berlaku akad nikah yang lebih canggih apabila dilaku secara dalam talian.
Pernikahan ini melibatkan pasangan Muhammad Don Haadi Don Putra, 29, dan Nahdatul Aishah Mohd Sharif, 29.
Lebih menarik perhatian ramai adalah mereka merupakan pasangan pengantin pertama di Malaysia yang melalui fasa pernikahan ini disebabkan sekatan pergerakan akibat pandemik Covid-19, yang telah dilanjutkan sehingga 28 April 2020 selepas dilaksanakan sejak 18 Mac 2020.
Menerusi laporan yang dipetik dari portal Alhijrah Online, majlis pernikahan pasangan pengantin ini telah dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Memandangkan ini merupakan pasangan pengantin pertama di Malaysia yang mengadakan akad nikah secara online, maka ia turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook Live Berita AlHijrah.
Kredit foto: AlHijrahNews.com
Menerusi video tersebut juga memaparkan bapa pengantin perempuan, Mohd Sharif Khamis menjadi wali dengan dengan dua orang saksi dan hanya beberapa orang tetamu.
Majlis bersejarah ini turut disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail.
Majlis akad nikah pasangan adalah selaras dengan ketetapan terbaharu JAWI pada 17 April 2020 untuk memberi kelonggaran kepada pasangan yang ingin bernikah secara dalam talian.
Bagaimanapun, segala garis panduan dan ketetapan yang terdapat di borang permohonan perlulah dipatuhi oleh kedua-dua pengantin yang ingin melaksanakan akad nikah secara sidang video atau video conference. - KitaReporters