Insan & Komuniti 02 Jul, 2023

Video| Program korban kukuhkan ukhuwah! 200 sukarelawan, penduduk kampung di pusat jagaan Mahmudah!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


LEBIH 200 sukarelawan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk Kampung Sungai Purun turun bergotong-royong menjayakan Program Korban Hari Raya Aidiladha 2023 Pusat Jagaan Mahmuda Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor, pada 29 Jun 2023.

Mereka yang datang dengan membawa peralatan seperti pisau untuk melapah dan kapak untuk memotong tulang lembu berjaya melancar urusan penyembelihan enam ekor lembu dan dua ekor kambing yang berakhir sebelum masuk waktu solat Zuhur.

Pengerusi PJMM, Azman Rasman, berkata kehadiran sukarelawan NGO dan penduduk kampung terbabit amat dialu-alukan dalam memupuk budaya kesepakatan serta persaudaraan menjayakan program komuniti termasuk menyempurnakan ibadat korban itu.


Agihan tugas dengan baik kepada semua sukarelawan dan penduduk kampung bersikap ringan tulang membantu melancarkan urusan korban di PJMM. 


Menurutnya, sebelum bergotong-royong melaksanakan ibadat korban itu mereka yang hadir terlebih dahulu menunaikan solat sunat Aidiladha di surau PJMM, bersarapan bersama kemudian mendengar taklimat ringkas mengenai syarat penyembelihan korban termasuklah kaedah mengumpul daging korban.

Tambahnya, langkah itu penting bagi memastikan longgokan daging lembu yang siap dilapah termasuk tulang yang dipotong itu tidak bercampur dengan lembu lain sebagaimana ditetapkan dalam ibadat korban.

“Walaupun baru kali pertama bertemu pada program itu mereka yang hadir mampu berkomunikasi serta bekerjasama dengan baik bagi melancarkan urusan penyembelihan korban dan tidak tergendala disamping menggembirakan hati semua,” katanya.


Sukarelawan dan penduduk kampung  turut bersama-sama melapah dua kambing.


Azman berkata, daging lembu yang dikorban itu termasuk daripada penyertaan individu dan NGO diagihkan kepada pusat tahfiz, rumah anak yatim, keluarga asnaf atau miskin dan pusat jagaan sekitar Semenyih untuk sama-sama menikmati daging sembelihan korban.

Menurutnya, daging korban itu juga diagihkan kepada sukarelawan dan ahli NGO yang turun padang membantu menyempurnakan urusan sembelihan haiwan korban serta melapah dan memotong daging korban di samping sebelum bersurai turut menikmati jamuan ringkas daripada menu daging korban.


Ahli sukarelawan dan penduduk kampung bergotong-royong melapah lembu pada Program Korban Hari Raya Aidiladha 2023 Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor pada 29 Jun 2023.


Penasihat 1 PJMM, Mohiadin Bahado, berkata program korban itu berlangsung dalam suasana kombinasi terbaik apabila mendapat kerjasama daripada sukarelawan pelbagai NGO dan penduduk kampung sekitar PJMM. 

Jelasnya, selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) wabak Covid-19 lebih tiga tahun lalu, program korban itu merupakan pengumpulan terbesar orang ramai khususnya sukarelawan di PJMM untuk melaksanakan aktiviti komuniti.

“Pembabitan daripada orang ramai dalam program kemasyarakatan atau komuniti juga menjadi usaha PJMM untuk menyemai budi pekerti mulia apabila mereka diberi peluang menyantuni warga emas yang hidup tanpa waris atau disisih keluarga,” katanya.


Sukarelawan dan penduduk kampung memotong daging dan tulang sebelum dimasukan ke dalam plastik untuk diagihkan.

Timbalan Yang Dipertua Badan Didikan Islam UDA Holdings Berhad (Badim), Azhar Yop, pula berkata Badim berasa bertuah kerana diberi peluang untuk menyertai program korban berkenaan kerana dapat mengagihkan daging korban kepada pusat tahfiz, rumah anak yatim dan keluarga asnaf. 

Jelasnya, dengan cara ini pengagihan daging korban akan bertepatan sebagaimana yang disyaratkan dalam syariat Islam supaya mereka yang jarang atau amat sukar untuk menikmati daging kali ini berpeluang merasainya.

“Di samping itu program ini berjaya memupuk silaturahim mereka yang hadir mewakili pelbagai NGO dan penduduk kampung bergading bahu melaksanakan ibadat korban dan mengambil iktibar daripada kisah ibadat korban yang menjadi sunat dilakukan umat Islam,” ujarnya.


Wakil pusat tahfiz menerima agihan daging korban daripada Pengurus PJMM, Sazali Mohiden.


Pengurus PJMM, Sazali Mohiden menagihkan daging kepada sukarelawan dan penduduk kampung.


Sementara itu, bersempena menyambut Hari Raya Aidiladha 1444H ini, 60 belia dari Taman Delima, Kajang, Selangor mengambil inisiatif dengan mengorbankan masa dan tenaga berganding bahu bergotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Batu 13, pada 18 Jun 2023.

Berbekalkan pelbagai peralatan seperti mesin rumput, gergaji rantai, parang dan sebagainya digunakan bagi membersih tanah perkuburan dengan menebas semak samun serta pokok yang mencacatkan pemandangan kawasan sekitar.

Mengetuai program itu, Mohd Khairi Rahman, berkata bagi mengukuhkan ikatan ukhuwah antara remaja di taman berkenaan mereka bersepakat pula mengadakan sembelihan korban seekor lembu pada 1 Julai 2023.

“Sebagai tanda kesyukuran dan memenuhi tuntutan ibadat korban kami agihkan daging itu kepada penduduk sekitar taman di samping kepada keluarga remaja terbabit,” ujarnya. - KitaReporters


Sebahagian belia dari Taman Delima, Kajang, Selangor menyertai gotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Batu 13 bersempena Hari Raya Aidiladha.

29
11
1
13
0
You will be interested