APABILA sebut hubungan seorang nenek dan cucu, tidak perlu diperjelaskan lebih lanjut, kasih sayang mereka sangat luar biasa!
Malah, tidak salah jika dikatakan seorang nenek akan menyayangi cucunya melebihi anaknya sendiri.
Mungkin sekiranya boleh ditukar dengan nyawa sendiri, seorang nenek sanggup melakukan demi insan kesayangan tersebut.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan hadiah
Begitulah juga dengan kisah unik yang berlaku kepada seorang jemaah haji wanita dari Jawa Tengah, Indonesia yang sanggup menyarung beberapa pasang baju pada badan sendiri selepas terlalu banyak beli-belah setelah selesai menjalani ibadah rukun Islam kelima.
Namun disebabkan bagasi yang terhad iaitu 32 kilogram bagi setiap jemaah haji yang disediakan, nenek berkenaan sanggup menyarungkan beberapa lapisan bagi membolehkan bagasi yang ada digunakan untuk meletakkan hadiah dan buah tangan yang dibeli khas kepada cucu-cucunya.
Bukan itu sahaja dia juga membawa sejadah yang dibeli dari Tanah Suci itu bersama sepanjang di pesawat berikutan bagasi yang penuh.
Nenek yang dikenali sebagai Siti Khusnul itu dikatakan memakai empat lapis baju ketika berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz Jeddah ke Indonesia.
Namun apabila tiba ke tanah airnya, wanita warga emas itu berkata, dia sanggup menyarung empat lapis pakaian berikutan beg yang dibawa terhad selain bagi membolehkan anak-anak patung unta yang dibeli kepada tujuh cucu diletakkan di beg berkenaan.
Katanya dia melakukan sedemikian kerana penumpang tidak dibenarkan untuk membawa barangan berlebihan selain bagasi dan beg tangan yang telah ditetapkan.
Lebih mengejutkan lagi, tindakan menyarungkan empat lapis baju itu dibuat ketika cuaca di Jeddah mencecah 38 darjah Celsius.
Kongsi wanita itu walaupun nampak luar biasa dengan pemakaian yang tebal, namun dia tidak kisah dengan tanggapan orang lain kepadanya semata-mata bagi memastikan buah tangan kepada cucu dapat diberikan.
“Memang ramai yang memandang jelik kepada saya sepanjang perjalanan ini namun itu tidak penting, kerana buah tangan untuk cucu-cucu ini lagi penting.
“Lagi pun ole-ole istimewa hanya boleh diperoleh di Tanah Suci Mekah sahaja dan tiada di Indonesia,” kongsinya yang dipetik hajitimesindonesia.co, pada 18 Julai 2022.
Inilah bukti kasih sayang seorang nenek terhadap cucu-cucunya, walaupun terpaksa menahan panas dan tidak selesa lebih tujuh jam dalam perjalanan namun segala-galanya tidak menjadi masalah demi tersayang.
Beruntungnya cucu-cucu nenek Siti Khusnul, memiliki nenak yang kaya kasih sayang!
Semoga nenek Siti Khusnul terus diberikan kesihatan yang baik dan bahagia di samping anak dan cucu!. - KitaReporters