.
Seseorang anak yang memiliki nilai kasih sayang sudah pastikan tidak sanggup meminggirkan ibu atau bapa mereka di pusat jagaan untuk meneruskan kelangsungan hidup terutama yang sudah uzur dan menghidap pelbagai penyakit.
Mereka sepatutnya memupuk nilai keimanan itu untuk menyantuni dengan penuh bertanggungjawab kerana seorang anak seharusnya menyedari pengorbanan ibu bapa tidak ternilai sehingga seseorang itu berjaya dalam kehidupan.

Wan Jemizan Wan Deraman menyuapkan potongan kek kepada seorang warga emas.
Timbalan Nazir Masjid Bandar Tun Hussein Onn (MBTHO),
Cheras, Selangor, Ustaz Wan Jemizan Wan Deraman, berkata seseorang anak juga tidak
sepatutnya mengambil langkah untuk mengakhiri ibu atau bapa di pusat jagaan
sedangkan mereka berkemampuan untuk menjaga atau menguruskan dengan baik.
Menurutnya, jagalah hati dan perasaan ibu bapa dengan
memupuk kasih sayang serta rahmati mereka dengan menitipkan doa untuk
kesejahteraan selain hindari bersikap buruk atau sombong sekali pun dengan
hanya mengeluarkan keluhan ‘ah’ atau sebagainya.
“Ibu atau bapa akan berasa gembira dan tenang jiwanya jika keadaan diri mereka yang uzur kerana menghidap pelbagai penyakit disantuni dengan penuh kasih sayang seorang anak tanpa meninggikan suara walaupun berasa terbeban,” ujarnya lagi.

Sukarewalan cilik menyuapkan potongan kek kepada seorang warga emas yang uzur dan terlantar di atas katil.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Ziarah Prihatin Sukarelawan Cilik MBTHO di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor pada 4 Mei 2025.
Turut hadir pada program itu, Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; Ketua Biro Pemuda MBTHO yang juga Pengarah Program, Md Fettri Hasbullah; 40 ahli sukarwelawan cilik dan 20 pengiring.
Pada program yang masuk kali ketiga itu, Wan Jemizan
mendahului acara menyuap kek kepada warga emas termasuk yang terlantar di atas
katil yang kemudian diikuti sukarelawan cilik, di samping mengagihkan duit raya.
Wan Jemizan menyifatkan program berkenaan ibarat melentur buluh biarlah daripada rebungnya kerana usaha murni membawa sukarelawan cilik ke PJMM dapat memupuk nilai kasih sayang dan menghormati ibu bapa.

Sukarelawan cilik mengambil makan tengah hari untuk dimakan bersama warga emas.
Tambahnya, nilai murni yang mulia itu wajar dipupuk dari awal usia dan apabila berkunjung ke pusat jagaan berkenaan mereka dapat melihat
sendiri nasib warga emas yang disisihkan oleh anak atau saudara mara bagi meneruskan
kehidupan.
Menurutnya, ia menjadi contoh serta memberi kesedaran kepada
generasi muda itu untuk tidak melakukan perkara sedemikian sebaliknya memikul
tanggungjawab seorang anak sehingga ke hujung nyawa ibu bapa mereka.
“Saya juga berharap masyarakat di luar sana untuk terus memberi sokongan dan membantu pusat jagaan seperti ini dengan menghulurkan pelbagai bentuk sumbangan kerana mereka beroperasi tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada penghuni,” ujar Wan Jemizan lagi.

Wan Jemizan menghulurkan sumbangan untuk PJMM kepada Azman Rasman.
Sementara itu seorang peserta yang ditemui, Aleesya Az Zahra
Md Fettri, berkata dengan mengikuti program berkenaan dia dapat mengetahui
mengenai nasib warga emas yang dipinggirkan sanak saudara hatta anak sendiri
bagi meneruskan kehidupan sebarang kara.
Menurutnya, namun begitu kita tidak boleh membuat andaian
sendiri tanpa mengetahui cerita sebenar, mengapakah seseorang warga emas itu
terpaksa berlindung di pusat jagaan kerana masih ada anak-anak sanggup
berkorban untuk menjaga ibu bapa mereka yang uzur.
“Bagi anak yang tiada pilihan kerana terpaksa meninggalkan
ibu atau bapa di pusat jagaan seharusnya mengambil ikhtibar untuk datang ziarah
mereka supaya nilai kasih sayang terus terjalin,” katanya.
Bagi Muhammad Shah Azzam Rantissi Muhammad Shahimi pula,
peluang menziarah warga emas di pusat jagaan itu membuka mindanya untuk menjadi
seorang anak yang bertanggungjawab malah sentiasa menghormati serta mengasihani
ibu dan bapa.
“Walaupun program ziarah ini hanya beberapa jam sahaja namun acara menyuapkan warga emas dengan potongan secebis kek amat berasa terharu kerana reaksi mereka itu umpama merindui seorang anak atau cucu yang berbuat demikian,” ujarnya. - KitaReporters

Sukarelawan cilik MBTHO merakamkan kenangan bersama pengiring dan pengurusan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia.