.

Ewan Valentine
Kalau sudah tertulis rezeki, memang tidak ke mana. Seorang lelaki menarik nafas lega kerana tanpa disedari membeli semula Honda Civic miliknya hanya beberapa minggu selepas ia dicuri di Solihull, West Midlands, United Kingdom.
Pada mulanya, Ewan Valentine kecewa apabila Honda Civic Type R yang dibelinya sembilan tahun lalu telah hilang. Ia disedari apabila teman wanitanya yang ingin memandu kereta tersebut ke tempat kerja, namun telah tiada di tempat letak kereta.
Setelah membuat laporan di balai polis berhampiran dan berurusan dengan pihak insurans, untuk menggembirakan sedikit hatinya, dia secara perlahan-lahan mula mencari kenderaan lain sebagai pengganti dalam beberapa laman sesawang menjual kereta.

Kenderaan jenis Honda Civic Type R yang dimiliki Ewan Valentine yang hilang di tempat letak kereta.
Hendak dijadikan cerita Ewan mula tertarik dengan sebuah kenderaan yang hampir sama dengan Type R yang hilang itu namun mempunyai plat pendaftaran yang berbeza.
"Apa yang saya lihat, kenderaan itu kelihatan begitu sempurna. Saya pergi ke pusat jualan tersebut untuk melihat sendiri kereta itu, tetapi saya rasa pertimbangan saya agak kabur.
"Oleh kerana terfikir yang betapa terdesaknya saya untuk menggantikan kereta yang baharu hilang itu, jadi saya tidak mahu melakukan pemeriksaan dengan teliti, apa yang saya buat terus sahaja membelinya," kata Ewan yang berusia 36 tahun kepada Yahoo News UK.

Kereta kesayangan milik Ewan yang dicuri.

Sama walaupun plat pendaftaran yang berbeza.
Dengan itu, kata Ewan, tanpa berlengah terus membayar 20,000 pound ($26,800) untuk Honda Civic yang berwarna hitam itu, tetapi tidak lama kemudian dia mula perasan sesuatu yang pelik di dalam kereta tersebut.
Jelasnya lagi, susulan itu dia mula melakukan pemeriksaan dan menjumpai khemah dan beberapa pokok Krismas yang masih ada dalam kereta baharunya itu.
"Saya semakin teruja dan terus memeriksa dan mula menjumpai beberapa pembalut hadiah yang memang saya tinggalkan di dalam kereta tersebut, malahan lebih meyakinkan apabila terdapat satu bau bir melekat dalam kereta tersebut kerana pernah secara tidak sengaja memecahkan botol bir satu masa dulu.
"Saya mula memandu pulang dan pada masa sama, berfikir sendirian tentang keadaan itu adakah semua ini secara kebetulan. Jadi saya tiba-tiba mendapat idea untuk menyemak kembali sejarahnya.

"Nah!!! Apa yang saya jumpai dalam rekod. Terdapat alamat saya, ibu bapa dan juga pasangan saya serta senarai tempat yang kami pernah lawati sejak beberapa tahun sebelum kehilangan kereta tersebut.
"Kemudiannya tersedar bahawa telefon saya disambungkan serta-merta setiap kali kereta itu meninggalkan garaj, dan ia tidak perlu memasang peranti baharu. Jadi, jelas bahawa ia adalah kereta saya," katanya.
Selepas menghubungi polis, Ewan mengetahui nombor pengenalan kenderaan (VIN) tidak sepadan dengan kereta lamanya kerana pencuri telah bersusah payah untuk menggantikannya.
Katanya, namun ia juga terdapat kesan calar di enjin, manakala plat timbul pada bingkai pintu yang mana telah digantikan dengan pelekat, dan nombor siri enjin pula telah dicat.
"Ia kereta saya. Mereka melakukan pemeriksaan lanjut, memasang komputer riba ke dalam kereta, dan berjaya mencari nombor VIN asal.
"Mereka berjaya ketika cuba mendapatkan nombor VIN, walaupun ia sukar dicari," ujanya lagi.
Setakat ini, bukti yang dikumpul oleh pihak polis menunjukkan bahawa penjual kereta terpakai tersebut juga tidak dapat mengesan ia merupakan kereta curi. Penjual tersebut rupanya turut terpedaya dengan tipu helah pencuri itu. - KitaReporters
