Pencalonan di Kuala Kedah ini sebenarnya satu anugerah untuk Mak Teh. Banyak yang cakap Mak Teh atau Datuk Dr Mashitah Ibrahim sebagai orang luar, sedangkan di Kola Kedahlah, ‘playground’ Mak Teh waktu kecil.
Teringat waktu arwah bapanya mengajar di SK Teluk Kechai, Mak Teh dan kawan-kawan akan bermain di luar, makan buah cermai. Manis penuh nostalgia.
Orang Kuala Kedah panggil arwah, Cikgu Haji Ibrahim. Andai, dahulu Haji Ibrahim berkhidmat sekarang anak dia mohon izin untuk berkhidmat di kawasan ini.
Lagi
Alhamdulillah, percaturan Allah SWT itu sangat hebat.
Dalam salasilah keluarga arwah bapa pun masih ramai menetap di Kuala Kedah dan Mak Teh tidak pernah ketinggalan menziarahi mereka.
"Jadi mohon jangan persoalkan niat Mak Teh untuk berkhidmat di sini.
"Teras perjuangan Mak Teh pastinya menyentuh pembelaan nasib penduduk di Kola Kedah tanpa mengira batas kaum dan peringkat," tegas Dr Mashitah.
Waktu bertemu dengan orang-orang masjid, banyak yang mereka utarakan. Banyak berkaitan kewangan.
Insya-Allah, kata Dr Marshitah, beliau merancang nak wujudkan tabung khas untuk membantu mereka yang memerlukan kalau terpilih sebagai wakil rakyat nanti.
Dalam pada itu, pencalonan Dr Mashitah Ibrahim sebagai calon BN bagi Parlimen Kuala Kedah terus mendapat sokongan termasuk masyarakat bukan Melayu.
Mereka menyedari tanpa kerajaan yang stabil terutama semasa berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH), banyak perancangan yang dibuat kerajaan BN untuk memajukan Kuala Kedah sebelum ini terbantut.
"Banyak masalah yang dihadapi penduduk tempatan gagal diatasi apabila berlaku pertukaran kerajaan terutama pada peringkat kerajaan negeri Kedah.
"Antara yang ketara yang dihadapi penduduk ialah kekerapan gangguan bekalan air bersih.
"Bagi nelayan pula, hidup mereka terkesan setelah bantuan bulanan yang diberikan oleh kerajaan BN dulu dihentikan oleh kerajaan PH," kata Dr Mashitah.
Kini masyarakat Cina dan India di Kuala Kedah nampaknya kembali menyuarakan sokongan secara terbuka kepada BN.
Dalam sesi perjumpaan antara calon BN dengan pemimpin masyarakat Tionghua baru-baru ini, mereka menyatakan sokongan padu bagi membantu BN kembali memenangi semula Parlimen Kuala Kedah.
Sementara itu, agensi Kemas atau Jabatan Kemajuan Masyarakat cukup istimewa bagi Dr Mashitah.
"Bermula sebagai sekolah buta huruf, Kemas mencelikkan rakyat untuk mengenal huruf, menulis, membaca.
"Kemas mengajar wanita dan ibu di kampung-kampung kemahiran memasak, menjahit, menggubah dan sebagainya," katanya.
Menurut Mashitah, insan yang menyampaikan ilmu kepada rakyat dan memberi manfaat kepada orang adalah baginya, 'hero yang tidak didendangkan.'
Katanya, guru-guru Kemas sebenarnya adalah antara insan terpilih dalam kalangan manusia oleh Allah SWT.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan perjumpaan dengan guru-guru Kemas di Kuala Sungai Baru, Kuala Kedah baru-baru ini. - KitaReporters