Insan & Komuniti 17 Aug, 2024

Video| Kemunculan Orang Minyak gemparkan penduduk! Rupanya gimik filem! Benarkah ada Orang Minyak?

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

 


'Orang Minyak' cuba mencabul Salmah Ahmad dalam satu adegan filem 'Orang Minyak'.


SUASANA di beberapa  tempat awam di Singapura kelam kabut. Orang ramai menjerit sambil berlari ke sana sini cuba menyelamatkan diri. Lembaga hitam berkilat, badan licin diselaputi minyak tiba-tiba muncul di tengah orang ramai menyebabkan mereka terkejut dan lari bertempiaran.

Kemunculan ‘Orang Minyak’ ini mengejut dan menakutkan mereka yang lalu lalang, menjadikan suasana kelam kabut. Peristiwa ini menjadi bahan berita menggemparkan di Singapura dan terpampang di dada akhbar.


Dari kiri Kuswadinata, Dollah Sarawak, Yem dan Nordin Ahmad dalam filem 'Orang Minyak'.

Tetapi rupanya yang muncul itu bukan orang minyak sebenar, tetapi adalah gimik oleh Studio Cathay Keris Film Productions (Cathay-Keris) sebagai promosi filem ‘Orang Minyak’ keluaran syarikat itu pada 1958. Sebelum filem itu memasuki pawagam, syarikat membuat gimik untuk menarik perhatian ramai.

Tambahan lagi ketika itu studio saingan, Malay Film Productions (MFP) juga sedang bertungkus lumus menyiapkan sebuah filem mengenai 'Orang Minyak'. Namun filem Cathay-Keris siap dahulu. Tayangan filem berkenaan bermula pada 12 Februari 1958.

Bagaimanapun promosi agresif Cathay-Keris sehingga menimbulkan huru hara ini menyebabkan pihak polis memberi amaran keras. Syarikat itu diarah menghentikan promosi sedemikan atau dikenakan saman dan tindakan undang-undang.


Seniwati Latifah Omar menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan 'Orang Minyak' sempena tayangan filem tersebut pada 1958.


Namun gimik promosi tersebut ternyata berjaya membuahkan hasil. Filem arahan L. Krishnan dengan bintang utama antaranya Nordin Ahmad, S Roomai Noor, Salmah Ahmad, Kuswadinata dan Dollah Sarawak itu memperoleh kejayaan besar, memecah box-office.

Untuk menyerikan lagi tayangan filem dan sebagai penghargaan kepada penonton, sempena tayangannya Cathay-Keris mengadakan pertandingan ‘Orang Minyak’. Para pemenang menerima hadiah daripada seniwati Latifah Omar.


'Serangan Orang Minyak' yang dibintangi Latifah Omar dan M Amin merupakan sambungan filem 'Orang Minyak'.

Kejayaan filem ‘Orang Minyak’ mendorong Cathay-Keris menerbitkan filem sambungan bertajuk ‘Serangan Orang Minyak’. Diarahkan oleh R Krishnan, filem ini dibintangi oleh M. Amin, Nordin Ahmad, Latifah Omar, Shariff Medan, Udo Umar dan Wahid Satay. Filem ditayang pada 22 November 1958.


Seniwati Salmah Ahmad, antara bintang utama filem 'Orang Minyak'.


Ilham menerbitkan ‘Orang Minyak’ adalah berdasarkan kisah benar yang berlaku di Singapura. Sejak tahun 1930-an, kes-kes aduan melibatkan serangan Orang Minyak telah dilaporkan di Singapura. Lembaga tersebut dapat ditangkap pada tahun 1940. Namun kes berulang pada tahun 1954.

‘Orang Minyak’ sekali lagi menggemparkan Singapura pada 1957 melibatkan kes jenayah di mana beberapa orang wanita telah dicabul. Antara lokasi serangan ‘Orang Minyak’ ialah kawasan perumahan Clementi, Alexandra, Ayer Rajah dan Changi.

Menurut laporan kepada polis, 'Orang Minyak' hanya memakai seluar dalam dan menyapu dirinya dengan campuran minyak kelapa dan jelaga. Ini menyebabkan badan jadi licin dan sukar untuk ditangkap.

Pada 26 Oktober 1957, ‘Orang Minyak’ yang disyaki dikesan bergegas keluar daripada sebuah rumah di Kampung Alexandra. Dia dilibas dengan parang oleh seorang penduduk yang sedia menunggu hingga cedera parah. Tetapi dia dapat melarikan diri.

Ekoran peristiwa itu, kisah ‘Orang Minyak’ mencabul wanita pada waktu malam telah menjadi bahan perbualan hangat dalam kalangan orang ramai setiap hari baik di warung, pejabat, kedai dan sebagainya.


Wajah 'Orang Minyak' dalam filem bertajuk sama yang ditayang mulai 12 Februari 1958.


Studio Cathay-Keris dan MFP mengambil kesempatan daripada kisah sensasi ini untuk dibawa ke layar perak. Kedua-dua studio ini berebut untuk menyiapkan filem dengan cepat. 

Namun Cathay-Keris mendahului dengan tayangan ‘Orang Minyak’ pada Februari 1958. 

Intipati atau jalan cerita filem ‘Orang Minyak’ adalah sama dengan kisah sebenar.  ‘Orang Minyak’ yang membuat huru hara dalam kampung dan mencabul wanita pada waktu malam.


'Sumpah Orang Minyak' arahan P Ramlee keluaran MFP ditayang pada April 1958.


Filem ‘Orang Minyak’ yang diterbitkan oleh Studio MFP bertajuk ‘Sumpah Orang Minyak’ arahan P Ramlee yang juga merupakan antara filem terbaik arahannya. Filem yang dibintangi oleh Sri Dewi, Saleh Kamil, Rahmah Rahmat, Haji Mahadi dan Daeng Idris ini ditayangkan pada April 1958. - KitaReporters

10
13
0
8
0
You will be interested