Insan & Komuniti 24 Oct, 2024

Musafir timba ilmu! 30 pelajar Pondok Taklim dan Tahfiz Minhajul Abidin kunjungi tempat berpengajaran!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Pelajar lelaki dalam kalangan anak yatim, asnaf, miskin dan mualaf menyampaikan qasidah.


“SAYA bermusafir bersama 30 anak yatim, asnaf, miskin dan mualaf untuk memberi peluang kepada mereka melihat dunia ‘luar’, selain bertujuan menimba ilmu yang secara tidak langsung dapat membantu menghilangkan rasa stres apabila hanya terperap di pondok.

“Dengan serba kekurangan dan sedikit dana kami membawa bekalan makanan sendiri supaya dapat dimasak dan makan bersama-sama sebagai langkah menjimatkan kewangan apabila tiba di satu-satu lokasi untuk berehat dan bermalam.

“Dengan menaiki dua van dan sebuah kenderaan pelbagai guna, kami menelusuri jalan kampung dan lebuh raya dari Kedah ke Kota Bharu, Terengganu, Kuantan, Johor Bahru, Melaka dan Lembah Kelang bermula 6 Oktober 2024 hingga 11 Oktober 2024 sebelum pulang ke tempat asal,” kata Pengerusi Pondok Taklim dan Tahfiz Minhajul Abidin, Pokok Sena, Kedah, Mohd Zahid Mat Saad. 


Ahli Jawatankuasa KESUMA '24, Zaiton Yaacob (dua dari kanan) dan Aizam Ambak menyerahkan sumbangan kepada pelajar perempuan.


Beliau yang lebih mesra dipanggilan Pak Su, berkata bersama beberapa ustaz dan ustazah yang bertugas di pondok itu dia berbincang serta merancangkan program Musafir Ilmu untuk membawa pelajar mengunjungi berapa lokasi menarik termasuklah sekolah pondok atau pusat tahfiz.

Menurutnya, langkah itu bersesuaian kerana pelajar di pondok berkenaan selain mengikuti pengajian kitab agama dan hafazan al-Quran mereka juga mengikuti pengajian akademik yang membolehkan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hasil nasihat dan kerjasama pejabat pendidikan daerah.

Tambahnya, seperti beberapa negeri dikunjungi pelajar juga dibawa ke beberapa tempat bersejarah yang berkaitan dengan mata pelajaran yang dipelajari untuk SPM, seperti di Muzium Penjara di Melaka mereka diberi taklimat ringkas dan melihat papan kenyataan berkaitan hukuman dan sebagainya.

“Kegembiraan dan rasa seronok dapat berkunjung ke tempat menarik terpancar pada setiap pelajar pondok ini yang membuatkan saya berasa sebak terutama anak yatim kerana mereka sudah lama menjadi penghuni pusat tahfiz,” katanya yang ditemui ketika mengunjungi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor pada 11 Oktober 2024.


Pelajar lelaki turut menerima sumbangan dan makanan ringan daripada dermawan.


Ketibaan Pak Su bersama-sama pelajar itu disambut oleh Pengerusi serta Penasihat PJMM, Azman Rasman dan Mohiadin Bahado, Turut hadir Setiausaha dan Pengurus PJMM, Muhammad Syafiq serta Sazali Mohiden di  samping Ahli Jawatankuasa Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA ’24).

Pada majlis itu diadakan persembahan qasidah dan berzanji oleh pelajar tahfiz serta sukarelawan PJMM dengan warga emas, sumbangan wang derma diikuti penyerahan barangan keperluan asas di samping pakaian terpakai.

Pak Su berkata, di Kelantan dan Terengganu, mereka mengunjungi sekolah pondok dan pusat tahfiz yang memberi peluang kepada pelajarnya melihat situasi pembelajaran di pusat pengajian agama berkenaan di samping berkenalan dengan rakan sebaya.

Menurutnya, peluang dapat bermalam bersama-sama pelajar di pusat pengajian itu mereka turut mengambil bahagian mengikuti kelas dan pengajaran kitab dibimbing oleh ustaz-ustaz yang kali pertama berjumpa kerana sudah tentu ada perbezaan dari segi penyampaian dan sebagainya.

“Ini semua memberi pengalaman baharu kepada pelajar terbabit yang mungkin boleh dipraktikkan apabila pulang ke pondok nanti terutama dalam melakukan teknik menghafal, membuat nota pengajian kitab dan memperbaiki disiplin diri dalam menimba ilmu agama,” katanya. - KitaReporters


Azman Rasman (tengah) melakukan gimik penyerahan cenderamata dan sumbangan kepada Mohd Zahid Mat Saad aka Pak Su.

17
13
0
13
0
You will be interested