Insan & Komuniti 26 Jan, 2024

15 jam di atas kereta! Terbalik selepas dibawa arus deras! Diselamatkan helikopter peronda lebuh raya!

@yati yazid
Pernah bertugas sebagai wartawan di Utusan Malaysia. Masih mewarnai dunia penulisan sehingga kini.

Share this


SEORANG wanita California berdepan detik mendebarkan selama hampir 15 jam apabila terperangkap di atas keretanya sendiri selepas trak yang dinaiki itu terbalik dan hanyut ke kawasan sungai kecil kawasan kediamannya di Livermore, utara California.

Memetik portal 1news.co.nz, kejadian mendebarkan yang berlaku pada Isnin, 22 Januari 2024 lalu ketika wanita yang tidak dinyatakan nama dan usia itu cuba melalui kawasan berkenaan namun arus kuat menyebabkan kenderaannya tergelincir ke dalam sungai sebelum terbalik.


Juruteknik peronda helikopter lebuh raya menggunakan tali khas bagi menyelamatkan wanita yang terperangkap di atas trak kecil. - Kredit foto: yahoo.com


Terdahulu hujan lebat yang berterusan menyebabkan kawasan kediaman wanita itu dinaiki arus tinggi menyebabkan dia mahu menyelamatkan diri dan keluar daripada kediamannya.

Bagaimanapun hasrat untuk berpindah tidak kesampaian apabila dia terperangkap arus laju dan menyebabkan kendaraannya tenggelam dan dibawa arus deras.

Wanita itu bernasib baik apabila keadaan trak yang dinaikinya disedari oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut dan terus menghubungi pihak bomba dan penyelamat untuk membantu menyelamat.

Malangnya pasukan itu  gagal bertindak untuk melakukan operasi membantu kerana arus air terlalu kuat.

Dia kemudian bernasib baik apabila mendapat bantuan daripada helikopter peronda lebuh raya California yang menghantar seorang juruteknik untuk menyelamatkan wanita malang tersebut.


Wanita bersendirian di atas bumbung keretanya yang terbalik selepas dibawa arus deras sebelum diselamatkan pihak peronda helikopter lebuhraya. Kredit foto: kxan.com


Malah rakaman video dikongsikan menunjukkan wanita itu diselamatkan oleh juruteknik helikopter yang menggunakan tali khas untuk mengangkat wanita yang berada di atas kenderaan berkenaan.

Wanita berkenaan yang mengalami kesejukan selepas semalaman berada di atas trak yang terbalik dalam cuaca sejuk itu kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Pegawai penerbangan peronda lebuh raya California, Sahun Bouyea berkata, wanita hebat itu sangat cekal ketika menghadapi saat getir dan mendebarkan selama hampir 15 jam secara solo.


Wanita hebat ini terus dibawa ke hospital selepas hampir 15 jam terperangkap di bumbung kereta dan hanya mengalami kecederaan ringan. Kredit foto: dailymail.co


“Nasib baik wanita itu boleh berfikir waras dan sempat memanjat atas kenderaan sebelum menunggu bantuan tiba.

“Sekiranya bantuan lambat, mungkin kejadian buruk akan berlaku sama ada kereta itu tenggelam di bawa arus laju atau dia akan berdepan kesejukan melampau sehingga boleh menjejaskan nyawanya sendiri," katanya.

Bouyea menambah ketika pihak peronda itu tiba, arus air sangat deras dan tak boleh bayangkan keadaan wanita itu pada sebelah malam ketika menghadapi saat getir dalam keadaan sejuk dan gelap dengan arus deras seorang diri,” katanya.

Terdahulu hujan lebat di kawasan berkenaan menyebabkan banjir berlaku dan paras air berada dalam keadaan yang membahayakan ketika wanita itu cuba menyeberangi sungai di Livermore, kira-kira 60 kilometer di timur San Francisco. 

Kejadian yang dilalui wanita itu bukanlah kali pertama berlaku di kawasan berkenaan berikutan sebelum ini pasukan kecemasan pernah menyelamat seorang lelaki yang terperangkap dan berdepan nasib sama kira-kira 12 tahun lalu. - KitaReporters


Wanita tersebut terus menghulurkan tangan ketika anggota peronda helikopter lebuh raya tiba untuk menyelamatkannya.

11
11
0
9
0
You will be interested