Video footage #JusticeForZaraQairina berlatarkan deretan van pemandu yang menyertai konvoi. - Kredit foto: FB Dream Ace
Hebatnya pengaruh Allahyarham adik Zara Qairana Mahathir yang meninggal dunia selepas dikaitkan dengan kejadian buli di asrama sekolah di Sabah.
Bukan sahaja ribuan manusia keluar menunjukkan soladariti di Malaysia, bahkan rakyat di negara lain turut bersimpati. Menariknya di Thailand, sekumpulan pemilik @ pemandu van memperlihat cara tersendiri untuk menunjukkan soladariti mewakili masyarakat Islam di Selatan Thailand.
Umat Islam di selatan Thailand termasuk Pattani, Yala, Narathiwat, Hatyai dan Songkla menunjukkan sokongan dengan mengumpulkan van penumpang @ pelancong untuk berarak ke masjid bagi menunaikan solat hajat buat Zara Qairina.
Mula-mula dalam video media sosial, kelihatan berpuluh-puluh van seragam putih beratur di tepi jalan.
Ingatkan kenapa? Rupanya sedang bersedia untuk berarak membabitkan kumpulan pemilik dan pemandu van penumpang. Mereka berkumpul sebelum konvoi solat hajat untuk Zara Qairina di Masjid Kerisik, Pattani.

Temu bual dengan salah seorang peserta konvoi van penumpang @ pelancong #JusticeForZara oleh Dek Na
Zara Qairina, 13, dilaporkan meninggal di hospital dan dikebumikan tanpa post morten (bedah siasat), selepas ditemui terkujur tidak sedarkan diri di tepi longkang bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi, kira kira 3 pagi pada 16 Ogos 2025. Pelajar itu dilaporkan meninggal esoknya.
Kelewatan mengeluarkan kenyataan daripada pihak sekolah dan berkuasa mengenai kes itu menimbulkan kemarahan ramai, seolah nyawa pelajar itu tidak penting.
Laporan itu kemudian dikaitkan dengan kes buli dan tohmahan bahawa pelaku ada kaitan dengan orang amat kenamaan (VVIP) menambah kecaman ramai. Berita kejadian itu lantas viral, kemudian menular ke negara luar.
Masyarakat Melayu di Selatan Thailand, antara jiran terdekat dengan Malaysia turut mengetahui kisah itu, menyebabkan mereka prihatin kerana membabitkan mangsa sesama Islam.
Terkesan dengan kes itu dan melihat banyaknya sokongan terhadap mangsa melalui himpunan demi himpunan di seluruh Malaysia dan di negara lain, mereka turut terdorong untuk menunjukkan soladariti keadilan buat Zara Qairina.
Konvoi van #JusticeForZara (#KeadilanUntuk Zara) dianjurkan oleh pengusaha dan pemandu van penumpang beberapa wilayah di Selatan Thailand yang majoritinya adalah Islam. Mereka dari empat hingga lima wilayah tadi, bergerak konvoi ke Pattani menuju ke Masjid Kerisik.
Pada 20 Ogos 2025, terlaksana perarakan mereka sehingga sampai ke lokasi perhimpunan di Masjid Kerisik, Pattani pada sebelah pagi, yang mana kumpulan pemilik dan pemandu van berkenaan kemudian menunaikan solat hajat untuk Allahyarham Zara Qairina, pada jam dua petang.
Van penumpang yang konvoi ke Pattani membawa pelekat, #StopBullying dan #JusticeForZara. Ada Netizennya membuat tanda pagar #ThailandstandwithZarinaQairina.
Temu bual Dek Na dengan salah seorang peserta konvoi #justiceForZara selepas menunaikan solat hajat memohon keadilan buat Zara Qairina di Masjid Tersek, Pattani semalam, 20 Ogos 2025. - Kredit video: FB Rohana Yana
Sempena solat hajat, peserta konvoi van berdoa untuk roh Zara Qairina di samping memohon kepada Allah SWT agar menunjukkan keadilan buat Zara Qairina.
Dalam gambar video di atas, seorang peserta ditemu bual oleh wanita yang menggelarkan Dek Na yang dipercayai pemilik akaun FB Rohana Yana yang menyiarkan video berkenaan.
Selesai menemu bual peserta, Dek Na menyampaikan hasrat bagi pihak pengusaha van, "untuk adik Zara Qairina, kita Islam dari empat wilayah Thailand bersatu!
"Penyertaan kami dalam soladariti ini juga menunjukkan Islam kita bersatu padu, kita sama rumpun dan sesama Islam, kita mahu Allah tunjukkan apa sebenar berlaku pada adik Zara."
Semoga berkat doa mereka di Masjid Kerisik Patani, termakbul. Masjid Kerisik juga dikenali Masjid Sultan Muzaffar Shah atau Masjid Pintu Gerbang, iaitu salah sebuah masjid lama dan bersejarah yang ada di Wilayah Pattani, Thailand.
Difahamkan pembangunan masjid itu berlangsung sekitar abad ke-16, strukturnya masih selamat, menampilkan ciri campuran - gaya seni bina Eropah dan Timur Tengah. Masjid itu terletak di Tanyong Lulo Mueang Daerah Pattani, Thailand.
Dianggarkan sekitar 200-250 van penumpang berkumpul di masjid itu jam 10 pagi pada 20 Ogos 2025, sementara solat hajat berlangsung jam 2 petang.
Dalam ulasan mengenai program konvoi van penumpang itu, Dek Na sempat menitipkan harapan kepada rakyat Malaysia terutama dalam kalangan sesama Islam supaya menyokong usaha perniagaan van penumpang @ pelancong dari empat wilayah berkenaan.
"Semoga sudi tolong, bagilah hati kepada kami, bagi kasih sayang kepada kami sebab kita adalah saudara sesama Islam demi perjuangan ke arah agama yang sama, iaitu Islam juga," tambahnya dengan rendah diri sambil melanjutkan kata:
"Kita juga nak tumpang rezeki halal untuk menyara keluarga demi Islam. Jadi Dek Nak nak mintalah puak-puak kita pakat sokong van empat wilayah ini, semoga (perniagaan) van penumpang@pelancong empat wilayah ini berjaya."
Sama ada orang dari empat wilayah itu atau dari Malaysia, katanya tolonglah sokong van dari empat wilayah itu, orang Malaysia nak bersiar di Pattani, Hatyai, Danok ke, boleh guna van berkenaan, atau orang dari empat wilayah itu nak berjalan ke Malaysia ke boleh guna van mereka.

Dek Nak mengulas harapan dan tujuan Konvoi Van dan Solat Hajat Soladariti Zara Qairina membabitkan pemandu @ pemilik van penumpang dari empat wilayah di Selatan Thailand. - Kredit foto: FB Rohana Yana
Mengenai keghairahan bersoladariti terhadap kematian Zara Qairina, ada yang menyoal, wajarkah kita gigih menunjukkan kegiatan berhimpun beramai-ramai seperti yang sedang berlaku?
Menjawab soalan ini, dalam satu video soal jawab, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, "kegiatan atau kempen #JustiseforZaraQairina, kita (sebagai umat Islam) kena ambil tahu mengenai umat Islam yang dalam kesusahan, yang dizalimi atau yang ditimpa musibah.
"Sekurangnya kita berdoa, kalau perlukan pertolongan kita tolong dari jauh, kalau perlu harta kita beri harta, untuk menunjukkan orang Islam benar-benar cakna terhadap apa yang berlaku (kepada saudaranya) di tempat lain." - KitaReporters