Program Santai Budaya @ Laman Budaya bukan sahaja mencerminkan kekayaan budaya kita, malah menjadi platform mengukuhkan silaturahim antara warga Masyarakat.

Persembahan tarian daripada Sekolah Menengah Tengku Menteri, Taiping
Justeru itu, Majlis Perbandaran Taiping (MPT) mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan program tersebut di kawasan sekitar Galeri Perbandaran Taiping, Perak.
Program Santai Budaya @ Laman Budaya ini juga memberi penekanan kepada aktiviti seni dan budaya sebagai asas penting dalam menarik lebih ramai pengunjung serta pelancong ke Taiping.
Usaha sebegini diyakini mampu memperkukuh kedudukan bandar warisan Taiping sebagai destinasi pelancongan budaya dan ekopelancongan utama negara.

Khairul Amir Mohamad Zubir (tengah) disambut dengan paluan kompang.
Yang
Dipertua MPT Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, antara program diadakan
seperti pertandingan melukis untuk kanak-kanak Tahap 1 dan Tahap 2,
pertandingan memasak membabitkan 11 kumpulan, persembahan kebudayaan (10
kumpulan), pertandingan kompang kreatif (tiga kumpulan).
Selain itu turut diadakan pameran dan jualan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Beliau berkata, penganjuran Program Santai Budaya @ Laman Budaya ini bermatlamat memperkenal bangunan Galeri Perbandaran Taiping sebagai pusat informasi dan rujukan pelancongan serta lokasi tumpuan baharu kepada para pengunjung.

“Galeri ini bukan sahaja berfungsi sebagai pejabat dan pusat aktiviti, malah juga simbol komitmen MPT dalam memelihara serta mengekalkan warisan sejarah dan bangunan beridentiti tempatan yang masih kukuh hingga kini.
“Program ini juga menjadi wadah mengangkat seni dan budaya sebagai medium pengukuhan semangat permuafakatan masyarakat majmuk.
“Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian agama, budaya dan adat resam perlu terus dipelihara dan dihormati.
“Setiap individu berhak mengamalkan tradisi dan warisan masing-masing secara harmoni, sama ada melalui cara berpakaian, amalan beragama mahupun sambutan perayaan,” katanya.

Menurut Khairul Amir, penganjuran program pada kali ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Beliau
berkata, program yang diadakan ini merupakan kesinambungan daripada penganjuran
aktiviti kebudayaan yang pernah dilaksanakan di Jalan Berek (belakang SMK St.
George) sebelum ini, dan pada kali ini (2025), dipindahkan ke Galeri Perbandaran
Taiping sebagai lokasi baharu yang lebih strategik dan bersifat ikonik. - KitaReporters