Insan & Komuniti 23 Oct, 2025

Dulu Helen Savage, kini Noor Naseerah! Perjalanan jiwa guru dari England! Terima hidayah di Malaysia!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Seorang guru wanita warga Britain, Helen Savage, menjadi perhatian ramai dalam media sosial selepas berkongsi kisah penghijrahannya ke Malaysia yang disifatkannya bukan kerana perancangan peribadi, sebaliknya takdir yang sudah tertulis sejak azali.



Menerusi hantaran dalam akaun TikTok miliknya, @viktoria_02221, Helen menulis kapsyen ringkas tetapi penuh makna: “Orang ramai sering bertanya mengapa saya berpindah ke Malaysia. 

"Ia bukan penghijrahan (hijrah) yang dirancang dengan niat tertentu, tetapi ia adalah qadar, sesuatu yang telah tertulis sejak sebelum saya mengetahuinya.”



Perkongsian tersebut disertai lagu latar Hubb Ennabi nyanyian Maher Zain dan pantas menarik perhatian warganet Malaysia. 

Sehingga kini, video itu sudah menerima lebih 90k tontonan, dengan ramai menyuarakan rasa bangga dan terharu terhadap kisah penghijrahannya.



Dalam ruangan komen, Helen mendedahkan nama Islamnya, Noor Naseerah, sambil menjawab pertanyaan seorang pengguna mengenai identiti baharunya selepas memeluk Islam. 

Beliau turut berkongsi bahawa kehidupannya di Malaysia amat bermakna, bukan sekadar kerana keindahan budaya dan masyarakatnya, tetapi kerana ketenangan yang dirasainya selepas mengenal Islam.



Antara komen yang menarik perhatian datang daripada seorang pengguna TikTok yang menulis: “Alhamdulillah, nenek moyang saya yang membina masjid lama di Pulau Pinang, Masjid Kapitan Keling. 

"Ibu mentua saya, yang berasal dari England, juga memeluk Islam setahun sebelum beliau meninggal dunia. Ketika itu usianya 94 tahun. Semoga Allah sentiasa melindungi anda.”  

Helen membalas komen tersebut dengan penuh sopan dan kasih, sambil berterima kasih atas doa yang dikirimkan.  



Dalam satu lagi pertukaran komen bersama netizen lain, dia turut menyatakan kesediaannya untuk bertemu rakan-rakan baharu di Malaysia, malah berseloroh ingin menaiki feri seperti pengalaman sebelumnya.

Seorang lagi netizen menulis bahawa kata-kata Helen memberi ketenangan kepada pembacanya: “Saya membaca hantaran ini di dalam kelas yang riuh dengan murid-murid sekolah rendah. 

"Namun setiap perkataan yang anda tulis terasa lembut dan menenangkan hati. Saya rasa kata-kata itu menggambarkan ketenangan yang telah anda temui.”  

Helen kemudiannya membalas dengan mendedahkan bahawa dia juga seorang guru sekolah rendah, menjadikan pertukaran komen itu lebih bermakna dan peribadi. 



Rata-rata pengguna media sosial menyifatkan kisah Helen sebagai bukti bahawa hidayah Allah SWT hadir pada masa dan tempat yang tidak disangka-sangka. 

Ramai juga mengucapkan selamat datang kepadanya dan mendoakan agar dia terus istiqamah serta dipermudahk dalam usaha menyesuaikan diri di bumi Malaysia. 

“Kami, sebagai umat Islam di Malaysia, amat bersyukur atas hidayah yang Allah kurniakan kepada anda di sini. Saya berdoa agar anda terus teguh dalam Islam dan sentiasa bersabar menghadapi setiap ujian yang datang,” tulis seorang lagi netizen.



Sejak berpindah ke Malaysia, Helen dilihat aktif berinteraksi dengan komuniti setempat dan sering berkongsi pengalaman harian serta pandangannya tentang kehidupan di negara ini. 

Pendekatan mesra dan rendah dirinya menjadikan dia semakin disayangi pengikutnya dalam media sosial.



Kisahnya menjadi inspirasi kepada ramai pengguna media sosial, khususnya apabila penghijrahan tersebut bukan sekadar berpindah tempat tinggal, tetapi satu perjalanan spiritual yang membawa erti yang amat mendalam. - KitaReporters



16
16
0
11
0
You will be interested