PERISTIWA pembunuhan residen British pertama Perak, J.W.W Birch pada 2 November 1875 di Pasir Salak, kekal dalam lipatan sejarah. Ia adalah lambang keberanian pahlawan Melayu dalam menentang penjajahan Inggeris ketika itu.

TUN Ramli Ngah Talib bersama waris Dato' Sagor bertemu dalam satu majlis perjumpaan. - Kredit foto: Bernama
Tiga watak utama yang memainkan peranan dalam misi pembunuhan itu adalah Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Sagor dan Sipuntum.
Walaupun dilabel sebagai penderhaka oleh British dan dijatuhi hukuman mati namun roh kepahlawanan mereka telah menyerap masuk ke dalam tubuh generasi selepas itu yang tidak rela dijajah.
Sempena ulang tahun ke-150 peristiwa bersejarah itu, pada 2 November 2025, satu program pertemuan waris Dato’ Sagor diadakan pada tarikh berkenaan di Dewan Besar Baru FELCRA Seberang Perak, dihadiri oleh kira-kira 500 orang waris keluarga berkenaan.
Majlis itu dirasmi oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib selaku penaung, juga merupakan salah seorang waris Dato’ Sagor.

ABU HASAN ASHA'ARI
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Abu Hasan Asha’ari Alang Jaman, selain mengenang peristiwa berdarah yang dianggap sebagai satu kebangkitan orang Melayu menentang penjajah, majlis yang julung kali dianjurkan itu juga bertujuan mengeratkan silaturahim dalam kalangan waris Dato’ Sagor.
“Perjumpaan ini penting kerana selain bertujuan mengeratkan hubungan, ia juga untuk kami menghayati kembali perjuangan Dato’ Sagor serta pejuang Melayu sezamannya.
“Tidak dinafikan, ada waris Dato’ Sagor sendiri yang sudah lupa akan kisah peristiwa pembunuhan Birch di Pasir Salak, maklumlah ia berlaku 150 tahun lalu memandangkan juga generasi yang ada hari ini tidak banyak didedahkan dengan sejarah itu.
“Justeru, menerusi pertemuan ini, mereka akan dapat mengenali lebih dekat siapa Dato’ Sagor, jati diri serta semangat perjuangannya yang wajar diwarisi bukan saja oleh warisnya tapi generasi sekarang,” kata Abu Hasan yang merupakan generasi keempat kepada pahlawan itu.

Untuk tujuan itu, program selama sehari itu diisi dengan perkongsian sejarah perjuangan Dato’ Sagor, salasilah keluarga dan pelbagai aktiviti bagi tujuan saling mengenal dan mengeratkan silaturahim.
Malah, menjelang pertemuan itu, beberapa program
terlebih dahulu dianjur seperti tayangan perdana filem ‘Dato’ Sagor: Maruah
Di Bumi Perak’ yang berlangsung pada 29 Ogos, 2025 di Auditorium Kompleks
Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara, Ipoh.
Selain itu, pada 11 Oktober, 2025 lalu, satu majlis ziarah pusara Dato’ Sagor turut dianjurkan dengan kehadiran Tun Ramli.
Abu Hasan berkata, usaha menjejaki serta mengumpul waris Dato’ Sagor akan diteruskan terutama selepas kewujudan Persatuan Waris Dato’ Sagor serta penubuhan sebuah yayasan khas bagi memelihara legasi tokoh bersejarah itu serta memastikan kebajikan ahli keluarga terus terjamin pada masa akan datang.
"Kita baru wujudkan Persatuan Waris Dato' Sagor ini dua bulan yang lalu.
Ini langkah awal kita untuk merealisasikan impian mewujudkan sebuah yayasan
yang dapat menaungi kebajikan dan pelbagai aktiviti lain khusus untuk semua
ahlinya.
"Di bawah persatuan ini akan diwujudkan satu pangkalan data untuk menjejaki lebih 10,000 waris Dato' Sagor sama ada di dalam negara mahupun di luar," kata Abu Hasan pada sidang media selepas majlis pertemuan itu.
Menurut Abu Hasan, selain aspek kebajikan, yayasan itu juga akan menganjurkan pelbagai majlis ilmu berkaitan ketokohan Dato' Sagor sebagai seorang pembesar di Perak suatu ketika dahulu.
"Kita berharap penubuhan yayasan itu nanti akan menjadi simbol perpaduan dan kesinambungan keluarga, selain memastikan legasi Dato' Sagor terus dikenang oleh generasi akan datang," katanya.

TUN Ramli menziarah pusara Dato' Sagor.
Untuk rekod, Dato’ Sagor atau nama sebenarnya, Ngah Kamdin ialah salah seorang Orang Besar Delapan di negeri Perak pada 1870-an mentadbir sekitar kawasan Kampong Gajah ke Pulau Tiga.
Ekoran pembabitan beliau dengan pembunuhan Birch, Dato’ Sagor dihukum gantung pada 20 Januari, 1877 dan dimakamkan di Matang.
Turut menerima hukuman pada tarikh sama adalah Dato’ Maharaja Lela dan Pandak Endut sementara Sipuntum dihukum gantung pada Mei 1876. - KitaReporters
