Insan & Komuniti 24 Sep, 2023

Aliah kau teristimewa! Tiada tangan! Tak halang melukis guna kaki! Sentuhan ajaib pukau pandangan!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this


Lahir tanpa kedua-dua belah tangan bukan penghalang buat Aliah Talib, 37, yang menetap di Alor Setar, Kedah untuk berjaya seperti insan normal lain. Biarpun terpaksa memerah kudrat lebih sedikit daripada orang lain, tapi itulah penguat semangatnya terus cekal dalam mendepani takdir hidup.

Tidak pernah salahkan takdir atau kekurangan yang ada, kerana dia percaya apa yang tersurat itu, hikmahnya maha kaya! Rasa syukur itu mengatasi segalanya. 

Pengalaman demi pengalaman yang dikutip sepanjang hidup, menjadikannya insan cekal yang tidak mudah mengalah dengan usikan emosi.


Insan luar biasa! Walaupun tidak mempunyai kedua-dua belah tangan, tapi Aliah mampu melukis menggunakan kaki.


Bergelar Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal memang memerlukan ketahanan jiwa dan kesabaran tinggi. Cerita Aliah, ketika zaman kanak-kanak adalah zaman paling mencabar emosinya kerana ketika itulah dia sering diejek oleh rakan-rakan sebaya.

Maklumlah, pemikiran kanak-kanak tidak sama dengan orang dewasa yang lebih sensitif. Mereka tidak tahu seandainya perbuatan mengejek itu boleh melukakan hati.

“Sejak kecil saya banyak duduk di rumah dan tidak bersekolah seperti orang lain kerana saya terlalu merendah diri dan sering diejek. Namun saya tidak berputus asa dan belajar membaca, menulis di rumah. Kakak-kakak saya yang ajar sampai umur saya 17 tahun.

"Kemudian abang saya mengesyorkan untuk saya belajar kemahiran melukis di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi (PLPP) pada tahun 2004 hingga 2007. Pada 2011, saya ambil bidang lukisan selama empat tahun dan batik canting selama setahun,” ceritanya yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik.


Aliah bertuah mempunyai seorang ibu yang tidak pernah putus memberi sokongan.


Kekuatan Aliah hari ini diperolehi daripada kata-kata semangat daripada ibunya sebelum merantau mencari ilmu. Lontaran kata-kata itu dipegang utuh sehingga kini. 

“Kata-kata mak yang tak pernah saya lupa sampai sekarang dan sebelum berjauhan dengan mak. Kata mak, saya kena belajar berdikari sendiri. Apabila mak dah tiada nanti, siapa yang nak tolong adik. 

"Adik-beradik yang lain nanti pun tak boleh tolong adik apabila mereka dah berkeluarga kelak. Sejak itu saya berfikir balik dan ambil keputusan untuk masuk PLPP.

"Sejak masuk PLPP Bangi inilah buat pertama kalinya saya berjauhan dengan keluarga, berdikari sendiri dan duduk di asrama bersama kawan-kawan. Saya lebih bersemangat apabila melihat kawan-kawan senasib yang macam-macam keadaan. 

"Di situlah saya buang sifat malu dan rendah diri yang ada pada saya sejak dulu. Mereka dan keluarga banyak beri saya kekuatan dan dorongan untuk terus yakin diri, usaha dan berdikari,” ujarnya.


Aliah langsung tidak kekok melukis menggunakan kaki.


Dipandang rendah kerana pilih seni lukis

Keputusannya memilih bidang lukisan mengundang tawa sinis daripada pihak yang berhati busuk dan menganggap merekalah pemberi rezeki. Kata mereka, bidang tersebut tiada masa depan.  

Kata-kata sinis yang diterima, tidak sedikitpun mematah semangat Aliah. Berkat kesungguhannya, dia buktikan kepada dunia normal bahawa dia insan istimewa yang mampu melukis menggunakan kaki. Apa yang penting, sentiasalah ingat pada Allah SWT.

“Ketika mula-mula saya menceburi bidang ini, ada pihak yang memandang rendah terhadap kerjaya ini. mereka kata melukis tiada masa depan. Tetapi saya buktikan tiada benda yang mustahil jika kita berusaha, berdoa dan tawakal dengan rezeki yang Allah SWT berikan kepada kita.

"Alhamdulillah, sejak saya melukis dan memperolehi pendapatan melaluinya, saya berjaya bawa mak ikut serta pelayaran UKE 2.0 bersama Ustaz Kazim Elias pada tahun 2015. Malah, pada tahun tersebut juga saya berjaya tunaikan impian mak menunaikan umrah bersama abang-abang saya,” jelasnya.


Selain melukis, Aliah juga mampu memandu kereta menggunakan kaki.


Aliah juga merupakan ahli Mouth and Foot Painting Artists Sdn Bhd (MFPA) yang terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Di sini, Aliah dan rakan-rakan ahli menghantar lukisan. Sekiranya lukisan itu bersesuaian untuk dicetak kalender, kad raya, krismas, hari jadi, pembalut hadiah dan puzzle, ia akan dipilih dan dibayar.

“Dari situlah saya memperolehi pendapatan. Sesiapa yang ingin jemput kami membuat demo melukis, akan berhubung dengan MFPA dahulu. MFPA banyak membantu kami mengurus hal-hal dan jualan lukisan serta produk,” ujarnya.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan lukisan-lukisan Aliah dan ahli-Ahli MFPA lain, bolehlah berhubung dengan MFPA menerusi talian 03-2161 8860.

Mereka juga boleh melawat Facebook Aliah pada pautan @PutriLeeya untuk maklumat lebih lanjut.


Antara koleksi lukisan Aliah.


Selain melukis, Aliah juga mempunyai hobi memelihara kucing. Sehingga kini dia sudah mempunyai puluhan ekor kucing. Minat dan sayangnya pada haiwan comel dan manja ini bermula sejak kecil lagi.

“Setakat ini saya mempunyai sebanyak 26 ekor kucing. Minat membela kucing sebenarnya bermula sejak kecil lagi. Kalau tiada kucing, saya rasa sunyi sangat. 

"Setiap hari saya bersihkan tempat dan najis kucing. Kalau ada kucing yang sakit, saya akan cepat-cepat hantar ke klinik haiwan. Saya jaga selagi termampu dengan kudrat saya dan mak juga tolong sekali,” katanya mengakhiri perbualan. - KitaReporters


Aliah suka membela kucing sejak kecil lagi.

6
8
0
17
0
You will be interested