Insan & Komuniti 15 Mar, 2023

Sembang-Sembang| Elak penyondol ceroboh! Bina cinta kasih keluarga! Tapi ada bangga digelar penyondol?

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> [email protected]

Share this


Berkat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Orang hanya boleh berkata sabar tetapi kita yang mengalami mampukah bersabar?

Media sosial sejak akhir-akhir ini bergema dengan pelbagai kisah rumah tangga yang kronik. Isteri dipukul, suami bernikah tanpa izin isteri pertama, dipanaskan lagi dengan berita penyondol mengambil kesempatan menggoda suami orang sehingga porak peranda hidup sekeluarga .

Masing-masing dengan cerita dan alasan sendiri. Macam-macam cerita timbul. Pihak yang dirampas bersedih dan yang merampas bertepuk gembira kerana telah menjadi juara.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kisah-kisah rumah tangga


Kita yang membaca dan memberi komen turut diheret ke kancah tidak berfaedah ini yang pada saya langsung tidak memberi manfaat serta mencalar akhlak serta pekerti kita sebagai manusia yang beriman.

Apa lagi membawa ketenangan dalam hidup. Langsung tidak membantu menghidupkan keharmonian dan kedamaian. Malah meranapkan impian pasangan terbabit.

Bertikam lidah dan menegak benang basah hanya membawa aib yang mana sangat tidak disukai Allah SWT.

Murahkah harga diri wanita bergelar isteri apabila bangkit melawan haknya? Tinggikah martabat lelaki dengan bersikap ego dalam mencari kepuasan hidup dan mengabaikan tanggungjawab terhadap anak isteri?.

Tepuk air di dulang terpercik muka sendiri. Itulah ibaratnya. Yang aibnya diri sendiri dan keluarga.

Keadaan menyaksikan ada isteri cantik, berkerjaya dan baik pekerti pun disakiti suami. Apa lagi yang serba kekurangan.

Begitu juga si wanita yang sudah tahu suami orang kenapa hendak dikejar juga?

Malu saya sebagai perempuan untuk menyebut perkataan "penyondol" sedangkan hakikatnya bagi sesetengah perempuan mereka bangga dipanggil begitu. 

Dah hilang rasa hormat saya juga pada lelaki dayus yang menganiaya anak isteri serta mempersenda amanah Allah.

Apapun bak kata pepatah bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Tiada angin masakan pokok bergoyang.

Semuanya terletak pada hati. Selebihnya guna akal dan ingat Allah.



Sepatutmya kita bersedih dengan situasi kronik ini. Bukan turut sama mencanang dan menjaja. Mengguris dan menokok tambah perencah supaya kisah dan cerita mereka yang terpalit terus panas.

Apa peranan kita sebagai anggota masyarakat yang prihatin dan berilmu untuk membantu supaya kita lebih bertanggungjawab terhadap sesama kita.

Cuba kita letak diri di tempat para suami isteri terlibat. Agaknya mampukah kita bertahan dan melawan drama bersiri yang tiada noktah ini.

Seperti kata-kata indah ini. Menjalani biduk rumah tangga itu bererti kita harus ada cara untuk bahagia bersama dalam suka maupun duka. Bukan lupa diri dan angkat kaki bila rasa jemu. 

Benar ada masa terasa lelah, tapi tak boleh menyerah. Didik emosi dan hati lebih reda dan positif. Kita Masih ada Allah.

Negara kita ada undang-undang. Ikut saluran betul. Sabar. Kebenaran akan menyerlah. Hanya masa jadi penentu.

Betul orang hanya memandang yang menanggung mereka yang yang diuji. Sesungguhnya doa anak isteri dan

mereka yang teraniaya akan dimakbul oleh Allah SWT.

Teringat saya serangkap lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam filem Madu Tiga:

Sedangkan lidah lagi tergigit

Inikan pula suami isteri

Buang yang keruh ambil yang jernih

Baru teguh peribadi.

Relevankah lagi lagu ini dengan gelora rumah tangga yang berlaku sejak akhir-akhir ini?

Jawapannya ada pada kita dan seluruh anggota  masyarakat juga. Lebih baik kita berdoa dari terus membawang menjaja cerita.

Sesungguhnya, rumah tangga terindah dan bahagia adalah rumah yang senantiasa dipenuhi cinta kasih di dalamnya.

Jumpa lagi di catatan akan datang. - KitaReporters


13
11
0
11
0
You will be interested