MEREKA yang mengalami kemurungan dan sakit mental sering merasa ketakutan, sepi dan tidak dipedulikan. Disebabkan itu mereka mengalami jiwa yang kosong dan sering cuba menjauhkan diri dari masyarakat.
Apa yang mereka lalui hanya mereka sahaja yang tahu. Kadangkala mereka membuat sesuatu di luar kawalan dan terlalu beremosi kerana sentiasa kesaorangan.
Ada segelintir masyarakat termasuk ahli keluarga sendiri sukar dekati pesakit mental kerana bimbang tingkah laku pesakit mental yang sukar diramalkan dan boleh membahayakan mereka.
Dalam hal ini, ubat sahaja tidak menjamin mereka dapat mengawal penyakit ini. Adakalanya untuk mencari keserasiaan ubat pelbagai ubat dicuba oleh doktor psikiatrik sehingga ada pesakit yang mengalami keadan yang lebih teruk.
Sehubungan itu, sokongan, kasih sayang dan perhatian keluarga sangat penting bagi membantu pesakit mental melalui detik-detik kesukaran dalam hidup mereka.
Selain itu, latihan rehablitasi, aktiviti kerohanian dan proses sosialisasi perlu digabung bersama sebagai cara pengubatan pesakit mental yang lebih berkualiti untuk membantu mereka kembali pada masyarakat.
Lagi cerita-cerita sedih berkaitan pesakit mental
Baru baru ini satu perbincangan mengenai pendekatan "sistem buddy atau teman" telah diadakan antara sebuah pertubuhan NGO, Madani Mental Health Support Centre atau Pusat Sokongan Kesihatan Mental Madani dengan Ibnu Ummi Maktum Research Centre, USIM, di Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai.
Mereka bersependapat bahawa pesakit mental boleh menjalani kehidupan yang lebih normal jika dapat mengamalkan sistem buddy atau sistem kawan untuk sama-sama membantu mereka keluar dari kemelut jiwa yang membelenggu hidup mereka.
Buddy ialah seorang kawan yang benar-benar memahami pesakit dan sanggup membantu pesakit melalui kehidupan yang tidak pasti bagi mereka.
Dr. Norakyairee Mohd Raus Pengarah Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum USIM berkata ada rekod pada zaman kegemilangan Islam di bawah pimpinan Khalifah Muawiyah di mana sistem ini d implementasikan pada pesakit mental untuk membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih berkualiti.
Dr Norakyairee juga memberitahu melalui sistem ini setiap pesakit mental ada seorang kawan atau buddy yang menemani dia sepanjang hari.
Umpamanya bagi lelaki ke masjid, solat bersama , makan bersama sama, berbual, kongsi pengalaman dan perasaan dan menjalankan kegiatan harian bersama. Bagi wanita juga sama, sahabat wanita yang dapat menjadi rakan rujuk buat mereka.
Pendekatan begini membuatkan pesakit rasa dihargai, disayangi dan merasakan ada yang ambil tahu tentang mereka.
Secara tidak langsung "hubungan persahabatan" yang akrab ini membuatkan pesakit mental lebih yakin pada diri sendiri dan ada kawan yang akan menasihati dan menemani dia dalam kegiatan seharian. Melalui cara ini pesakit mental tidaklah kesaorangan dalam membuat keputusan mahupun apa apa tindakan yang adakalanya tidak rasional.
Dr Norakyairee Mohd Raus
Sementara itu, Pengerusi Madani Mental Health Support Centre Rosiah Jantan pula berkata pendekatan itu mungkin masih jarang dipraktikkan oleh masyarakat negara kita. Kalau adapun mungkin hanya dipraktikkan oleh mereka yang benar benar sanggup berkorban untuk ahli keluarga yang sakit mental.
Ia belum lagi dijadikan satu kaedah rawatan secara rasmi atau menjadi kaedah yang diterima pakai umum. Mungkin ramai yang masih tidak tahu pada kebaikan sistem buddy ini kerana masyarakat kita yang terlalu sibuk bekerja dan menguruskan hal masing-masing sehingga mereka tidak sedar ini juga salah satu pendekatan rawatan yang boleh dicuba selain ubat penenang.
Bagi Rosiah, pesakit mental ini adalah insan yang memerlukan perhatian dan kasih sayang serta pengisian kerohanian bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan walau dalam keadaan minda yang bercelaru.
Beliau berpendapat untuk menjadi buddy pada pesakit mental, mereka ini perlulah dalam kalangan adik beradik, saudara mara atau mereka yang dilatih dalam bidang ini untuk bertugas sepenuh masa menjaga pesakit mental ini.
Ramai dalam kalangan masyarakat juga tidak yakin dan ada yang takut untuk menjadi buddy kerana pesakit mental sangat sukar diramalkan sikap mereka. Mungkin boleh diwujudkan satu profesion baharu sebagai buddy kepada pesakit mental sebagaimana jururawat peribadi yang menjaga pesakit yang kronik.
Berkongsi kisah pengalaman seorang sahabatnya di Libya yang mempunyai seorang adik yang sakit mental, dia berkata si abang akan melayan si adik setiap hari dengan membawanya pergi makan, tengok wayang dan berbual bual. Apa yang lebih hebatnya jiran-jiran juga turut membantu membawa adiknya ke kedai dan menemaninya .
Dengan keprihatin orang sekeliling dan ahli keluarga pesakit mental ini bertambah baik. Sekarang adiknya seorang yang periang dan tidak lagi mengalami kemurungan atau berasa sedih.
Malah katanya di negara kita juga ada yang mengamalkan sistem buddy ini dan ini sebagai rawatan peribadi keluarga.
Beliau bercerita di mana seorang abang sulung kepada kenalannya menjaga adik lelakinya yang sudah 40 tahun yang mengidap sakit skizofrenia dan kini pesakit mental berkenaan sudah berusia 65 tahun.
Abang sulungnya tidak berkahwin tetapi berkorban menjaga adiknya sejak 40 tahun lalu. Mereka ke surau bersama, ubat dijaga oleh abangnya dengan baik, mereka menjalankan aktiviti harian bersama dan melalui penjagaan begini banyak perubahan si adik lalui dengan kasih sayang dan perhatian abangnya itu.
Walau pun kisah-kisah buddy ini sangat memberi inspirasi namun menurut Rosiah bukan mudah untuk direalisasikan di negara kita, tapi beliau yakin tidak mustahil boleh dilakukan.
Baginya sistem ini perlu ada perancangan dan kajian terperinci, ada yang menyokongnya dan kerajaan mungkin boleh mewujudkan satu pusat latihan buddy untuk pesakit mental sebagai kerjaya baharu yang lebih mencabar dan menarik. Ini boleh dikategorikan sebagai satu cara rawatan spiritual bagi pesakit mental. - KitaReporters