Insan & Komuniti 30 Oct, 2022

Baling dilanda banjir lagi! 2 kampung mukim Siong diterjah bah mengejut! Bomba selamatkan penduduk!

@che saad noordin
Che Saad Noordin bekas stringer Bintang Timur, Utusan Malaysia/Utusan Melayu, Watan Harian, TV3, RTM dan Bernama untuk daerah Baling dan sekitarnya

Share this

Seorang anggota bomba dan penyelamat Balai Bomba Baling menyelamatkan seorang kanak-kanak yang terperangkap di dalam rumahnya di Kampung Buit Sebelah, Mukim Siong di Baling pada petang 28 Oktober 2022.


HAMPIR 30 keluarga di dua kampung di Baling, Kedah terpaksa berpindah pada malam 28 Oktober 2022 lalu akibat kawasan perkampungan dan rumah mereka dilanda banjir mengejut hampir dua meter.

Kampung terbabit ialah Kampung Bukit Sebelah dan Kampung Batu 8 di Mukim Siong, Baling pada petang 28 Oktober 2022.

Turut dilanda banjir ialah Masjid Kampung Al-Huda, Kampung Batu 8, yang dimasuki air banjir hampir setinggi dua meter.

Hampir kesemua mangsa banjir diminta berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan dengan kampung mereka.


Lagi cerita-cerita tragedi berkaitan mangsa-mangsa banjir

Anggota bomba dan penyelamat membantu menyelamatkan seorang wanita warga emas di Kampung Bukit Sebelah, Mukim Siong dalam kejadian banjir akibat hujan lebat pada petang 28 Oktober 2022.


Dalam kejadian banjir di Kampung Bukit Sebelah, anggota Bomba Dan Penyelamat dari Balai Bomba Baling yang tiba di kawasan terbabit melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa yang terperangkap di dalam rumah.

Sementara itu, di Kampung Batu 8, Siong pula, seramai sebelas keluarga termasuk warga emas diselamatkan akibat tidak sedar air banjir sudah melanda kawasan perkampungan itu .

Kebanyakan rumah di kampung itu dinaiki banjir setinggi dua meter. Sebahagian besar mangsa banjir tidak sempat menyelamatkan harta benda kerana banjir terlalu cepat meningkat akibat hujan sangat lebat ketika itu.


Abd Rahman Zainol, mangsa banjir mengejut akibat hujan lebat di Kampung Batu 8, Siong, Baling.


Abd Rahman menunjukkan kesan air banjir yang menerjah masuk ke dalam rumahnya setinggi lebih 2 meter di Kampung Batu 8, Mukim Siong, Baling pada petang 28 Oktober 2022.


Wakil penduduk di Kampung Batu 8, Abd Rahman Zainol, 66, memberitahu KitaReporters, kebanyakan mangsa banjir pada petang 28 Oktober 2022 itu tidak menjangka akan berlaku banjir lumpur begitu teruk.

Jelasnya, setelah air melimpah memasuki ke dalam rumah, mangsa banjir menjadi cemas.

Katanya, tidak sampai 15 minit air berlumpur menerjah ke dalam rumah dan menghanyutkan apa saja barang-barang di ruang dapur dan ruang tamu.

Sementara itu, Abd Rahman merayu pihak bertanggungjawab, seperti Pejabat Penghulu, Pejabat Daerah dan NGO agar dapat membantu mereka di Kampung Batu 8 untuk mengorek saluran air sehingga ke sungai berdekatan bagi mengelak air banjir bertakung di kawasan rumah-rumah di situ setiap kali berlaku hujan lebat dan berlaku banjir.

Katanya lagi, penduduk bersedia kawasan tanah mereka berdekatan rumah dikorek untuk dijadikan saluran air jika berlaku hujan lebat bagi mengelak banjir.

Penduduk terlibat juga mahu pihak berkuasa memastikan tiada berlaku penebangan pokok-pokok balak di kawasan berdekatan kerana setiap kali berlaku banjir air, sungai berdekatan bercampur selut dan tanah merah. - KitaReporters


15
13
0
15
0
You will be interested