INILAH dikatakan rezeki… usaha keras selama ini terlibat dalam kemasyarakatan dan membantu komuniti yang memerlukan seolah-olah berbaloi selepas dinobatkan Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2022.
Bagi Ismaniza Fahida Ismail atau lebih dikenali sebagai Cik Puan Gojes (CPG), walaupun tidak mengharapkan usaha keras selama diupah dengan penghormatan dan anugerah namun mengakui akan menggunakan kejayaan diperoleh sebagai platform untuk membantu lebih ramai mereka yang memerlukan.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan wanita-wanita hebat
Katanya dia sendiri tidak menyangka rezekinya berpihak kepadanya sekali gus menewaskan sembilan lagi calon finalis lain yang diraikan dalam majlis gemilang di Hotel Majestic Kuala Lumpur pada 20 Oktober 2022 lalu.
“Bila dah sampai ke tahap ini, saya sudah terfikir pelbagai cara untuk saya membantu wanita di luar sana. Saya perlu fikir lebih lagi, bagaimana caranya untuk bantu wanita yang kurang upaya agar bangun dan bangkit daripada kehidupan mereka,” katanya.
Malah pengasas produk kosmetik CPG ini juga menganggap kemenangannya itu akan membuka lebih ruang untuknya terus melakukan kerja-kerja kebajikan.
“Alhamdulillah, bila adanya medium dan saya sebagai pemenang saya punya perjalanan itu nampak lagi besar dan banyak sokongan daripada kerajaan, NGO dan persatuan-persatuan yang lain akan turut membantu bersama saya," ujar bekas guru bahasa Inggeris ini.
Katanya lagi menjadi satu kebahagiaan dan kejayaan besar bagi dirinya apabila melihat senyuman insan-insan yang dibantu.
“Saya dilahirkan miskin dan susah. Jadi saya tahu macam mana perasaan orang yang dibantu apabila berjaya keluar daripada kemiskinan kerana saya dapat rasai perasaan mereka.
“Masa saya kecil dulu, saya tak tahu saluran macam mana nak tolong mak dan ayah saya untuk jadi kaya dan ada duit. Jadi bila saya dewasa, cita-cita saya hanya satu, adalah untuk bantu keluarga. Itu misi dan visi hidup saya.
“Bila saya berjaya hingga ke tahap sekarang, saya tahu apa yang diperlukan oleh orang miskin, susah dan orang yang kurang kemampuan serta orang yang mengalami mental health,” katanya.
Kemenangan berkenaan membolehkan CPG membawa pulang hadiah tunai bernilai RM30,000 dan set barang kemas tajaan Habib Jewel bernilai RM10,000.
Hadiah berkenaan disampaikan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud. Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.
Ditanya mengenai hadiah kemenangan sebanyak RM30,000 itu, jelas CPG, hadiah yang tersebut akan digunakan dengan sebaik mungkin.
“RM30,000 yang dapat tu, RM10,000 saya nak belanja staf-staf saya yang kuat bekerja. Kerana mereka adalah Cik Puan Gojes sebenar. Saya hanya menjalankan dan mereka yang melakukan kerja.
“Yang kedua, insya-Allah RM10,000 akan dimasukkan ke Tabung Kebajikan Pertubuhan Cik Puan Gojes Malaysia untuk membantu orang ramai dan RM10,000 lagi untuk saya gunakan keperluan diri,” jelasnya tentang tabung kebajikan yang ditubuhkan pada Julai 2022. - KitaReporters