YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menasihatkan rakyat khususnya ahli-ahli politik supaya bermuhasabah diri dalam keadaan negara berdepan dengan ancaman wabak Covid-19. : KitaReporters
Yang di-Pertuan Agong menitah semua masjid adakan solat hajat dan doa selamat tangani Covid-19
Lagi cerita-cerita berkaitan Yang di-Pertuan Agong:
https://kitareporters.com/search?search=yang+di-pertuan+agong
Seri Paduka Baginda bertitah, dalam situasi politik negara pada masa kini diingatkan agar jangan sekali lagi mengheret negara ke kancah politik yang tidak menentu.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan Istana Negara hari ini, Jumaat 16 Oktober 2020, Al-Sultan Abdullah turut mengulangi titah nasihat baginda kepada Ahli-Ahli Parlimen ketika Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 pada Mei 2020 lalu, agar setiap daripada mereka sentiasa mempamerkan kematangan dalam berpolitik.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong pada pagi 13 Oktober 2020.
Bukan itu sahaja, Seri Paduka Baginda turut mengingatkan
agar setiap Ahli Parlimen sentiasa memahami serta menjiwai keluh kesah rakyat
dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat jelata.
Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa ahli-ahli politik
seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan, tetapi
sebaliknya menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses-proses
perundangan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, menerusi kenyataan tersebut, Al-Sultan Abdullah menitahkan agar semua masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan Allah SWT agar penularan wabak Covid-19 dapat dibanteras dengan berkesan dan segera.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menghadap Yang di-Pertuan Agong pada tengah hari 13 Oktober 2020.
‘’Semua rakyat harus memainkan peranan masing-masing dan
berdisiplin dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara amalan
kebiasaan baharu dalam membantu pihak berkuasa memerangi penularan Covid-19.
``Mengambil keberkatan hari Jumaat yang mulia ini, Beta
menyeru seluruh rakyat berdoa semoga negara yang kita cinta ini dikurniakan
keamanan dan ketenangan agar kemakmuran serta kesejahteraan negara dan rakyat
sentiasa terjamin,” titah Seri Paduka Baginda.
Terdahulu, kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah sehingga 26 Oktober 2020 dan Selagor, Kuala Lumpur serta Putrajaya sehingga 27 Oktober 2020. - KitaReporters