PENYANYI veteran Datuk DJ Dave yang juga pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) membuat kunjungan ke kediaman pemuzik tersohor, Datuk Ooi Eow Jin. Pada kunjungan tersebut, beliau yang mewakili YKAT telah menyerah sumbangan sebanyak RM3,000 kepada isteri Eow Jin, Datin Khaw Lean Kee, dengan ditemani pemegang amanah YKAT, Datuk Nancie Foo dan Colin Lionel Edmonds. : KitaReporters
DJ Dave dan Nancie Foo, hadir menziarahi Ooi Eow Jin sambil menghulur sumbangan kepada isteri beliau, Khaw Lean Lee. Foto: Khadijah Ibrahim
Jelas Dave, tahun lepas pihak YKAT datang mengunjungi pemuzik berusia 82 tahun yang digelar Piano Man itu. Namun pada minggu lepas, pihak YKAT mendapat tahu bawa keluarga tersebut memerlukan wang yang banyak untuk pembedahan anaknya, Raymond.
“Apabila kami dapat tahu mereka memerlukan wang untuk pembedahan, kami di YKAT berbincang.
"Walaupun pernah memberi bantuan dulu tapi ini mustahak, dan selepas berbincang kami bersetuju memberi sedikit sumbangan dana YKAT kepada mereka.
"Selain itu, ahli pemegang amanah YKAT juga ada memberi sumbangan peribadi.
“Saya dapat
tahu daripada Datin (Lean Kee) yang
mengatakan budak-budak kecil tanpa mengira bangsa datang menghulur bantuan
sekadar mampu seperti RM5, RM10 serta RM15 kerana banyak jiran di sini
yang mengenali mereka. Saya kagum dengan perpaduan dalam negara kita.
“Inilah saat unity yang paling best dalam negara kita, tak kira bangsa dan agama, kita sebagai manusia saling membantu satu sama lain.
"Inilah Malaysia yang sebenar dan saya gembira dengan suasana ini (membantu),” katanya ketika ditemui di kediaman Eow Jin, pada Jumaat, 26 Jun 2020.
DJ Dave turut bertanya khabar kepada Raymond yang bakal menjalani pembedahan pada 29 Jun ini.
Tambah Dave, beliau bangga kerana dalam menempuhi cabaran Covid-19, rakyat masih lagi tidak lupa untuk membantu sesama insan.
Katanya, jasa Eow Jin dalam industri hiburan tanah air amat besar kerana beliau telah mencipta banyak lagu termasuk lagu yang dirakam oleh Allahyarham Sudirman, Datuk M. Nasir, Alleycats dan ramai lagi.
“Itulah semangat orang Malaysia yang sentiasa membantu antara satu sama lain tanpa mengira bangsa atau latar belakang.
"Alhamdulillah mereka telah berjaya mengutip lebih RM100,000 dan pembedahan akan berlaku pada Isnin ini.
“Saya rasa terharu apabila kita tahu dalam keadaan begini amat susah untuk mencari dana tapi rakyat Malaysia adalah yang terbaik kerana dapat membantu seorang insan yang banyak berbakti dalam industri hiburan tanah air.
"Kalau lihat tadi, walaupun dia ada Alzheimer tapi jari jemarinya masih lagi ‘hidup’ seperti bermain piano,” katanya.
Khaw Lean Kee, tabah menjaga suami dan anak yang sakit.
Sementara itu, Khaw Lean Kee, 82, yang tabah menjaga suami dan anak, Raymond, 56, yang menghidap barah otak, berkata, kehidupannya tidak rasa sedih biarpun mengharungi dugaan.
Menurut
wanita yang berasal dari Georgetown, Pulau Pinang itu, beliau memperoleh
kekuatan untuk meneruskan kehidupan kerana sering berdoa kepada Tuhan.
“Saya selalu berdoa kepada Tuhan supaya diberikan kekuatan dan siapa sangka dalam menghadapi dugaan ini saya didatangi ramai orang.
"Saya sendiri tak dapat nak jelaskan bagaimana, kerana sering kali ada saja insan berhati mulia datang membantu.
“Ramai yang sayang keluarga saya, terutama suami. Walaupun saya tidak bekerja tapi rezeki tidak pernah putus.
"Jujurnya, kami sekeluarga hidup dengan wang ihsan daripada orang ramai. Semua itu kuasa Tuhan,” katanya yang turut mendapat bantuan daripada pihak gereja dan rakan-rakan Eow Jin. - KitaReporters