TIDAK perlu dicerita panjang, masing-masing tahu ketika pandemik menyerang kehidupan masyarakat dunia, khususnya rakyat Malaysia tidak lagi seperti dahulu. Punca rezeki tertutup, ramai hilang pekerjaan, duit upah dipotong, menjadi penganggur sekelip mata. Semua itu situasi 'biasa' ketika ini.
Namun cara kita berfikir akan menentukan nilai diri kita yang sebenar. Bukan sahaja pada mata sesama makhluk, malah dari penilaian Yang Maha Esa.
Kisah seorang usahawan dalam industri penapis haba kenderaan (tinted) di Kajang, Selangor ini banyak memberi inspirasi kepada kita semua tentang bagaimana cara berfikir ketika pandemik dan darurat menyerang.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan
https://kitareporters.com/search?search=sedekahMohd Fadzli Che Harun, 36, merupakan seorang anak muda yang baru sahaja menceburi bidang tinted kereta iaitu kira-kira 4 tahun lalu, namun cara beliau berfikir telah menyebabkan perniagaannya cukup berkembang maju sehingga mampu memberi bantuan kepada pihak yang memerlukan.
Pengarah Urusan TMK Industries atau Tinted Magic Kajang itu menceritakan bagaimana beliau mengubah cara berfikir apabila menerima nasihat daripada ayahnya, melihat usaha-usaha gigih pendakwah tersohor Ustaz Ebit Lew dan menyaksikan sendiri bagaimana kesusahan masyarakat kita di hadapan mata.
"Sekitar 3-4 tahun lepas saya pernah tanya seorang Ustaz. Jika nak bantu dan tolong orang susah selain berzakat, di mana patut saya buat dan mulakan? Jawapan beliau adalah sekitar di mana kita tinggal. Dalam konsep berniaga, pada saya adalah sekitar tempat saya mencari rezeki. Berkongsi rezeki.
"Berkongsi rezeki itu luas kaedahnya. Nikmat berkongsi rezeki sebagai Muslim, hanya yang buat akan rasa. Seperti kita bercerita kepada orang lain bahawa madu itu manis. Tapi bagaimana manisnya madu itu hanya perlu dirasai sendiri," katanya kepada KitaReporters.
Gambar ihsan TMK sebelum PKP
Beliau banyak terkesan dengan pesanan ayahnya “Nak cari makan, bagi orang makan”, yang membawa gambaran bahawa dalam kehidupan kita ini amat penting memberi sedekah, infak, wakaf, zakat dan yang sama erti dengannya.
"Saya selami dan dalami dan cuba fahami. Maka jelas ketika PKP1.0 tumpuan utama saya adalah menjaga kebajikan staff dan mengekalkan mereka. Mereka tidak boleh lapar. Alhamdulilah, apabila dibenarkan kembali berniaga pada Mei 2020 rezeki kami agak baik," katanya.
Tidak berpuas hati sekadar itu, selepas berjaya memastikan kebajikan stafnya terjamin walau ketika PKP, Mohd Fadzli terus berfikir bagaimana caranya untuk memberi manfaat kepada lebih ramai mereka yang berada dalam kesusahan.
"PKP 1.0 telah mengajar kami. PKP 2.0 kami lebih bersedia. Saya selalu melihat Ustaz Ebit Lew tidak putus-putus membantu orang yang susah bermula semasa PKP 1.0 lagi. Terdetik alangkah indah jika kita mampu menjadi seperti beliau. Kalau tidak sepenuhnya, 0.001% daripada apa yang beliau buat pun cukup baik.
"Tidak dinafikan kesan dari apa yang dibuat oleh beliau membuka mata orang ramai dan diteladani dengan baik. Banyak usaha seperti “Food Bank” ini wujud di serata tempat. Termasuk juga sahabat saya Cikgu Matt, di Pasir Mas Kelantan pada PKP 1.0," tambahnya.
Beliau mula berhasrat untuk mewujudkan sebuah "Food Bank" (bank makanan) sendiri milik syarikatnya bertujuan memberi pertolongan kepada masyarakat berhampiran yang terputus bekalan keperluan asas harian.
Gambar ihsan TMK
Kesedaran ini makin meluak-luak apabila hampir setiap hari beliau sendiri dapat menyaksikan bagaimana masyarakat kita terpaksa melakukan kerja-kerja tidak sepatutnya demi mencari wang untuk menyara hidup keluarga.
"Di sekitar tempat saya berniaga, selalu saya bertembung dengan orang susah. Ada yang mengumpul botol plastik dan barangan kitar semula untuk mencari sesuap nasi, ada gelandangan, hilang kerja dan sebagainya. Dan saat ini, semasa PKP 2.0 saya berniat dan buat keputusan saya mesti membantu mereka yang dekat dengan ruang lingkup tempat saya mencari rezeki.
"Tiada sasaran jelas, siapa yang amat memerlukan, kami silakan untuk datang. Dengan memulakan sumbangan diri sendiri sebanyak RM1500 serta kami sumbangkan RM5 setiap dari jualan ke atas seorang customer ke kedai kami, maka wujudlah ketika itu Food Bank TMK," katanya.
Kini perniagaan tinted kereta syarikat beliau makin berkembang maju dan menarik minat lebih ramai pelanggan, disamping "Food Bank TMK" juga makin mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Gambar ihsan TMK
Menariknya, Mohd Fadzli turut membuka penyertaan orang ramai untuk turut membantu memenuhkan rak makanan tersebut bagi melancarkan proses pemberian bekalan keperluan asas kepada mereka yang memerlukan.
"Mereka ini mesti makan, walau tidak dapat bantu berikan kerja, paling tidak kita berusaha untuk membantu mereka berikan makanan. Alhamdulillah setiap hari ada ramai yang sampai ke kedai kami untuk keperluan Food Bank ini yang berupa barang dapur seperti beras, gula, gram, minyak masak, biskut, sardin, tepung gandum, tea atau milo. InsyaAllah tahan 2-3 minggu untuk mereka. Mereka boleh datang ambil lagi jika sumbangan yang kami berikan habis," tambahnya lagi.
Gambar ihsan TMK
Untuk masyarakat sekitar Kajang atau Bangi, Selangor yang amat memerlukan sumbangan berupa makanan dari usaha anak muda ini, boleh berkunjung ke kedai mereka di alamat No 3G, Jalan Reko Sentral 1, 43000, Kajang atau Waze/Facebook Page TINTED MAGIC KAJANG – Jalan Reko.
Selain itu, mereka juga mudah dihubungi melalui aplikasi "WhatsApp' kepada Farah 0103871149 / Anis 0133108020. Bagi mereka yang berhajat untuk turut menyumbang juga boleh hadir ke alamat tersebut, atau melalui nombor yang tertera. - KitaReporters