Insan & Komuniti 04 Oct, 2021

Zolkples dijemput Ilahi! Negara hilang pentadbir sukan! CDM Sukan Asia pemecah rekod 9 emas!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this


DATUK Dr. Ramlan Abd. Aziz mengakui, beliau bertungkus lumus bersama Allahyarham Datuk Seri Zolkples Embong demi kemajuan dan kejayaan sukan negara sejak menjadi rakan sekerja di Majlis Sukan Negara (MSN) pada 1990.

Katanya dalam satu hantaran Facebook 3 Oktober 2021, "kali pertama saya bertemunya pada Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 dan menyertai MSN mulai tahun berikutnya.

“Kami saling menghormati dalam nilai persahabatan yang betul dan berjalan di jalan yang mencabar.

Beliau meninggalkan legasi besar dan teladan untuk sukan Malaysia ketika menjalankan tugasnya dengan mendalam, tekun dan bertanggungjawab

"Milik Allah juga kita kembali," kata Ramlan, mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) dari 24 Ogos 2005 hingga 25 April 2007 selain pernah bergelar Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN). 


Lagi cerita-cerita menarik Zolkples Embong

ZOLKPLES EMBONG


RAMLAN ABD. AZIZ. - Kredit foto: RAA


Zolkples yang mengambil alih jawatan MSN itu pada 25 April 2007 hingga 18 Disember 2014, kembali ke rahmatullah pada awal pagi 3 Oktober 2021, dipercayai akibat serangan jantung di kediamannya, Pandan Indah, Kuala Lumpur.

Anak jati Dungun, Terengganu yang lahir pada 1 Mac 1959 itu menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 62 tahun. Beberapa tahun lalu Zolkples selamat menjalani pembedahan jantung di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur. 

Jenazah Allahyarham dibawa untuk urusan mandi dan solat jenazah di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur selepas solat zuhur.

“Jenazahnya kemudian dibawa ke Dungun, Terengganu pukul 3.30 petang untuk urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya,” lapor satu kenyataan media MSN.


UCAPAN takziah daripada MSN. - Kredit foto: MSN


ZOLKPLES Embong (tiga dari kiri) mempengerusikan Seminar Ketua Kontinjen Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. - Kredit foto: MSN 


Mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Alam Shah, beliau kemudiannya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1982.

Tahun yang sama Zolkples menyandang jawatan Pegawai Kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan dua tahun kemudian, menjadi Pegawai Kemajuan Sukan Bahagian Pembangunan MSN

Allahyarham mengambil alih jawatan MSN itu pada 25 April 2007 hingga 18 Disember 2014. Pada 18 Disember 2014 juga, Zolkples dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia 2017 (Masoc). 


ZOLKPLES Embong (dua dari kiri) bersama bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Razali Ibrahim (tiga dari kanan), Arrifin Ghani (kini Timbalan Pesuruhjaya Sukan) dan bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei. - Kredit foto: LCW


Antara sumbangan idea, kepakaran dan tenaganya ialah penubuhan Majlis Sukan Negeri Kelantan, Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, panel Akta Pembangunan Sukan 1997, Lembaga Pengarah Sukom 98 Sdn. Bhd., Program Doha 2006 dan Program Sukan Teras.

Zolkples turut pernah menjadi Ketua Kontinjen (Chef de Mission - CDM) negara pada Sukan Asia Guangzhou 2010 yang merangkul sembilan pingat emas, 18 pingat perak dan 14 pingat gangsa selain Sukan Paralimpik London 2012.

Sembilan emas dan tempat ke-10 keseluruhan di Guangzhou dengan sukan penyumbangnya seperti boling, berbasikal, skuasy, karate dan wusyu, merupakan rekod pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan Malaysia pada Sukan Asia sejak 1958.  

Beliau juga dilantik sebagai Timbalan Ketua Kontinjen Sukan Asia Busan 2002 dan Doha 2006.

Pada 8 Julai 2021, Zolkples muncul Naib Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) secara menang tanpa bertanding bagi penggal 2021-2023.


ZOLKPLES Embong (depan, tujuh dari kiri) ketika Seminar Ketua Kontinjen Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. - Kredit foto: MSN


Kata bekas Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman: “kali terakhir saya berjumpa Allahyarham pada mesyuarat perancangan strategik Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Oval Kriket Bukit Kiara sebelum pandemik Covid-19.

“Kami juga selalu berhubung melalui telefon. Saya berasa sangat sedih kerana kehilangan seorang bos yang sangat bagus, profesional dan penuh integriti. 

“Dialah bos, kawan dan mentor saya. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang yang salih,” kata ‘Gadis Bionik’ heptatlon olahraga 80-an negara ini.


ZAITON OTHMAN. - Kredit foto: MSN


Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Abdul Halim Kader berkata, “saya baru sahaja menghubungi beliau melalui WhatsApp pada pukul 7.05 pagi 2 Oktober 2021 dan beliau menerima serta membacanya.

“Saya nengenalinya hampir 30 tahun sebagai seorang tokoh sukan Malaysia yang berpengalaman luas,” katanya yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

Menurut Halim, pemergian Zolkples merupakan kehilangan besar sukan Malaysia atas jasanya selaku pentadbir sukan termasuk pada Sukan SEA dan Sukan Asia.

“Hatinya juga begitu dekat dengan sepak takraw dan pernah ingin melihat sukan tradisional Melayu ini memasuki Sukan Olimpik, satu hari nanti. 

"Sejak sekian lama, Astaf dan Istaf menyifatkannya sebagai sahabat sejati sepak takraw,” katanya. - KitaReporters

ABDUL Halim Kader (kanan) bersama Zolkples Embong pada satu kejohanan sepak takraw di Bangkok, Thailand. - Kredit foto: AHK


 MOM turut menzahirkan salam takziah pada Facebook rasminya. - Kredit foto: MOM


8
15
1
12
0
You will be interested