Insan & Komuniti 20 Jan, 2024

Aktivis burung, ADUN turun padang bersihkan sungai di Taiping! Sulaiman pula kekal Pengerusi NEST!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: roslan_616@yahoo.com

Share this

Papan tanda tajaan NEST sempena Kempen Cintailah Sungai Kita di Burmese Pool, Taiping, Perak.


JIKA selalunya mereka lebih dikenali sebagai aktivis burung, banyak melakukan aktiviti memburung, mengambil gambar dan mengumpul data spesies avian itu di seluruh negara, baru-baru ini mereka meninggalkan minat itu sebentar untuk bersama komuniti tempatan dan agensi lain untuk menjalankan tanggungjawab sosial (CSR) sempena program Cintailah Sungai Kita.  

Kempen Cintailah Sungai Kita yang diadakan di kawasan kolam batu besar dan lokasi perkelahan popular di Taiping, Burmese Pool adalah inisiatif yang baik oleh Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) bagi memastikan alam sekitar sentiasa bersih dan mendidik masyarakat menghargai alam semula jadi.

Sebahagian ahli NEST bergambar bersama Ong Seng Guan (duduk tiga dari kiri) dan Sulaiman Salikan (berdiri enam dari kiri) selepas perasmian papan tanda tajaan NEST di Burmese Pool, Taiping, Perak.


Program itu mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Taiping, Zoo Taiping & Night Safari, Jabatan Pengairan dan Saliran Taiping, Jabatan Bomba dan Penyelamat Taiping, Tourism Malaysia dan MyDusun Chalet Taiping. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pokok Assam, Ong Seng Guan.

Ong berkata, usaha itu amat bertepatan dengan persiapan bandar ini bagi sambutan ulang tahun ke-150 Taiping pada 20 Januari 2024 dan semestinya kebersihan menjadi agenda pertama untuk dipraktikkan apabila menerima kehadiran pelancongan nanti.

Ong Seng Guan (kanan) turun padang untuk mengambil bahagian dalam gotong royong membersihkan sungai di Burmese Pool, Taiping, Perak.


Beliau menghargai usaha NEST untuk membuka mata masyarakat tempatan dan cakna pentingnya memulihara alam sekitar apatah lagi Taiping pernah dinobatkan bandar ketiga terbaik dunia bagi kategori Anugerah 100 Destinasi Lestari Terbaik Dunia pada Anugerah Peringkat Antarabangsa Bagi Pelancongan Lestari Dunia 2018 di Berlin, Jerman.  

"Program ini cukup bermakna dan saya menerima jemputan NEST dengan senang hati dan hadir bersama-sama komuniti tempatan dan agensi-agensi lain seperti jabatan bomba, jabatan pengairan, Zoo Taiping dan Majlis Perbandaran Taiping untuk membersihkan kawasan tumpuan pelancong ini.

"Sebagai wakil rakyat, isu kebersihan alam sekitar sentiasa menjadi keutamaan saya dan sebelum ini kami banyak bekerjasama dengan Majlis Perbandaran Taiping menganjurkan pelbagai kempen bagi membuka minda masyarakat menghargai alam sekitar.

"Burmese Pool adalah anugerah alam sekitar kepada penduduk di Taiping, sepatutnya kita perlu sentiasa menjaga kebersihan, jangan membuang sampah di merata-rata tempat, gunakan tong sampah dan jika memasak, pastikan semua barang seperti plastik, arang, makanan dan minuman dibersihkan.


Sebahagian sampah yang dikutip sempena gotong royong membersihkan sungai di Burmese Pool, Taiping, Perak.


"Masyarakat perlu menjaga tempat ini seperti rumah sendiri kerana ia tumpuan orang ramai untuk berekreasi dan jika kawasan persekitaran kotor dan membawa penyakit, ia mungkin ditutup. Kerugian pastinya kepada kita," katanya yang turut merasmikan papan tanda tajaan NEST yang diletakkan di pintu masuk Burmese Pool.

Beliau yang dilahirkan di Taiping berbangga dapat tinggal dan bandar ini mesra kepada pelancong pelbagai umur walaupun ia dikunjungi ramai pelancong warga emas kerana seronok dengan suasana relaks, santai dan mesra alam semula jadi selain pelbagai kemudahan asas  serta mudah mendapatkan makanan yang sedap.  

AJK NEST sesi 2024/25 bergambar bersama Sulaiman (duduk tiga dari kiri) selepas pemilihan AGM ke-7 di MyDusun Chalet, Air Kuning, Taiping, Perak.


Sementara itu, Pengerusi NEST, Sulaiman Salikan menganggap program CSR, Cintailah Sungai Kita adalah sumbangan pertubuhan itu kepada masyarakat selain mendidik mereka untuk menghargai alam sekitar dan menjaga kebersihan untuk kelestarian generasi akan datang.

Beliau berkata, inilah pertama kali NEST menganjurkan program itu sejak penubuhannya tujuh tahun lalu, dan mendapat kerjasama baik daripada ADUN Pokok Assam, Ong Seng Guan selain Majlis Perbandaran Taiping, Zoo Taiping & Night Safari, Tourism Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Taiping, Jabatan Pengairan dan Saliran Taiping, Tourism Malaysia dan MyDusun Chalet Taiping. 


"Kami ingin menyumbang idea dan pengalaman selama tujuh tahun penubuhan NEST kepada masyarakat, mengumpul sedikit dana dan mendapat sumbangan pelbagai pihak yang memberi semangat untuk kami bekerja lebih kuat bagi kempen seperti ini dan pemuliharaan alam sekitar. 

"Tajaan papan tanda dengan gambar burung Enggang yang diletakkan di pintu masuk Burmese Pool adalah sumbangan kecil kami bagi menyampaikan mesej kepada masyarakat untuk menghargai dan memulihara alam sekitar terutama di kawasan rekreasi dan tumpuan pelancong.

"Tulisan, "Jangan Tinggalkan Apa-Apa Selain Jejak Kaki Anda" atau "Leave Nothing But Footprints" pada papan tanda itu adalah mesej untuk difahami masyarakat supaya dapat dilaksanakan dengan baik. Ia adalah ungkapan yang besar bagi mereka yang memahami kerana alam sekitar adalah penanda aras yang penting untuk melihat sama ada kita sihat atau tidak," katanya.


Sebahagian ahli NEST yang hadir sempena AGM dan Retreat 2024 di MyDusun Chalet, Air Kuning, Taiping, Perak.


Program CSR itu itu diadakan sempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Retreat NEST ke-7 bagi memilih ahli jawatankuasa (AJK) baru bagi sesi 2024/25. Ia diadakan di MyDusun Chalet, Air Kuning, Taiping, Perak dari 12 hingga 14 Januari 2024. Tema AGM tahun ini ialah Retro yang mengimbau zaman 60-an dan 70-an.

Beliau yang kekal sebagai Pengerusi NEST untuk tahun ketujuh gembira dengan perjalanan AGM dan Retreat itu dan maklum balas dari ahli, mereka amat berpuas hati kerana ada pelbagai pengisian dan percambahan idea selain gotong royong membersihkan sungai.

"Ini adalah AGM pertama selepas PKP dan kami menjemput pakar dari institut pengajian tinggi seperti Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak untuk berkongsi pelbagai ilmu mengenai burung dan alam sekitar," katanya. 

Mengenai masa depan NEST, katanya pertubuhan itu ke arah mewujudkan satu barisan pelapis bagi memastikan perjuangan dalam bidang alam sekitar dan avian diteruskan dan barisan lama akan berundur apabila tiba masanya, bukan tidak berminat tapi memberi laluan kepada pemimpin baru selain faktor usia.


Sebahagian ahli NEST yang memakai kostum ala Retro 60-an dan 70-an selepas membuat persembahan di malam terakhir AGM dan Retreat 2024.


Berikut adalah barisan AJK NEST bagi sesi 2024/25:

Pengerusi: Sulaiman Salikan

Naib Pengerusi: Ismail Mamat

Setiausaha: Abdul Afiq Abd Rahman

Naib Setiausaha: Nurul Aida Zawahir

Bendahari: Nur Azah Mohd Khalid

Shaiful Azhar Abu Bakar: AJK

Jamil Mat Isa: AJK

Juruaudit:

Roslan Ibrahim

Dr Ridhwan Affendi

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Taiping yang mengambil bahagian dalam ceramah dan demonstrasi mencegah kebakaran sempena Kempen Cintailah Sungai Kita di Burmese Pool, Taiping, Perak

19
14
0
10
0
You will be interested