Insan & Komuniti 10 Nov, 2025

Tiga tahun semai kasih! Suluh harapan tanpa batas kaum, agama! Beri sinar kepada penduduk setempat!

@mohamed sa'ari
Minat bidang penulisan sejak di bangku sekolah. Masih proses belajar.

Share this

Di setiap pelosok kehidupan, pasti ada insan yang memerlukan tangan untuk digenggam, bahu untuk bersandar, dan hati untuk memahami. Di situlah Pertubuhan Kebajikan Jiwa Prihatin Malaysia (PKJPM) menempatkan dirinya sebagai sahabat dalam kesusahan dan cahaya kecil di sebalik keperitan hidup.


Tan Lek Khang menyerahkan sebuah motosikal kepada pengunjung Majlis Sambutan Deepavali 2025 di Gelanggang Bola Keranjang Chaah, Johor pada 8 November 2025 lalu.


Kegembiraan jelas terpancar diwajah seorang pengunjung Majlis Sambutan Deepavali 2025 yang membawa pulang smart TV.


Tiga tahun berlalu sejak ditubuhkan, PKJPM bukan sekadar nama sebuah NGO. Ia kini menjadi nadi kasih bagi komuniti di sekitar Labis, Chaah dan Bekok, Johor yang hadir bukan untuk berjanji bulan dan bintang, tetapi untuk menyalakan setitik sinar dalam gelap kehidupan mereka yang memerlukan.

Bagi PKJPM, kebajikan bukan sekadar memberi lebih daripada itu ia tentang memahami dan setiap bantuan yang dihulur, sama ada sebakul makanan, sebuah kerusi roda atau sebuah motosikal ia membawa kisah dan makna tersendiri.

Dalam tempoh tiga tahun, lebih 60 buah motosikal telah diserahkan kepada penduduk setempat. Bagi sesetengah orang, ia mungkin sekadar kenderaan dua roda. Namun bagi penerimanya, motosikal itu adalah “nafas baharu” yang membuka jalan untuk bekerja, menyara keluarga dan mengubah kehidupan.

Tidak ketinggalan, PKJPM turut menubuhkan kelas tambahan percuma untuk murid sekolah rendah, sebagai usaha membina masa depan anak bangsa yang menerbitkan senyuman kecil dan tawa tulus anak-anak terbabit terselit harapan besar bahawa ilmu adalah kunci yang mampu membawa mereka  keluar dari kitaran kesusahan.


Basikal merupakan antara puluhan barangan yang disediakan untuk pengunjung bertuah pada Sambutan Deepavali 2025 lalu.


Menariknya, PKJPM turut menjadikan sambutan perayaan sebagai wadah perpaduan dan pengagihan rezeki. Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Hari Orang Asal diraikan bukan hanya dengan warna-warni budaya, tetapi juga dengan limpahan kasih sayang.

Menurut Pengerusi PKJPM, Datuk Tan Lek Khang, pendekatan ini memberi peluang setiap kaum diraikan dalam cara mereka tersendiri, sambil menyemai semangat saling menghormati antara satu sama lain.

“Untuk bersifat adil, kami menetapkan syarat cabutan bertuah mengikut perayaan  iaitu Melayu semasa Aidilfitri, India ketika Deepavali, Cina sewaktu Tahun Baharu Cina, dan Orang Asli ketika Hari Orang Asal. 

"Namun bantuan seperti bakul makanan, kerusi roda dan sumbangan lain tetap kami salurkan sepanjang tahun tanpa mengira kaum,” katanya penuh rendah hati ketika ditemui pada Majlis Sambutan Deepavali di Gelanggang Bola Keranjang Cha’ah, Johor pada 8 November 2025 lalu.


Datuk Tan Lek Khang (tengah) menerima cenderahati daripada wakil masyarakat India di Chaah sempena Sambutan Deepavali 2025.


Lebih 1,500 masyarakat India hadir memeriahkan majlis itu yang disambut dengan tawa, muzik dan harapan baharu dengan enam buah motosikal dan pelbagai barangan elektrik diagihkan kepada pengunjung bertuah, namun baginya hadiah sebenar ialah melihat wajah-wajah yang pulang dengan senyum lega.

Tangan yang memberi tidak pernah berhenti apabila dalam majlis sama, PKJPM turut menyerahkan sumbangan tunai kepada Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) Cawangan Labis, sebagai tanda penghargaan kepada pasukan yang tanpa penat lelah membantu menguruskan jenazah secara percuma yang merupakan satu tugas berat, namun penuh keikhlasan.

“Sebagai pertubuhan kebajikan, pintu kami sentiasa terbuka kepada sesiapa sahaja. Tidak kira siapa mereka, asalkan ada keperluan, kami akan bantu semampu yang ada,” ujarnya menzahirkan tekad untuk terus menjadi pelindung kepada mereka yang terluka oleh kehidupan.

PKJPM turut bergantung pada maklumat daripada masyarakat setempat untuk mengenal pasti individu yang tidak mampu datang sendiri khususnya warga emas atau yang uzur. 

Bagi mereka, setiap panggilan bantuan bukan sekadar tugas, tetapi amanah kemanusiaan yang perlu dijaga dan dilunaskan.


Selain jamuan  dan pelbagai hadiah, pengunjung turut dihiburkan oleh artis undangan.


PKJPM  yang menjadi sinar dalam gelap kepada masyarakat setempat sedar, mereka bukan penyelesai semua masalah. Namun setiap langkah kecil yang diambil adalah sebahagian daripada perjalanan besar untuk mengangkat martabat insan.

“Kami mungkin tidak mampu mengubah seluruh dunia, tetapi sekurang-kurangnya kami boleh mengubah dunia seseorang,” katanya dengan nada perlahan namun penuh makna.

Dari Labis, Chaah dan Bekok sehingga ke hati setiap penerima bantuan  PKJPM terus menulis kisah-kasih dan kemanusiaan. 

Dalam dunia yang semakin pantas dan individualistik, pertubuhan ini membuktikan bahawa keikhlasan dan kepedulian masih hidup, berdenyut dalam nadi masyarakat Malaysia.

Kerana bagi mereka, setiap tangan yang memberi tidak akan pernah kosong, ia penuh dengan keberkatan dan cinta sesama manusia. - KitaReporters


Seorang pengunjung (dua dari kanan) yang bernasib baik memenangi peti sejuk.

11
13
0
7
0
You will be interested