Insan & Komuniti 25 Sep, 2025

Aduan Rakyat| Bertahun-tahun dah! Demo, bantahan, aduan sudah! Masalah pencemaran tak selesai juga!

Share this

Demo sudah. Bantahan pun dah buat. Aduan dan report pun dah banyak. Namun bau busuk tak hilang-hilang juga. Lebih 200 penduduk dalam dilema.


Air tercemar dengan bau busuk serta bertakung berhampiran kilang terbabit.

Air tercemar turut menjadi tempat tumpuan nyamuk, lalat dan serangga lain berdekatan kediaman penduduk.

Kecewa yang teramat sangat terpaksa dizahirkan oleh lebih 200 penduduk dari Jalan 3, Lahar Bubu, Kepala Batas, Seberang Perai Utara, setelah aduan dan laporan mengenai operasi sebuah kilang ikan mencemarkan sejak lima tahun yang lalu tidak selesai sekian lama.

Demonstrasi aman terpaksa diadakan menuntut nasib mereka dibela, diberi perhatian dan kepedulian oleh pihak berkuasa.

"Kami sudah bertarung selama lima tahun merayu, mengemis, minta nasib kami diberi pembelaan.

"Bau busuk setiap hari, bunyi bising berterusan saban hari, keselamatan penduduk terancam apabila lori kerap masuk kawasan kediaman penduduk.

"Bila lori muatan berat kerap masuk kawasan penduduk ia bukan sahaja membahayakan keselamatan tetapi juga merosakkan jalan sedia ada," ujar penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai R. Asogan.


Penduduk berhimpun beramai-ramai bagi menzahirkan kekecewaan mereka.

Demo aman diadakan berdekatan kawasan yang didakwa mencemarkan kediaman penduduk sejak lima tahun yang lalu.

Selain pencemaran bau penduduk juga mendakwa mereka terpaksa berhadapan dengan pencemaran air, bunyi dan juga kehadiran serangga serta lalat setelah kilang terbabit beroperasi.

Malah aduan telah dibuat kepada kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta agensi terlibat tetapi masalah pencemaran masih berleluasa sehingga kini.

Menurut penduduk pada peringkat awal kilang ini dikesan beroperasi tanpa lesen dan telah menerima arahan berpindah.

Namun begitu penduduk mendapat makluman bahawa pada tahun 2023 tanah terbabit telah pun ditukar status menjadi kawasan industri tanpa pengetahuan penduduk setempat.

Penduduk kini dalam keadaan terdesak. Mereka merayu dan menagih simpati dari pihak berkuasa termasuklah kerajaan negeri,  wakil rakyat kawasan, MBSP, Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Tanah dan Daerah Seberang Perai Utara serta agensi terlibat supaya nasib mereka diberi pembelaan dengan segera.


Penduduk berhimpun beramai-ramai menzahirkan kekecewaan mereka 

Dr Siti Mastura Muhammad (depan, kanan) mendengar luahan penduduk semasa hadir di lokasi.

Dr Siti Mastura Muhammad, Ahli Parlimen Kepala Batas semasa turun padang meninjau situasi kawasan terbabit mengakui kewujudan pencemaran yang telah berlarutan sejak sekian lama.

"Saya peduli dan prihatin kepada penduduk yang menghadapi pencemaran sejak bertahun-tahun lamanya.

"Perkara ini dipandang serius dan harus diberi keutamaan kerana ia juga melibatkan kesihatan dan keselesaan kehidupan penduduk.

"Masalah ini akan dibawa sehingga ke peringkat Parlimen bagi mendapat solusi. Ia tidak boleh dipandang ringan. Nasib penduduk harus diberi perhatian serius," ujar beliau. - KitaReporters


Dr Siti Mastura (tiga dari kanan) bersama penduduk meninjau secara dekat kawasan terbabit yang didakwa mencemarkan persekitaran kediaman mereka sejak sekian lama.

14
15
0
8
0
You will be interested