Insan & Komuniti 21 Oct, 2025

Demimu Palestin! Eksplorasi Rakit Flotilla For Palestine! Berakit-rakit sejauh 10km di Sungai Perak!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: [email protected]

Share this

Suasana penuh semangat dan kesatuan jelas terpancar pada wajah ratusan peserta yang menyertai program Eksplorasi Rakit Flotilla For Palestine di Sungai Perak yang bermula dari Jeti Jambatan Victoria sehingga ke Jeti Dataran Kuala Kangsar.


Sebahagian rakit sudah melepas Jambatan Manong dekat Kuala Kangsar.

Semangat itu terpancar dengan adanya kerjasama dalam menghasilkan pembuatan rakit dari buluh untuk berlayar di Sungai Perak sejauh 10 kilometer.

Tinjauan mendapati pelayaran flotila menggunakan rakit itu diawasi pasukan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bagi memastikan keselamatan peserta ketika berada di sungai itu.

Program itu begitu jelas mendapat sambutan daripada kalangan masyarakat setempat itu, bukan sekadar perhimpunan solidariti, tetapi lambang kasih dan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap penderitaan rakyat Palestin yang ditindas oleh regim Zionis Israel.


Pegawai polis turut memberikan nasihat kepada peserta Eksplorasi Rakit Flotilla For Palestine.

Buluh digunakan oleh peserta untuk membuat rakit dan belayar di Sungai Perak.

Pengarah program, Makmun Zulkifli berkata, penganjuran eksplorasi ini membuktikan keutuhan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat dari pelbagai peringkat usia.

Beliau berkata, program ini mencapai matlamat utama iaitu memberi kesedaran dan membangkitkan semangat kebersamaan kita dengan rakyat Palestin. 

"Alhamdulillah, sambutan luar biasa menunjukkan masyarakat kita tidak pernah leka terhadap isu kemanusiaan ini,” katanya dalam kenyataan pada 18 Oktober 2025.

Makmun turut menzahirkan penghargaan kepada semua rakan NGO serta penduduk Sungai Siput dan Kuala Kangsar yang berganding bahu menjayakan misi flotila berkenaan tanpa mengira usia atau latar belakang.

 “Komitmen 100 peratus daripada semua pihak menjadi kunci kejayaan kita hari ini,” katanya lagi.


Sebahagian peserta sedang menurunkan rakit ke tepi Sungai Perak di Jeti Jambatan Victoria, Sungai Siput.

Makmun berharap agar semangat solidariti seperti itu tidak terhenti setakat program tersebut, sebaliknya terus disebarkan ke seluruh negara bagi menyuntik kekuatan kepada rakyat Palestin bahawa mereka tidak berjuang sendirian.

“Kita berdoa agar segala sumbangan sama ada dalam bentuk wang, tenaga mahupun idea diterima Allah sebagai amal soleh. Insya-Allah, akan ada lagi program susulan selepas ini,” tambahnya.

Sorakan “Takbir! Allahu Akbar!” yang bergema pada akhir majlis itu menjadi penutup penuh bermakna, menandakan semangat perjuangan dan solidariti rakyat Malaysia terhadap Palestin terus hidup dan membara. - KitaReporters

11
11
0
9
0
You will be interested