Insan & Komuniti 17 Nov, 2025

Warga emas hebat! 25 usahakan tanaman hidroponik! Isi masa lapang berfaedah! Sedekah kpd masjid!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: [email protected]

Share this

Sekumpulan warga emas di Kampung Pokok Assam, Taiping memanfaatkan sebidang tanah dengan melaksanakan projek tanaman sayuran-sayuran secara hidroponik.


Wan Mohd Isa Wan Mohd Razali (berkerusi roda) sedang melihat sayuran hijau yang ditanam secara hidroponik di Pkok Asam, Taiping.


Projek Kebun Hidroponik itu dilaksanakan pada 5 Oktober 2025 lalu membabitkan kos RM40,000 dengan penanaman 1,000 pokok sayur-sayuran berdaun. Antara sayur-sayuran yang ditanam ialah salad, bayam, sawi dan kailan.

Ketua Kelab Fisabilillah Pokok Asam, Shahabudin Ashari berkata, projek ini melibatkan 25 orang warga emas bertujuan mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang berfaedah.

Ini, katanya dapat membantu warga emas untuk aktif dengan kegiatan yang memberikan keceriaan dan mengelak warga emas berada dalam kesunyian.

“Sayuran yang ditanam di sini menggunakan sistem solar untuk mengawal pembajaan dan air bagi membolehkan sayur-sayuran sentiasa segar dan selamat dimakan,” katanya pada majlis pelancaran Kebun Hidroponik oleh Orang Besar Jajahan Larut Matang Selama, Datuk Seri Wan Mohd Isa Wan Mohd Razali di Jalan Pokok Assam Tambahan dekat Taiping pada 17 November 2025.


Shahabudin Ashari.

Shahabudin berkata, sayur-sayuran yang dituai nanti akan diedarkan di masjid, kedai makan dan orang perseorangan.

“Kita sedekah kepada sesiapa sahaja dan seronok apabila usaha yang kita buat ini telah membuahkan hasil,” katanya.

Seorang warga emas Enson Ahmad berkata, setiap hari dua warga emas ditugaskan untuk memantau dan memastikan sistem solar dan pembajaan beroperasi.

“Kalau musim hujan kita datang bagi memastikan tidak ada serangga yang menyerang dan mengawal sistem hidroponik beroperasi dengan lancar,” katanya yang seronok mengisi masa lapang dan tidak terbuang masa lapang.


Sebahagian petugas Fisabilillah bergambar dengan Wan Mohd Isa Wan Mohd Razali (depan) selepas majlis pelancaran Kebun Hidropomik di Pokok Asam, Taiping.

Projek Hidroponik merupakan projek penanaman sayur-sayuran dan tumbuhan lain tanpa menggunakan tanah, di mana akar tanaman diletakkan dalam larutan baja atau air.

Projek ini boleh dijalankan secara individu dan boleh secara komersial untuk meningkatkan hasil tanaman dan pendapatan. 

Ia memberikan banyak kelebihan seperti penggunaan baja yang lebih cekap, pertumbuhan tanaman yang lebih cepat dan boleh mengatasi masalah tanah yang tidak subur atau serangan penyakit. -KitaReporters

13
9
0
12
0
You will be interested