Ia bukan sekadar pasar mingguan biasa. Dengan panjang lebih dua kilometer dan lebih 600 peniaga setiap Ahad, ia diiktiraf sebagai Pekan Sehari Terpanjang di Malaysia oleh Malaysia Book of Records (MBOR).
Sejak lebih 150 tahun lalu, pekan sehari ini menjadi nadi ekonomi tempatan dan destinasi wajib bagi penduduk serta pelancong untuk merasai sendiri keunikan suasana jual beli tradisional di tengah bandar Temerloh.
Setiap Ahad, bermula seawal pukul 7 pagi, ribuan pengunjung membanjiri lorong-lorong sepanjang lebih dua kilometer ini. Pelbagai barangan tempatan seperti ikan sungai segar termasuk patin Temerloh yang terkenal, sayur-sayuran kampung, buah-buahan tropika, kuih-muih tradisional serta kraftangan dijual dengan harga berpatutan.

Suasana meriah dan warna-warni ini menjadikan Pekan Sehari Temerloh bukan sahaja pusat perniagaan, tetapi juga lokasi pelancongan budaya yang mempamerkan gaya hidup masyarakat Pahang.
Setiap lorong dipenuhi dengan peniaga pelbagai latar belakang menjual hasil tani, makanan tradisional, kraf tangan dan produk tempatan yang sukar ditemui di tempat lain.
Kini, ia menjadi tumpuan orang luar yang ingin merasai sendiri keunikan vibe pekan sehari tersebut, suasana yang hanya dapat dialami sekali seminggu.
Itulah yang dikongsi oleh seorang wanita yang menetap di Melaka.
Dalam video yang dimuat naik dalam media sosial, kelihatan jalan-jalan di pekan sehari itu sesak dengan pengunjung seawal pagi, masing-masing sibuk memilih dan membeli barangan kegemaran mereka.
Menurutnya, dia sampai di situ seawal jam tujuh pagi semata-mata mahu menikmati suasana dan mencuba makanan tempatan yang terkenal.

“Dari Melaka ke Temerloh. Seawal 7 pagi dah sampai,” tulisnya ringkas dalam kapsyen video tersebut.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen.
Ramai yang teruja untuk sama-sama merasai suasana pekan sehari tersebut. Malah ada yang sudah merancang rombongan awal-awal lagi.
“Temerloh tunggu kami datang tahun depan. Kami bawa satu kampung, insya-Allah,” tulis salah seorang netizen yang meninggalkan komen lucu.

Namun bagi sebahagian penduduk Temerloh sendiri, fenomena ini agak menghairankan.
Mereka tertanya-tanya mengapa orang luar begitu ramai berkunjung ke sini sedangkan kebanyakan barangan yang dijual boleh didapati di pasar malam atau pasar raya biasa.
“Boleh tahu orang-orang luar Temerloh pergi pekan sehari beli apa je? Saya orang Temerloh pun keliru parking penuh, sedangkan dulu stadium tak sampai separuh parking.
'Sedangkan 90% benda ni boleh jumpa di pasar raya atau pasar malam,” kata seorang penduduk yang berkongsi pengalamannya.

Fenomena ini menunjukkan Pekan Sehari Temerloh bukan sekadar tempat membeli-belah, tetapi juga telah menjadi simbol tarikan pelancongan unik yang menggabungkan nostalgia, interaksi sosial, serta pengalaman budaya tempatan yang tidak boleh diganti oleh pasar moden.
Apa pun pandangan orang luar atau penduduk setempat, Pekan Sehari Temerloh kekal menjadi destinasi unik yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.
Bagi pelancong, ia peluang melihat sendiri gaya hidup dan budaya niaga orang Pahang yang penuh warna-warni.
Bagi peniaga, ia ruang rezeki turun-temurun yang terus berkembang walaupun dunia semakin moden.
Fenomena ini membuktikan bahawa suasana mesra, tradisi tempatan dan pengalaman membeli-belah yang autentik masih mempunyai daya tarikan tersendiri, menjadikan Pekan Sehari Temerloh sebagai salah satu ikon pelancongan budaya paling menarik di Malaysia. - KitaReporters