Insan & Komuniti 12 Jul, 2023

Airmata berguguran! Kasih terpisah kembali bertaut! Lebih 300 bekas pelajar SMART gamit kenangan lama!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this

Meja pendaftaran mula dibuka pada jam 7.45 malam di pintu masuk Kimstone Ballroom, Kompleks Teruntum


Kasih terpisah kembali bertaut. Biarpun hanya seketika cuma namun memberi makna yang begitu mendalam sekali. 

Airmata hampir berguguran diiringi pelukan mesra antara satu lama tanda rindu yang tidak boleh diungkap dengan kata-kata. Biarpun bukan semua berbuat demikian itulah antara momen yang sukar dilupakan begitu sahaja. 

Itu yang terjadi dalam pertemuan semula bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib (SMART), Kuantan pada Majlis Makan Makan: Jalinan Kasih anjuran Pertubuhan Alumni SMART yang berlangsung di Kimstone Ballroom, Kompleks Teruntum, Kuantan pada 8 Julai 2023.



Sebelum meja pendaftaran dibuka pada jam 7.45 malam, ramai bekas pelajar sudah mula bertegur sapa antara satu sama lain biarpun masih belum mengenali siapa senior dan siapa junior

Sesekali kedengaran ketawa berdekah dan ada juga mengukir senyuman selain melambai tangan apabila terpandang gerangan sahabat lama yang dicari.

Buat seketika pengumuman pengacara majlis yang meminta hadirin mengambil tempat masing-masing tidak dipedulikan walaupun tetamu khas sudah berada di meja utama. Pada mereka, bertemu rakan yang lama tidak ditemui mengatasi pentingnya aturcara majlis.

Jelas kelihatan keterujaan kira-kira 300 bekas pelajar SMART bermula dari tahun 1964 (tingkatan satu) apabila dapat bertemu dan menyantuni antara satu sama lain pada majlis yang berlangsung selama dua jam itu.


Alias Abdullah (kanan) menyerahkan sumbangan bantuan untuk pelajar asnaf kepada Mohamad Che Ibrahim pada majlis berkenaan.


Acara dimulakan tepat jam 8.30 malam dengan bacaan doa dipimpin oleh Ustaz Sovri Ismail diikuti ucapan aluan oleh Pengerusi Pertubuhan Alumni SMART, Alias Abdullah dan ucapan perasmian oleh Pengetua SMART, Mohamad Che Ibrahim.

Dalam ucapan ringkasnyanya, Alias berkata majlis itu diadakan bagi tujuan menjalinkan ukhwah dan meraih dana bagi melaksanakan aktiviti menambah keahlian, kebajikan ahli, kemasyarakatan dan membalas jasa budi SMART.

Selain itu, katanya Pertubuhan Alumni SMART turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar asnaf manakala pelajar asnaf Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 menerima sumbangan daripada Kesatuan Pelajar Tingkatan Enam Sains/Sastera (KEPTES) 1972.  

Majlis turut diserikan dengan persembahan buskers dan nyanyian ahli KEPTES.  


Pelajar Aanaf cemerlang SPM 2022 menerima sumbangan daripada KEPTES 1972

Pelbagai jenis hidangan enak disediakan pihak penganjur sebagai penghargaan kepada Alumni yang hadir

Beberapa bekas pelajar yang ditemui menyatakan keterujaan masing-masing apabila berkesempatan hadir di majlis berkenaan yang menggamit pelbagai memori lama di zaman persekolahan. Pelbagai cerita diputar kembali walaupun ada yang hampir terlupa kerana faktor usia. 

Bekas pelajar SMART 1970, Mohd Shaimy Hashim, 70, berterima kasih kepada pihak penganjur kerana berjaya menjejak dan mengumpul bekas pelajar sekolah itu. Memiliki kerjaya sebagai pelukis, Mohd Shaimy teruja dapat bertemu sahabat lama, senior dan junior.

"Walaupun paras rupa dan fizikal sudah banyak berubah malah saya sendiri sudah bertongkat tetapi perasaan rindu nak berjumpa itu sangat kuat, menyebabkan saya sanggup datang bertemu mereka. Kami sudah terlalu lama membawa haluan masing-masing.
"Saya bertemu senula kawan saya Razak selepas 55 tahun terpisah apabila saya berpindah ke Sungai Lembing dari Pekan. Banyak perubahan kami berdua sampai tidak kenal antara satu sama lain pada mulanya," katanya.


Mohd Shaimy Hashim, 70 


Presiden Alumni SMART SPM 1980, Kamaruzaman Kamaludin, 60, pula berkata majlis itu benar-benar menggamit kenangan lama sewaktu duduk di asrama dan saling mengenali semua pelajar sekolah waktu itu.

"Saya sungguh gembira dapat bertemu semula dengan senior sekolah yang telah terpisah begitu lama. Banyak yang perlu dikenang dan diceritakan semula ketika kami belajar bersama.
"Alumni kami (SPM 1980) pula baru sahaja mengadakan majlis pertemuan pada 4 Jun (2023) lalu dan hampir 30 orang bertemu sekali lagi di sini dan beramah mesra dengan senior dan junior walaupun ada yang sudah lupa iras masing-masing waktu sekolah dahulu," katanya yang menetap di Kuala Lumpur.

Kamaruzaman Kamaludin, 60


Menurutnya, Alumni SMART 1980 berjaya mencuri tumpuan hadirin apabila pada akhir majlis tersebut mereka menyarung baju-T yang melambangkan tahun kelahiran mereka (1963) sehingga ada yang menghampiri bertanya apa yang uniknya mengenai baju tersebut.

"Majlis ini istimewa di hati kami malah ikatan persahabatan kami tidak akan berakhir sampai bila-bila. Baju ini lambang keakraban kami," katanya.


Alumni SMART 1980 mencuri tumpuan apabila menyarung t-shirt lambang tahun kelahiran (1963) untuk merakam kenangan sebelum majlis makan malam itu berakhr.


Alumni 1990-an bergambar kenangan sebelum majlis berakhir


Bekas pelajar Tingkatan 5 Sastera 1, Saifful Bahri Abd.Rahman, 56, pula berkata majlis yang diadakan amat memberi makna kepadanya kerana ia mengamit kenangan zaman persekolahan apabila dapat berjumpa dengan senior.

"Kami SMART 84 (nama kumpulan) menyokong sepenuhnya pertemuan ini kerana ia bagus untuk menyambung silatulrahim dan hubungan dengan pihak sekolah.
"Secara peribadinya saya menjadi pengawas dari tingkatan 1 sehingga 5 dan masih ramai rakan yang mengingati saya. Begitu juga dengan sebahagian senior saya, kami masih saling mengenali kerana ada yang masih berwajah sama waktu di sekolah," katanya yang berkhidmat sebagai Konsultan Reka Bentuk.

Saifful Bahri Abd. Rahman (kiri) bersama rakan kumpulan SMART 1984 yang turut hadir pada majlis berkenaan


Norfaizah Abd Karim, 50, berkata dia bersyukur kerana dapat hadir pada majlis itu kerana sejak tahun 1990 selepas tamat SPM hubungannya dengan pelajar senior dan sebahagian rakan sebayanya sudah terputus.

"Saya usahakan juga untuk hadir malam ini tetapi agak sedih kerana ramai rakan tidak munculkan diri tetapi saya tetap bersyukur dapat bertemu bekas guru saya ketika di Tingkatan 4 dan 5, Lailatun Zalaliah Hussain dan ibu saudara sepupu saya, Ainal Marhaton Abd Ghani yang juga bekas pelajar batch 1980.  

"Kebanyakan super senior beza antara 10 hingga 30 tahun. Tetapi yang menariknya mereka menyokong program Alumni ini walaupun ada yang nampak uzur dan berpapah ketika berjalan. Saya terharu dengan semangat mereka," katanya yang menetap di Pekan. 


Norfaizah Abd Karim, 50 bersama ibu saudara sepupunya, Ainal Marhaton Abd Ghani yang juga bekas pelajar SMART 1980.


"Kita bertemu sekejap cuma

singgah melakar ceria
menyapa menghimpun cerita
usah duka andai boleh suka.
Datang dan pergi
silih berganti
andai rindu bertamu
gambar pelepas rindu."

Semoga ada lagi pertemuan selepas ini. Semoga dipanjangkan umur dan sihat-sihat selalu para Alumni SMART semua. - KitaReporters


Kegembiraan jelas terpancar pada wajah sebahagian daripada Alumni SMART 1980-an yang hadir pada majlis makan malam berkenaan

18
11
0
15
1
You will be interested