Sebahagian bekas pelajar SMIL merakam gambar kenangan bersama bekas guru mereka ketika Program SuaMesra SMIL 83 di sekolah tersebut pada 27 Julai 2024 lalu.
Sebahagian bekas pelajar yang hadir berpakaian uniform sekolah mengembalikan nostalgia ketika bergelar pelajar.
Selepas lebih 40 tahun meninggalkan bangku sekolah, seramai 80 bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Ibrahim, Labis (SMIL) kembali menjejakkan kaki ke sekolah bagi menjayakan Program SuaMesra SMIL 83 di Dewan SMK Munshi Ibrahim, Labis, Johor pada 27 Julai 2024 lalu.
Kehadiran mereka ke sekolah pada kali ini begitu istimewa kerana turut disertai pasangan dan ahli keluarga masing-masing bagi beramah mesra sambil mengimbau kenangan ketika bergelar pelajar selepas terpisah selama berpuluh-puluh tahun.
Penaung Alumni SMIL Batch 1983, Dato' Marzuki Ramli berkata, program tersebut melibatkan bekas pelajar yang dilahirkan pada tahun 1966 dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1983 sahaja.
Marzuki Ramli menyampaikan cenderahati kepada bekas guru sebagai penghargaan kepada jasa mereka.
"Program ini bukan sekadar menjadi pertemuan semula bekas pelajar, malah kami turut mengundang guru-guru yang pernah mengajar kami khususnya mereka yang pernah menabur bakti di SMIL pada tahun 1980-an.
"Tidak semua insan yang pernah mendidik kami dulu dapat kami bawa untuk diraikan pada hari ini kerana ramai dalam kalangan mereka telah pergi meninggalkan kita selain dalam keadaan uzur mahu pun tidak dapat dapat dihubungi selepas bersara," katanya.
Lebih istimewa, bagi mengembalikan nostalgia semasa bergelar pelajar, ramai dalam kalangan bekas pelajar hadir mengenakan uniform sekolah.
Semasa program tersebut juga, Alumni Batch 83 turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM5 ribu sebagai tanda penghargaan kepada pihak sekolah yang pernah menjadi tempat mereka menimba ilmu satu ketika dahulu.
Antara bekas guru SMK Munshi Ibrahim Labis, Johor yang hadir ketika Program SuaMesra SMIL 83
Sementara itu, bekas guru yang penah mengajar di sekolah tersebut, Juni Othman, 80, melahirkan rasa terharu diraikan bekas pelajarnya yang kini rata-rata sudah berjaya selain menyifatkan ia sebagai satu penghargaan serta pengiktirafan kepadanya sebagai pendidik selama lebih 30 tahun.
Katanya, dia yang menghabiskan sebahagian besar tempoh perkhidmatan sebagai guru selama lebih 30 tahun di sekolah tersebut sebelum bersara pada tahun 1999 memang tidak pernah terfikir akan diraikan oleh bekas pelajarnya dalam suasana yang begitu meriah dan penuh nostalgia.
Pada masa sama, Juni turut mendoakan agar semua bekas pelajarnya sentiasa berjaya dalam apa juga diusahakan selain berharap mereka menjadi insan yang mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan negara
Juni Othman
Hussin Abd. Ghani
Seorang lagi bekas guru yang diraikan, Hussin Abd. Ghani menyifatkan undangan bekas pelajarnya ke program tersebut sebagai kesempatan terbaik bukan sajaha bertemu dengan bekas pelajarnya tetapi sebagai peluang bertemu semula dengan rakan guru yang sudah terpisah sejak puluhan tahun sebelum ini.
"Saya ditugaskan mengajar di SMIL selama 20 tahun sebelum bersara pada tahun 2000. Selepas bersara boleh dikatakan saya tidak berkesempatan bertemu dengan rakan-rakan guru yang pernah sama-sama bertugas di sekolah ini dahulu.
"Bertemu dengan rakan guru serta bekas pelajar yang sudah lebih 20 tahun saya tinggalkan ini merupakan satu detik bermakna buat saya. Walaupun persekitaran sekolah sudah banyak berubah, tetapi setiap sudut sekolah ini menyimpan banyak kenangan bagi kami yang pernah bertugas di sini," katanya
Beliau juga berharap program seumpama dapat diadakan sekurang-kurangnya setiap dua atau tiga tahun bagi memastikan persahabatan dan ukhuwan dalam kalangan mereka dapat dikekalkan. - KitaReporters