Insan & Komuniti 02 Jul, 2025

Tabur baja di sawah! Pertandingan Desa Explore! Antara aktiviti Jelajah Sejahtera Desaku Negeri Perak!

@abd razak osman
Bekas stringer Kosmo! dan mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Menulis selagi masih hidup. Emel: razakosman1950@gmail.com

Share this

Salah satu acara menarik iaitu menabur baja di sawah turut diadakan. 


Berbagai acara menarik, termasuk menabur baja di sawah padi oleh peserta berlangsung di Kampung Tebuk Matau, Simpang Empat, Semanggol sempena Program Jelajah Sejahtera Desaku Negeri Perak.

Penganjur program itu adalah Pejabat Daerah dan Tanah Kerian dengan kerjasama Kolej Komuniti Bagan Serai, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Kerian, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) daerah Kerian, Pejabat Pertanian daerah Kerian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutusn (FAMA) daerah Kerian, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Negeri Perak, Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Tebuk Matau, Kampung Padang Lalang, Kampung Tua dan Kampung Alor Setanggok.

Pengerusi program itu, Rabizah Hasni Muhamad berkata, pelbagai aktiviti diadakan hingga berjaya merapatkan hubungan baik antara komuniti kampung dengan pelbagai agensi lain.


Rabizah Hasni Muhamad dan Saidi Saari.


Seramai 39 peserta anak angkat, termasuk dari Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang, UiTM Seri Iskandar, UiTM Tapah tinggal bersama keluarga angkat semasa program ini berlangsung selama tiga hari mulai 27 Jun 2025 lalu.

Juga peserta dari Politeknik-Politeknik Bagan Datuk, Seberang Perai, Ungku Omar, Sultan Azlan Shah, dan Metro Tasek Gelugor, serta Kolej-Kolej Komuniti Bagan Serai, Bandar Baharu, Kulim, Nibong Tebal, Sungai Siput, Kuala Kangsar dan Chenderoh.

Dalam pada itu, pertandingan Desa Explore turut disertai 300 peserta, melalui empat kategori, iaitu lelaki terbuka, perempuan terbuka, lelaki veteran 40 tahun ke atas, pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Swasta (IPTS).

Aktiviti lain, seperti membuka daun palas untuk buat ketupat dan larian sejauh 8km di sekitar kawasan sawah padi turut diadakan.

Di samping itu, gotong royong mengecat keceriaan kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Dahlan oleh prospek Rawatan Pemulihan Dalam Komuniti AADK Daerah Kerian, diikuti dengan Ceramah Perdana Maal Hijrah di Masjid Al-Huda Kampung Tebuk Matau.

Rabizah berkata, Jualan Agro Madani, Jualan Rahmah menceriakan banyak pihak kerana berpeluang membeli barang keperluan dengan harga lebih murah berbanding di tempat lain.

Pengunjung juga melihat pelbagai pameran dari agensi tertentu, termasuk Tenaga Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Akademi Kenegaraan Malaysia Negeri Perak, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Klinik Kesihatan Gunong Semanggol, Pameran Pendidikan TVET dari Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kursus Pendek Kolej Komuniti, Kursus Cantingan Batik, Kursus Hiasan Kek dan Program gunting rambut percuma untuk kaum lelaki sahaja diikuti Jamuan Kenduri rakyat.


Peserta mengambil bahagian semasa acara pelepasan Pertandingan Desa Explore yang diadakan. 


Pegawai Daerah Kerian, Saidi Saari berkata, melalui Program Jelajah Sejahtera Desaku Peringkat Daerah Kerian, pihak jawatankuasa telah memperkenal buat pertama kalinya acara Desa Explore dengan matlamat untuk melihat keunikan aktiviti dan suasana kehidupan masyarakat tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, Dato’  Zulkafly Harun semasa menutup program berkata, Jelajah Sejahtera Desaku Peringkat Daerah Kerian yang disusun ini, menarik dan meriah setelah penglibatan pelbagai pihak termasuk pihak swasta.

"Justeru, saya akan mempertimbang peruntukkan yang lebih bersesuaian untuk pelaksanaan program ini pada masa hadapan," katanya. - KitaReporters


Antara yang hadir di majlis perasmian program itu. 


Jawatankuasa penganjur Program Jelajah Sejahtera Desaku Negeri Perak bergambar kenangan.

14
12
0
14
0
You will be interested