
Maliki Clique @ Ali Abdul Raheem. - Kredit foto: YouTube Towards Eternity
Dibuang ahli keluarga dan ditolak daripada senarai pewaris pusaka oleh bapa kandung sendiri adalah dugaan amat perit bagi mualaf, lebih-lebih lagi apabila dia memerlukan tempat untuk bergantung dan berlindung setelah keluar dari penjara, di mana dia menemui Islam. Lagi menyedihkan dia dianggap telah mati oleh ayahnya kerana ingin terus kekal dalam Islam.
Berita banduan bukan Muslim temui Islam dalam penjara bukan benda baru kerana kita tahu di sebalik tirai besi itu tidak dinafikan ada penghuninya yang insaf dan keluar sebagai orang baik-baik.
Selain Muslim yang insaf, ada juga banduan bukan muslim yang revert (berbalik atau kembali) kepada Islam ketika di penjara, dan keluar sebagai penganut soleh.
Seorang lelaki Amerika Syarikat, Maliki Clique, 51, yang memeluk Islam di penjara bercerita mengenai kisah revert beliau dalam beberapa video dalam YouTube dan TikTok.
(Hakikat setiap bayi dilahirkan Muslim tetapi dididik dengan agama lain oleh ibu bapa, apabila bersyahadah maksud dia telah berbalik atau kembali kepada Islam, atau disebut revert dalam bahasa Inggeris).
Kredit Youtube: The Quran Motivation
Hairan, penulis sebak tak terkawal sehingga teresak ketika menonton kisah revert Maliki Clique dalam media sosial. Bahkan dalam komen, rata-rata mengakui turut menangis mendengar kisah revert lelaki mat salih asal California Selatan ini. Mengapa?
Nama Islam, Ali Abdul Raheem lebih dikenali Maliki Clique ialah Muslim Amerika penghasil konten yang kerap berkongsi perjalanan peribadi berbaliknya selain berdakwah dalam TikTok.
Sejarah awal kehidupan, mula dibesarkan oleh ibu tunggal yang tidak beratkan agama, dia mendekati Kristian sejak berpindah tinggal bersama ayahnya ketika berusia sekitar tujuh tahun.
Ibu dan bapanya berpisah ketika dia berumur setahun. Ayahnya seorang Kristian tegar, pengaruh ayah membuat Maliki Clique aktif ke gereja, tiga kali seminggu pada zaman kanak-kanak.
Mereka daripada golongan Kristian Evangelikal yang mementingkan Alkitab dan percaya pada Yesus Kristus sebagai Juruselamat dan Tuhan.
Pada usia 14 tahun, berlaku perubahan besar dalam hidupnya, sedang dalam pengajian Bible suatu hari, dengan kuasa Allah dia menemui kontradiksi fakta dalam dua ayat lain berkait hal sama membabitkan Jacob (Nabi Yaakub) dalam kitab itu.
"Saya pun tanya guru Bible ketika itu tetapi jawapannya sangat aneh."
"Saya tak pernah tahu adanya benda ini (kontradiksi itu)," dan nasihat guru Bible itu, "abaikan saja! Dalam Kristian, yang penting kekalkan diri dalam iman atau faith," lanjut Maliki @ Ali yang kini menetap di Oklahama.
Walau masih muda, dia tak puas hati dengan jawapan itu. "Awak guru Bible, masakan tak pernah tahu pasal ini?"
Hari-hari berikutnya dia masih baca Bible, namun adanya kontradiksi, lama kelamaan dia hilang keyakinan terhadap kitab itu dan berhenti ke gereja, namun masih percaya kepada Tuhan yang satu.
(Untuk makluman, umat Islam wajib percaya kepada kitab Injil dan tidak Bible, kerana Bible bukan terjemahan asli daripada Injil. Jadi Bible dan kitab Injil itu tidak sama).
"Saya teruskan persekolahan biasa, bergaul bebas, dan hidup terumbang-ambing. Tanpa agama, kita tak tahu mana perbuatan betul dan salah, kesannya saya terbabit masalah sosial termasuk penagihan dadah, untuk mengatasinya, saya masuk tentera.
"Ya, tentera berjaya ubah diri saya ke arah kebaikan, kekuatan diri dan disiplin, namun tamat perkhidmatan, hidup saya tiada arah semula," tambahnya.
Di sebalik ada kerja dan pendapatan bagus, suatu hari dia terbabit kegiatan merompak kerana ikut ajakan kawan. Pertama kali merompak, 24 jam kemudian ditangkap, didapati bersalah, penjaralah tempatnya.
"Saya dihantar ke Penjara Kawalan Maksimum (tempat tahanan pesalah berbahaya) yang sangat teruk, di Walla Walla. Apabila orang tanya kenapa merompak, saya jawab untuk suka-suka."
Baginya kesalahan rompakan kecil saja tapi hukuman dikurung 8-10 tahun, dan ditempatkan bersama pesalah besar, gangster, pengedar dadah, pembunuh, mafia, penjenayah, namakan apa saja penjahat, tidak patut.
"Berada di penjara Washington itu, baru saya tahu banduan kulit putih dan gelap diasingkan selnya. Saya dimasukkan dalam sel orang putih.
"Kisah Islam saya, bermula apabila saya bertemu Muslim. Suatu hari saya keluar ke halaman penjara, tiba-tiba seorang lelaki kulit putih dengan lima lelaki Amerika Afrika di belakangnya, berjalan lurus, mara terus ke arah saya, buat hati saya cuak."
Mereka semakin dekat, sangkaannya geng lelaki itu ingin `cari pasal` dengannya dan dia sudah bersedia angkat tangan untuk lawan.
Lelaki kulit putih itu lantas berkata, "Whoa whoa tidak, tidak, tidak. Assalamualaikum!" tegurnya. "Saya balas: Apa??" (Tak faham dengan ucapan itu).
"Dia memberitahu, bukan itu (berlawan) niat kami. Kami datang hanya nak berbual. Boleh kita cakap dalam 10 minit?" soalnya sambil memperkenal diri sebagai Omar, berasal dari Turki.
"Saya pun lega, dia lantas bertanya, apa awak tahu mengenai Islam?" Saya jawab, "Langsung tak tahu apa-apa."
"Kemudian dia menarik perhatian saya kepada keajaiban alam. Kata Omar, "perhatikan alam semesta ini (universe), fikirkan bagaimana Allah mencipta matahari, bulan dan bumi yang bergerak di orbit masing masing, bagaimana apabila ketiga-tiganya berkedudukan selari, dengan kuasa Allah terjadi pula gerhana.
"Saya terkesima, kata-kata itu sangat deep. Apa saja pernyataan Omar, sangat logik dan boleh diterima."
Selepas itu, mereka kerap bertemu dan berbual pasal Islam.
"Setiap kali saya keluarkan hujah debat, Omar sanggah dengan bukti daripada Bible dan Quran. Kemudian Omar hadiahkan saya Quran. Hari itu juga saya membeleknya, pada muka surat index, saya nampak nama Jesus, Moses, Abraham, Mary dan Joseph, Isaac, saya fikir ia sama seperti Bible.

Selepas dibuang keluarga dan hilang segalanya, Ali ditakdirkan bertemu ahlul bait @ waris Rasulullah SAW yang mempelawanya tinggal di rumah mereka dan menaja makan minum. - Kredit Foto: YouTube Towards Eternity
"Kerana nama nama Nabi itu ada dalam kitab Kristian. Saya fikir, Quran pun mungkin sama penuh dengan kontradiksi. Dalam penjara tak ada apa nak buat, saya pun menekuni kandungannya dan kagum, tak ada percanggahan satu pun.
"Paling menyentuh hati ialah surah Ar-Rahman, surah pertama yang saya nampak dan hayati (terjemahan) sewaktu mula menatap Quran."
Seterusnya, suatu hari Omar mengajaknya ke masjid. Pertama kali melihat jemaah solat dimulai berwuduk, dia sudah berasa kagum dengan Islam yang mengajar umatnya bersuci sebelum solat.
"Kenapa Kristian tak begitu?" fikirnya. Melihat keadaan jemaah solat, masing-masing fokus dengan segala perbuatan yang seiring dan tenang, dia terfikir lagi, "mengapa di gereja bingit dengan bunyi alat muzik segala?"
Satu lagi yang membuatnya terpinga apabila Imam membaca surah Quran tanpa pegang kitab. Omar menjelaskan, bukan imam sahaja hafal Quran, jemaah di situ juga hafal dan ramai lagi umat Islam di luar sana, berjuta-juta, turut hafal surah Quran. Sekali lagi dia berasa tertampar.
"Ketika melihat jemaah pelbagai kategori penjenayah yang besar, garang dan pelbagai raut rupa semua sujud di lantai, saya nampak betapa masing-masing humble, merendahkan diri apabila berada di hadapan Sang Pencipta."
Tambahnya, "Sewaktu jemaah solat, saya berjalan ke barisan pertama di hadapan, dan buat begini (telengkan muka ke arah jemaah, nak tengok wajah mereka), tidak siapa pedulikan saya, semua fokus solat sampailah ke sujud."
Semua itu katanya, termasuk membersih diri (wuduk) sebelum solat, lantunan azan yang syahdu, hafal surah quran, sujud @ merendahkan diri sampai ke lantai, buat dia tak terkata. Yang terucap hanya ungkapan, "That was it!"
Saat melihat mereka semua sujud, semasa itulah hidayah datang. Selesai solat Omar kembali kepadanya dan bertanya, "what do you think?" (Apa awak fikir?)
Masa itu juga dia luahkan isi hati, "Omar saya akan jadi Muslim hari ini!" Bagaikan merayu supaya diterima masuk Islam, sangkanya ini bukan agama untuk orang putih, sebab di masjid semua kulit berwarna.
"Saya tak peduli, kalau ini bukan agama untuk orang seperti saya, tetapi saya tetap ingin sertai Islam," tegasnya. Permintaan Maliki disambut dengan takbir "Allahuakbar, Masya Allah dan Alhamdulillah" oleh Omar. Dan pada hari itu juga, Oktober 1991, Maliki Clique bersyahadah, pada usia sekitar 19 tahun.
"Melalui bimbingan Omar dan rakan, saya dapat jawapan kepada kehendak rohani yang saya cari selama ini," tambahnya yang telah menjalani kehidupan sebagai Muslim selama 32 tahun.
Yang membuat penulis menitiskan air mata, ketika dia disambut oleh ahlul bait (waris Nabi Muhammad SAW) yang memberinya tempat tinggal dan menaja makan minum selepas dihalau dan dibuang daripada keluarga oleh ayahnya, sehingga sanggup memotong namanya sebagai pewaris pusaka AS$600,000 (RM2,564,100). Dia mengakui tak pandang pun harta tu, kerana baginya ketika itu, Islam adalah segalanya.
Menariknya, dia tidak tahu pun latar belakang orang yang menolongnya, sehinggalah apabila dimaklumkan, dua orang Arab itu adalah ahlul bait.
Satu lagi yang menarik pada akhir temu bual, Ali mendakwa pernah bermimpi bertemu Nabi SAW dua kali yang membuat ramai pengikut mengakui menangis. terutama apabila diberitahu, dalam salah satu mimpinya dia berpeluang memeluk baginda Nabi SAW.
Sebagaimana kita maklum, apabila seseorang bertemu Nabi Muhammad dalam mimpi, ia adalah benar kerana tiada siapa atau apa pun yang dapat menjelma menyerupai rupa baginda.
Selesai menonton video itu, ini yang terlintas di hati penulis: "Guys, sudahlah hidupnya dibantu oleh ahlul bait, istimewanya dia, pernah dua kali bermimpi jumpa Nabi dan memeluk baginda! Ko Ada?"
Tonton video kedua ini untuk kisah yang lebih terperinci dan menghayati penghijrahan insan yang lebih dikenali dengan nama Maliki Clique (Ini juga nama akaun Tik Tok dan YouTubenya).
Bekerja sebagai pemandu truk, dia yang mempunyai pengikut 372,000 dalam TikTok dan 92,000 dalam YouTube berkata, selain berdakwah kepada umum dan penganut Kristan, niatnya juga untuk berdakwah kepada Muslim yang hanyut, agar kembali kepada Islam. - KitaReporters