
Kompleks Darul Hanan di Kepala Batas, Seberang Perai Utara.
Polis dan masyarakat sememangnya tidak dapat dipisahkan apalagi warga emas dan mereka yang telah lanjut usia yang memerlukan kasih sayang serta kepedulian daripada anak-anak.
Kesempatan ini diambil oleh warga Balai Polis Kepala Batas, Seberang Perai Utara yang diketuai oleh Inspektor Ghazali Mustapa, Ketua Polis Balai Kepala Batas bersama 33 anggota dan pegawai awam balai tersebut menyantuni warga emas dan penghuni
Pusat Jagaan Warga Emas Darul Hanan yang merupakan pusat jagaan warga emas.

Warga PDRM diberi penerangan mengenai aktiviti yang disediakan bagi penghuni Darul Hanan

Darul Hanan yang letaknya di Pongsu Seribu, Kepala Batas, Seberang Perai Utara adalah sebuah kompleks kelolaan Zakat Pulau Pinang (ZPP) yang diwujudkan bagi menguruskan warga emas berteraskan agama Islam serta mengurus penjagaan dan perlindungan terbaik kepada warga emas yang memerlukan.
Sejajar dengan itu pogram bersama warga emas Darul Hanan yang dilaksanakan bertujuan untuk merealisasikan pendekatan 'community policing' (kepolisan komuniti) yang berteraskan kepada moto 'Polis dan masyarakat berpisah tiada'.
Malah lawatan dan ziarah ini juga adalah untuk menggembirakan warga emas Darul Hanan serta mengeratkan lagi silaturahim antara warga PDRM, Balai Polis Kepala Batas dengan penghuni pusat jagaan warga emas terbabit.



Kehadiran warga PDRM telah disambut oleh wakil Zakat Pulau Pinang, Ustaz Maudi Azizan serta pengurusan Darul Hanan.
Selain beramah mesra dengan penghuni Darul Hanan, mereka juga disajikan dengan masakan tengahari bersama oleh warga PDRM.
Darul Hanan sedia ada sebenarnya memberi ruang kepada warga emas yang berumur 57 tahun ke atas untuk menghuni kompleks penjagaan tersebut.
Mereka haruslah terdiri dari warga emas yang tidak mempunyai waris ataupun waris yang tidak berkemampuan serta berupaya untuk mengurus diri.
Adalah diutamakan warga emas yang tidak mempunyai pendapatan atau perlindungan, tersisih daripada keluarga dan kes yang dirujuk pada pihak hospital dalam negeri Pulau Pinang ataupun Jabatan Kerja Sosial Perubatan.
Dengan jelas ia membuktikan keprihatinan dan kepedulian institusi agama Islam khususnya Zakat Pulau Pinang terhadap nasib warga emas warga emas di Kepala Batas, Seberang Perai Utara. - KitaReporters

Warga PDRM bersama pengurusan Darul Hanan bergambar kenangan.