Insan & Komuniti 27 Oct, 2024

Memang best! Karnival BEST - Pertunjukan Berkuda dan Memanah! Kumpul dana bagi tabung Charity Week!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Pertunjukan seni memanah tradisional Hungary oleh Academy Awesome Archery.


Prihatin terhadap masa depan anak yatim dan kanak-kanak kurang berkemampuan di seluruh dunia, Benua Equestrian Stable (BEST) dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) menganjurkan Karnival BEST - Pertunjukan Berkuda dan Memanah Tradisional, bertempat di Benua Equestrian Stable, UPM pada 20 Oktober 2024.

Karnival tersebut bertujuan untuk mengumpul dana bagi tabung Charity Week IR Malaysia melalui penjualan tiket pertunjukan berkuda dan memanah berkuda di samping memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai aktiviti sukan sunah sedari awal usia kanak-kanak.

Ketua Projek Karnival Best merangkap Pegawai Kanan Bahagian Penjanaan Dana IR Malaysia, Mohd Hafiz Ab Majid berkata, anggaran pengunjung yang hadir kira-kira 500 orang.


Pertunjukan memanah berkuda oleh 3Brothers Archery.


“Setiap tahun, kumpulan sukarelawan Islamic Relief dari pelbagai negara akan menjalankan program Charity Week bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada projek-projek kemanusiaan Islamic Relief yang memberi fokus kepada bantuan anak yatim dan kanak-kanak kurang berkemampuan di seluruh dunia.

“Tahun ini, sebanyak 21 kumpulan sukarelawan telah mendaftar di bawah program Charity Week IR Malaysia.

“Pelbagai inisiatif dan aktiviti telah dirangka oleh kumpulan-kumpulan sukarelawan Charity Week ini bagi menjayakan program tersebut. 

"Jadi, salah satu aktiviti yang dilakukan pada tahun ini ialah Karnival BEST,” katanya.

Antara aktiviti menarik yang ditawarkan kepada pengunjung Karnival BEST ialah pertunjukan berkuda, memanah berkuda, pertunjukan seni memanah tradisional Hungary, pertunjukan tent pegging, hippoteraphy, archery fun shoot, joy ride, horse feeding, booth jualan makanan dan minuman, pameran, taklimat, dan pelbagai lagi.

Kebanyakan peserta booth jualan pada karnival itu terdiri daripada usahawan-usahawan projek Growth Entrepreneuship Assistance Programme (GRAP) di bawah bimbingan IR Malaysia.

Turut hadir dalam karnival tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah IR Malaysia, Dato’ Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman; wakil Pusat Pertanian Putra UPM, Mohd Tarmizi Ishak; Ketua Pegawai Operasi Benua Equestrian Stable, Zakaria Abdul Rahman; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Siti Fadilah Mohd Hood; serta Pengurus Kanan Bahagian Penjanaan Dana IR Malaysia, Sharmiza Husin.


Sesi taklimat dan persembahan berkuda oleh RT Equestrian Sdn. Bhd.


Syed Saleh turut menyampaikan ucapan pembukaan program, sekali gus merasmikan Charity Week Malaysia yang dijadualkan berlangsung bermula 21 hingga 27 Oktober dengan tema ‘Keadilan Sosial’.

Rata-rata pengunjung berpuas hati dan teruja dengan pertunjukan berkuda, memanah, memanah berkuda dan tent pegging yang dipersembahkan oleh RT Equestrian Sdn. Bhd., Academy Awesome Archery dan 3Brothers Archery.

“Program ini sangat bagus sebagai pendedahan kepada anak-anak. Bukan budak-budak saja yang teruja, tetapi orang dewasa pun teruja juga sebab boleh tengok secara dekat dan pegang kuda,” kongsi Azalia yang hadir dari Manjalara, Kepong.

Program turut disertai oleh 40 orang pelajar dari Sekolah Rendah Islam Integrasi Az-Zahra dan diserikan dengan kehadiran Ikon Kemanusiaan IR Malaysia, Cef Imelda dan Kumpulan Saujana. - KitaReporters/Kenyataan Media


Syed Saleh Syed Abdul Rahman (empat dari kiri) menyerahkan cenderahati kepada Zakaria AbdulRahman atas kerjasama penganjuran Karnival BEST


Kakitangan dan Sukarelawan Karnival BEST

9
6
0
9
0
You will be interested