Insan & Komuniti 01 Jul, 2021

Tadika ditutup, namun rezeki Rohani Mat Ali tak putus! Kini usahakan Kelas Membaca Online STEP!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil. Boleh dihubungi melalui emel khadijahmohamadnor@gmail.com

Share this

SEBAHAGIAN pelajar Sistem Tadika Elitis Pintar di Kota Bharu, Kelantan yang dirakam sebelum PKP 3.0 dilaksanakan. - Kredit Foto: Koleksi peribadi Rohani Mat Ali


PANDEMIK Covid-19 yang melanda negara dan seluruh dunia telah menyebabkan banyak pengusaha taska dan tadika berdepan kerugian besar. Situasi itu menyebabkan seorang demi seorang pengusaha mula mengecilkan operasi.

Lebih menyedihkan ada yang terpaksa bertindak menutup terus operasi taska dan tadika masing-masing apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 diumumkan.

Ini kerana hampir kesemua pengusaha taska dan tadika swasta bergantung sepenuhnya kepada kutipan yuran pelajar. Maka, apabila aliran tunai mengalami kejatuhan merudum, perniagaan mereka tidak dapat dijalankan seperti biasa.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan tadika

ROHANI bangkit mendepani cabaran apabila operasi taska dan tadika terpaksa ditutup kerana pandemik Covid melalui kelas membaca secara dalam talian.


Bagaimanapun, di sebalik ujian berat ini, seorang pengusaha Sistem Tadika Elitis Pintar (STEP) di Kota Bharu, Kelantan bangkit mendepani cabaran dengan solusi tersendiri.

Rohani Mat Ali, 45, berkata, menyedari hal itu beliau segera meninggalkan sifat terus mengeluh dengan apa yang berlaku, sebaliknya tampil dengan idea mewujudkan Kelas Membaca Online STEP.

“Rupa-rupanya dalam kelam masalah dan kekurangan aliran tunai, ada ruang dan peluang yang Allah hadirkan. Sebagai hamba, kita hanya perlu berusaha dan berikhtiar mencari jalan penyelesaian. Selebihnya serahkan pada Dia Yang Maha Bijaksana dalam mengatur takdir semua makhluk-Nya,” ujar wanita kelahiran Kuala Terengganu ini.



Sewaktu tahun pertama mengadakan kelas membaca secara dalam talian sepanjang tempoh PKP, ibu kepada empat cahaya mata itu mengakui sedikit kekok pada awalnya.

“Maklumlah, bukan satu perkara mudah mahu mendapatkan fokus anak-anak kecil ini untuk memberi tumpuan kepada guru yang mengajar di alam maya berbanding kelas bersemuka.

“Tambahan pula, tidak semua ibu bapa memahami dan boleh menerima dengan baik sistem pembelajaran tadika secara online. 

"Namun, melihat wabak Covid yang tidak menentu dengan angka kes turun dan naik, saya perlu lakukan sesuatu. Akhirnya saya mula mengubah fokus perkhidmatan yang ditawarkan tetapi masih lagi dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak,” jelasnya lagi.

Memasuki tahun kedua era pandemik ini, beliau semakin bersedia dengan apa juga arahan yang dikeluarkan pihak berwajib. Oleh itu, selain menumpukan pada kelas membaca online kepada pelajarnya, beliau turut membuka kelas untuk orang luar juga.

KELAS membaca secara online yang diusahakan wanita ini menerima sambutan yang sangat memberangsangkan. 


Ternyata usaha Rohani tidak sia-sia apabila menerima semakin banyak permintaan untuk kelas membaca kanak-kanak.

Menggunakan modul Kaedah Membaca Ekpres-i dan Expres-i Reading yang diasaskan oleh Bonda Nor, para pelajar beliau mampu belajar membaca dengan lebih pantas.

Apatah lagi, dengan kreativiti yang dipamerkan Rohani seperti memakai kostum atau hiasan yang comel dan menarik perhatian, kanak-kanak yang mengikuti kelasnya menjadi lebih fokus.


WANITA ini sentiasa tampil dengan kreativiti tersendiri termasuk memakai perhiasan comel untuk menarik perhatian pelajar ciliknya.


Berpegang pada kata-kata azimat Man Jadda Wa Jada, ibu kepada empat cahaya mata itu berjaya membuktikan bahawa di sebalik setiap ujian Tuhan, ada hikmah yang membahagiakan.

“Saya tahu pasti  ramai guru tadika swasta yang mahir untuk mengajar anak-anak membaca. Gunakan kemahiran yang Allah rezekikan ini untuk membantu lebih ramai anak-anak belajar membaca walaupun secara online.

“Kerana saya juga percaya ibu bapa di luar sana berasa risau anak-anak mereka tercicir dan tidak menguasai kemahiran membaca yang merupakan asas dalam pembelajaran subjek lain.

“Justeru, apabila berdepan musibah, kita jangan hanya merenung pada satu pintu yang dikunci. Sebaliknya kita usahakan membuka pintu baru agar cahaya rezeki dapat menerobos masuk,” ungkap wanita ini lagi.


MENGGUNAKAN modul Kaedah Membaca Ekpres-i, ramai pelajar Rohani mampu menguasai tahap pembelajaran dengan lebih pantas.


Menurut beliau, kelas membaca secara online tidak memerlukan modal yang besar. Jadi, ada banyak kelebihan pada guru dan juga anak murid.

Buat semua pengusaha tadika dan taska di luar sana, Rohani menitipkan pesan: “Jangan pernah berputus asa walau apa jua ujian yang melanda. Kita usahakan mencari rezeki dengan apa yang ada.”

Subhanallah.

Semoga Allah terus meluaskan rezeki buat para pengusaha taska dan tadika swasta di seluruh negara. Percayalah bahawa rezeki Allah sentiasa ada buat hamba-Nya yang tidak jemu berusaha.

Seperti mana sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sekiranya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya Allah akan memberi rezeki kepada kamu seperti memberi rezeki kepada burung. Mereka pergi pagi hari dengan perut kosong dan pulang pada petang hari dengan perut kenyang." - Hadis Riwayat Tirmizi. - KitaReporters


GAMBAR kenangan sewaktu majlis graduasi anak-anak pelajar di Sistem Tadika Elitis Pintar pada tahun 2019.

26
5
1
0
0
You will be interested