“TERHARU sebak sangat.” Itu antara reaksi awal yang mampu diungkapkan oleh pendakwah selebriti dan tokoh amal terkenal negara, Ustaz Ebit Lew apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertemu dengan beliau di Temerloh, Pahang. : KitaReporters
Lagi kerja-kerja amal berkaitan Ustaz Ebit Lew:
https://kitareporters.com/search?search=ebit+lew
Bukan sekadar bertemu, Agong yang terkenal dengan sifatnya yang mesra rakyat dan pemurah itu turut perkenan membelanja Ustaz Ebit makan tengah hari dengan hidangan ikan patin di Temerloh, Pahang. Ia merupakan salah satu makanan identiti negeri Pahang, yang juga negeri naungan Tuanku.
Dua figura pembela rakyat ketika sedang dalam kesusahan ini ternyata bertemu dalam keadaan harmoni dan cukup ramah sehingga ia menimbulkan rasa kagum, gembira dan terubat sedih di hati akibat dibadai bencana banjir apabila dapat melihat dua wajah figura ini bertemu muka.
Menurut Ebit, beliau berasa sangat malu apabila dilayan oleh Al-Sultan Abdullah dari mula hingga selesai menjamah hidangan malah dimintanya membacakan doa sebelum makan.
Seperti yang umum sedia maklum, Tuanku memang tersohor sebagai seorang Raja Melayu yang cukup mesra rakyat sejak dari bersemayam di Istana Pahang lagi.
“Tuanku ulang kali cakap ustaz terima kasih beri bantuan di Negeri Pahang. Allahuakbar. Sebenarnya sikit sangat bantuan kami berikan di Pahang ini.
“Selalu nampak rombongan Tuanku YDPA setiap hari beri bantuan banjir. Pecah tiga lagi. Tuanku, Permaisuri Agong dan Pemangku Raja. Dari pagi sampai lewat malam,” katanya dalam satu kenyataan dalam laman Facebook.
Selain daripada itu, Ustaz Ebit turut berkongsi bagaimana suasana intim dan penuh kasih sayang antara Yang di-Pertuan Agong dengan Raja Permaisuri Agong.
Ketika sedang bersantap bersama di gerai makan tersebut, kata Ustaz Ebit, Agong tidak kekoh dan tidak segan silu untuk menyuapkan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di hadapan orang ramai.
Ini adalah gambaran sebenar betapa Al-Sultan Abdullah merupakan seorang yang penuh dengan kasih sayang, bukan sahaja kepada para rakyat jelata, malah ia dimulakan dari 'rumah' - Raja Permaisuri Agong.
“Bergurau mesra. Kasih sayang. Cinta sampai syurga,” ujarnya.
Satu lagi perkara yang dikongsi oleh Ustaz Ebit adalah mengenai situasi di mana Agong sendiri yang perkenan mengajak beliau untuk bergambar bersama.
Kelazimannya, hamba rakyat yang terlebih dahulu meminta sembah izin kepada Sultan atau Raja untuk bergambar, namun ketika bersama dengan Ustaz Ebit, Agong sendiri yang mengajaknya serta pasukannya untuk bergambar.
Ini menimbulkan rasa segan dan malu beliau terhadap seorang Raja yang begitu merendah hati dan penuh kasih sayang terhadap rakyat jelata.
“Semua memang berdoa jer teringin nak bergambar. Allah kabulkan doa kami. Ya Allah inilah Raja kami yang teramat baik dan mulia. Berilah kebaikan dan rahmat kepada Tuanku dan keluarga.
“Terima kasih ya Allah temukan kami dengan Tuanku YDPA kami yang mulia,” katanya.
Laman facebook Istana Negara juga turut memuat naik status perjumpaan Agong dengan Ustaz Ebit ini pada 13 Januari 2021 dan menyifatkan pertemuan tanpa dirancang itu cukup mengembirakan Agong serta rombongan.
"KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan beramah mesra dan berinteraksi bersama penceramah terkenal Ustaz Ebit Liew.
"Pertemuan Seri Paduka Baginda bersama Ustaz Ebit Liew adalah secara kebetulan apabila Al-Sultan Abdullah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong singgah menikmati santapan tengah hari di restoran Patin Station, Temerloh," tulis Facebook Istana Negara.
Semoga kita terus memiliki figura-figura hebat seperti Agong dan Ustaz Ebit ini agar kebajikan dan nasib rakyat sentiasa dapat dibela dan dibantu dari semasa ke semasa. - KitaReporters