PERDANA Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha dilaporkan akhirnya masuk campur dan mengarahkan polis supaya meneruskan siasatan kes kematian pelakon dan penyanyi negara itu, "Tangmo" atau Nida Patcharaveerapong, 37, dengan telus selepas beberapa bukti baharu ditemui pegawai penyiasat.
Bangkok Post pada Isnin 7 Mac 2022 lalu melaporkan Ketua Polis, Suwat Jangyodsuk berkata pihaknya akan menjalankan siasatan lebih lanjut terhadap kematian mendiang dan laporan pemeriksaan forensik dijangka diketahui dalam beberapa hari lagi sambil menyifatkan kes itu sebagai kemalangan akibat 'terjatuh' dari bot laju.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pembunuhan
Manakala analisis yang dipetik oleh penterjemah berita dari Thailand dalam TikTok memberitahu antara bukti baharu ditemui itu termasuk beg yang mempunyai bahan pemberat, kipas bot dan baling-baling serta pecahan botol arak yang antara dikatakan diguna untuk menoreh paha pelakon berkenaan.
Kata mereka, "Sekiranya Tangmo tidak tahu nama orang kenamaan yang membuat janji temu, nyawanya mungkin terselamat".
Polis berkata hasil siasatan, paru-paru mendiang dimasuki air dan dia masih hidup ketika terjatuh dari bot. Malah minumannya dikatakan dicampurkan dengan dadah.
Manakala ada laporan memberitahu pergelutan berlaku di atas bot. Dikatakan orang yang 'menempahkan' mendiang ini seorang suka mendera wanita dan berusia lebih 70 tahun, terkenal dengan sikapnya suka 'membeli artis' untuk tujuan hiburan.
Malah kata penganalisis itu, ahli kenamaan ini sanggup berbelanja jutaan Baht untuk memiliki orang terkenal dan pengurus Tangmo dikatakan terperangkap sebab sudah mengambil deposit.
Selain itu, laporan Bangkok Post pula menyebut pihak berkuasa negara itu menyifatkan kematian pelakon Ghost of Mae Nak itu sebagai "kemalangan" dan polis menggunakan mesin mengesan pembohongan untuk menyoal siasat mereka yang terbabit
Bangkok Post melaporkan Tangmo diiringi lima orang lagi menaiki bot dari jambatan Krung Thon Bdi Bangkok ke Jambatan Rama VII di Nonthaburi.” Kejadian itu dilaporkan jam 10 malam apabila dia dikatakan 'terjatuh' dari bot yang menyeberangi Sungai Chao Phraya itu.
Mereka mahu ke sebuah hotel berdekatan untuk satu 'janji temu' dengan seorang kenamaan yang kemudian dikaitkan dengan kerabat istana. Janji temu itu diuruskan oleh pengurusnya.
Laporan menyebut Tangmo enggan menemui kenamaan itu kerana menyifatkan dirinya bukan seorang pelacur dan keengganan dia itu akhirnya membawa maut selepas kenamaan itu mengarahkan supaya "simpan" Tangmo.
Lelaki itu bimbang kerana mendiang sudah tahu namanya dan jika isu itu didedahkan kepada media, dia akan kehilangan maruah dan hilang pangkat dan gelarannya.
Maksud "simpan" itu ialah hapuskan mangsa kerana orang kenamaan itu lebih bimbang imej dirinya daripada takutkan isterinya.
Mayat Tangmo ditemui terapung di sungai itu pada 26 Februari 2022 lalu selepas dua hari dilaporkan terjatuh ketika mahu ke belakang bot untuk membuang air kecil.
Bagaimanpun, bukti terbaharu mendapati leher mangsa ada kesan calar seolah-olah dijerut dan mayatnya dipercayai ditarik dengan tali itu sebelum ditinggalkan di perairan.
Difahamkan 29 saksi sudah disoal siasat dan polis masih mencari bukti forensik dan bekerja keras untuk menghubungkait bukti dengan kenyataan saksi termasuk rakaman video dan maklumat GPS.
Abu Tangmo ditaburkan di sungai yang sama dia mati dijalankan oleh kekasihnya, Stonerbkk @ Green Man yang memdampingi mendiang sejak dua tahun lalu.
Bangkok Post melaporkan, Tangmo diiringi pengurusnya, Idsarin “Gatick” Juthasuksawat; pemilik bot, Tanupat “Por” Lerttaweewit; Wisapat “Sand” Manomairat, seorang CEO syarikat Orisma Technology Phaiboon “Robert” Trikanjananun dan Nitas “Job” Kiratisoothisathorn dalam kejadian yang berlaku pada 24 Februari 2022 itu.
Stonerbrkk dikatakan mengejar cinta Tangmo sejak tujuh tahun lalu dan mereka menjalani dunia percintaan secara diam-diam dan mereka menghabiskan masa menikmati kehidupan alam semula jadi.
Dia bukanlah seorang pelakon atau pekerja dalam bidang hiburan, tapi hanya pemilik sebuah syarikat mengedarkan beg plastik. Selepas kematian kekasihnya, Stonerbrkk hanya mengambil kucing peliharaan dan 'bantal busuk' sebagai kenangan mereka bersama.
Kematian Tangmo itu mengejutkan dunia hiburan malah mencatatkan skandal buruk kepada Thailand kerana dikatakan membabitkan orang kenamaan dan paling berpengaruh.
Warga Thai enggan menerima keputusan kematian itu dengan mudah. Lalu mereka bekerjasama dengan keluarga mendiang, pasukan peguam, badan separuh kerajaan seperti pertahanan, media dan orang perseorangan untuk mengesan urutan kejadian berkenaan.
Malah ia turut membabitkan netizen Malaysia yang setiap hari memuat baik berita penemuan bukti dan video kejadian sehingga memberi 'tekanan' kepada pihak berkuasa negara itu membuka semula kes itu walaupun peringkat awalnya, ibunya, Panida Siriyuthayothin menerima sagu hati 30 juta Baht (RM3.8 juta) daripada pemilik bot berkenaan.
Tangmo dengan anak angkatnya. - Kredit foto: News Unzip
Dilahirkan pada 13 September 1984 di Bangkok, Thailand, Tangmo menamatkan pengajian peringkat ijazah di College of Social Innovation, Rangsit University dan memasuki dunia filem pada 2003.
Rappler.com menyebut Tangmo pernah berlakon filem The Fallen Leaf, Ghost of Mae Nak, dan Pard 888. Dia juga membintangi siri popular Bangkok Love Stories: Innocence.
Pernah berkahwin dengan pelakon Phakin Kumwilaisuk selama dua tahun dan terbabit dalam pelbagai bidang termasuk berlakon, model, personaliti televisyen, pemandu kereta lumba, influncer (pempengaruh) media sosial, penyanyi dan usahawan. Dia turut menjaga anak pengurusnya yang dijadikan anak angkat.
Projek terbaik yang pernah mendiang terbabit selain berlakon ialah Silk care of Love, Blowing Leaves dan Tears of Death. - KitaReporters