Insan & Komuniti 03 Jan, 2022

Keluarga Malaysia: Misi Bantuan Pakaian Sukan berjaya! Bahagiakan mangsa banjir di Hulu Langat!

@news editor 1
Semua kenyataan media/press releases boleh di emel ke editor@reporters.com

Share this


MISI Bantuan Pakaian Sukan Untuk Mangsa Banjir yang dicetuskan oleh kumpulan Pengamal Media Sukan Malaysia telah terlaksana apabila sumbangan daripada para peminat sukan dan bekas atlet kepada mangsa musibah di kawasan Hulu Langat, Selangor berjaya diagihkan dengan sempurna dan jayanya.

Misi yang memenuhi aspirasi konsep Keluarga Malaysia ini telah diketuai Datuk Jasni Shafie dan disertai beberapa kenderaan pacuan empat roda daripada pasukan penganjur acara pacuan empat roda terbaik antarabangsa, Rain Forest Challenge (RFC).

Antara barangan yang disampaikan ialah pakaian sukan, kasut dan beberapa pakaian wanita yang disumbangkan oleh peminat-peminat sukan dari seluruh negara serta bekas atlet.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan misi bantuan banjir



``Kami bersyukur kerana dapat menyampaikan barang-barang yang disumbangkan oleh pelbagai pihak dan berharap sumbangan ini dapat membantu mangsa banjir yang kehilangan harta benda, khususnya pakaian beriadah dan bersukan,’’ kata Jasni.

Misi bantuan ini agak unik kerana ia mengumpulkan pakaian berkaitan sukan kerana tujuan utama ialah supaya mereka yang terlibat dalam banjir dapat kembali meneruskan kehidupan aktif dan bersukan selepas pakaian sukan mereka rosak setelah rumah mereka ditenggelami banjir baru-baru ini.



Bekas wartawan sukan, Azman Suradi merumuskan misi ini agak istimewa dan kreatif kerana ia memberi tumpuan kepada sumbangan berbentuk pakaian dan barangan sukan yang jarang dilakukan dalam bantuan banjir yang dilakukan oleh pelbagai NGO sebelum ini.

``Sedikit sebanyak barangan yang disampaikan, dengan terus kepada sasaran akan membantu untuk mereka mula beriadah dan bersukan secepat mungkin selepas banjir pulih,’’ kata Azman yang turut menjadi mangsa banjir apabila rumahnya ditenggelami air.

Ketua Kumpulan Pacuan Empat Roda RFC, Atan Aris pula meluahkan rasa bangga bersama dalam misi ini kerana dapat memberikan sumbangan membantu mangsa banjir dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda masing-masing.

``Kami akan terus memberikan sokongan kepada misi ini kerana ia lebih fokus iaitu menyampaikan sumbangan berbentuk pakaian sukan kepada mangsa banjir yang terjejas, terutama anak muda dan murid sekolah,’’ kata Atan. 



Misi ini dilancarkan pada dua minggu lalu bertujuan membantu mangsa banjir yang kehilangan atau kerosakan harta benda termasuk pakaian dalam musibah banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia.

Misi yang dicetuskan oleh kumpulan pengamal media sukan tanah air ini telah mengumpul pakaian sukan terpakai dan baharu daripada semua orang ramai dan penggiat sukan termasuk bekas atlet, pegawai dan pasukan sukan seluruh negara.

Tujuan misi ialah membantu mangsa banjir, terutama anak-anak dan golongan belia serta murid sekolah yang kehilangan atau kerosakan pakaian sukan akibat banjir. - KitaReporters


22
14
0
9
0
You will be interested