SEORANG anak, Amira Natasha Noor Ali Zam (gambar) mencari ayahnya, Noor Ali Zam Bakar, 47, yang dulu bertugas sebagai anggota tentera dan berkhidmat di kem tentera, Sarawak untuk menjadi wali pernikahannya yang akan berlangsung pada November 2022 depan.
Amira, 22, memberitahu kali terakhir dia bertemu ayahnya ketika berusia empat tahun. Ketika itu ayahnya masih bersama keluarganya.
Hanya selepas kelahiran adik bongsunya dan pada masa yang sama terbongkar kisah ayahnya berkahwin lain, terus ayah dan isteri baharunya menghilangkan diri tanpa berita.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan usaha mencari ayah
Amira Natasha Noor Ali Zam bersama ibunya.
"Sehingga kini sudah 18 tahun ayah menghilangkan diri dan sekeluarga tidak tahu di mana dia berada sekarang. Kami perlu mencarinya untuk kepastian dia masih hidup atau sebaliknya.
"Kami sangat berharap dapat menemui ayah segera untuk mewalikan pernikahan saya hujung tahun ini. Semoga ada orang atau kenalan tentera yang masih mengenali ayah kami dan memaklumkan anak-anak merindui dan mahu melihat wajahnya," katanya.
Amira dia juga tidak ingat tentang rupa paras ayahnya kerana tidak meninggalkan sekeping pun gambarnya. "Tetapi kata mak, wajah abang dan adik bongsunya mempunyai iras bapa," katanya.
Ayahnya berasal dari Kedah dan berkahwin dengan ibunya, Tinawati Salleh, 50, warga Sarawak. Mereka kemudian mendapat empat anak, Amira dan tiga lagi adik-beradik lelaki.
Abang sulung Amira, Mohd Shahrul Ridzuan, 25 tahun, manakala anak ketiga, Mohd Rafiqin, 20 tahun, dan bongsu, Mohd Idzham, berusia 18 tahun, yang sedang belajar di kolej vokesional di Kuching.
Amira anak kedua memberitahu, ibunya cuba menghubungi keluarga ayahnya di Kedah namun mereka juga tidak mengetahui sebarang perkhabaran tentang ayahnya dan sehingga kini Amira sekeluarga gagal menjejaki lelaki itu sama ada dia masih berada di Sarawak atau sudah kembali ke Semenanjung.
Beliau berharap semoga kenalan ayahnya dapat memaklumkan anak-anak sedang mencarinya atau meminta saudara mara di sebelah Kedah yang mengetahui perkembangan terkini, menghubunginya.
Amira boleh dihubungi melalui talian 0128823293. - KitaReporters
Anak-anak Noor Ali Zam yang sudah dewasa.