Insan & Komuniti 17 Jun, 2020

Pesakit Covid-19 di AS sembuh! Tetapi bil rawatan RM4.7 juta

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

SELAMA 62 hari Michael Flor, 70, bertarung nyawa melawan Covid-19 di Pusat Perubatan Swedish, Seattle, ibu negeri Washington. Kebanyakan masa di hospital, dia dalam  koma. Keadaanya sangat tenat, tiada harapan  akan sembuh. Malah dia telah pun mengucapkan selamat tinggal kepada keluarganya melalui perbualan telefon ketika dia sedar. : KitaReporters

MICHAEL FLOR


PUSAT Perubatan Swedish di Seattle, Washington tempat Michael Flor dirawat. - Kredit foto: The Seattle Times.


Jururawat terpaksa meletakkan telefon ke telinganya lantaran dia tidak berdaya untuk memegangnya.

Namun ditakdirkan umur Flor panjang!!

Setelah menjalani rawatan lebih dua bulan di bawah pengawasan Ketua Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pusat Swedish, Dr. Anne Lipke, Flor sembuh dan dibenarkan keluar hospital.  

Dr. Lipke menganggap Flor sebagai ‘pesakit istimewanya’.

Namun apabila keluar dari hospital, satu lagi kejutan besar menanti Flor. 

Hampir sahaja denyutan jantungnya terhenti kerana terkejut. Ini berlaku apabila dia mendapat bil rawatannya.

Memetik laporan The Seattle  Times, bil yang perlu dijelaskan oleh Flor berjumlah AS$1.1 juta atau RM4.7 juta untuk keseluruhan rawatan di hospital berkenaan.

PENGARAH Unit Rawatan Rapi Pusat Perubatan Swedish merangkap doktor peribadi Michael Flor, Dr. Anne Lipke. - Kredit foto: The Seattle Times. 


Flor dimasukkan ke hospital pada 4 Mac 2020 dan dibenarkan keluar hospital pada 5 Mei. Ramai menganggap sebagai satu keajaiban apabila dia sembuh kerana keadaannya yang tenat.

Bukan sahaja dia gembira kerana telah sembuh daripada Covid-19, malah diraikan sebagai hero apabila dibenarkan keluar hospital.

Namun kegembirannya bagai diragut apabila menerima bil yang begitu tinggi  sehingga perincian bil itu sahaja sebanyak 181 muka surat.

Bayaran ini termasuklah caj untuk ICU, pengunaan ventilator, di samping segala rawatan dan perubatan yang diterimanya sepanjang di hospital.

Bagaimanapun Flor lega kerana sekalipun bilnya begitu tinggi dia tidak perlu membayar kesemua jumlah bil. Sebahagian besar bil tersebut akan dibayar oleh insurans kerana dia dilindungi oleh Medicare, iaitu program insurans bagi warga emas Amerika.

MICHAEL Flor diraikan bagai wira ketika dibenarkan keluar hospital selepas sembuh daripada rawatan Covid-19. - Kredit foto: The Seattle Times.


Oleh kerana dia mendapat rawatan hanya kerana Covid-19 dan tidak ada penyakit sampingan, kemungkinannya dia tidak akan membayar langsung bil berkenaan.

Ini kerana Kongres Amerika telah meluluskan bajet AS$100 bilion (RM427bilion) sebagai pakej rangsangan kepada syarikat insurans dan hospital yang merawat pesakit Covid-19.

Namun begitu Flor sedih kerana menyedari walaupun tidak membayar bil berkenaan, namun sebenarnya pembayar cukai yang akan  membayar.

Menceritakan reaksinya kepada The Seattle Times  apabila menerima bil rawatan pada 12 Jun 2020 lalu, Flor yang kini berehat di rumahnya di barat Seattle memberitahu, dia terkejut dan mengeluh: “Tingginya!” 

Bayangkan, bil untuk bilik khas di dalam ICU sahaja dicaj AS$9,736 sehari (RM41,475)

Bilik khas ini disita dan hanya boleh dimasuki oleh kakitangan perubatan yang memakai pakaian perlindungan diri (PPE) lengkap. Dia berada di dalam bilik tersebut selama 42 hari.

Flor juga menggunakan mesin alat bantuan pernafasan (ventilator) untuk 29 hari dengan kos AS$2,835 (RM12, 077) sehari

Selain itu, hampir suku daripada keseluruhan bil ialah caj untuk ubat.

Caj ini semua belum termasuk bayaran  pusat pemulihan di mana Flor berehat dan melalui proses penyembuhan selama dua minggu

Jelas sekali bayaran perubatan begitu tinggi Amerika , khususnya dalam rawatan Covid-19. 

Syarikat-syarikat insurans meramalkan kos rawatan untuk Covid-19 sahaja boleh mencecah sehingga AS$500 bilion (RM2.136 trilion).

Oleh itu, mereka beranggapan RM100 bilion yang telah diluluskan oleh Kongres adalah tidak mencukupi. Mereka mahu Kongres segera meluluskan peruntukan tambahan. KitaReporters

3
1
1
1
1
You will be interested