Insan & Komuniti 13 Feb, 2021

Terima kasih LZS! Tolong Amirul Aliff penghidap kepala besar! Bantu Ain jaga ibu sakit strok!

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this

Ibu Amirul Aliff menerima bantuan awal dari Lembaga Zakat Selangor yang disampaikan oleh Mohd Amir Mohd Azam di rumahnya di Kampung Perepat, Kapar, Klang, Selangor. - Kredit foto: FB LZS.


KEHIDUPAN seseorang remaja biasanya diselubungi kegembiraan dan keseronokan tidak kira semasa di rumah bersama adik beradik, di sekolah atau di mana sahaja bersama rakan sebaya. Malahan mereka juga melakukan berbagai aktiviti bersama bila ada masa terluang.

Bagaimanpun ia berbeza dengan kehidupan harian seorang remaja di Kampung Perepat, Kapar, Klang, Selangor yang terpaksa melupakan semua itu, sebaliknya hanya terpaksa berbaring sepanjang masa di rumah.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan LZS:

https://kitareporters.com/search?search=LZS



Inilah nasib yang terpaksa dilalui Amirul Aliff, remaja menjangkau usia 15 tahun yang terlantar dan terpaksa berbaring setiap ketika disebabkan menghidap sejenis penyakit yang dikenali sebagai Hydrocephalus atau kepala besar.

Melihatkan keadaannya yang terlantar sepanjang masa tanpa boleh bangun mengundang sebak dan sayu siapa sahaja datang berkunjung menziarahinya. 

Selain itu ibunya pula perlu sentiasa berada di sisi untuk membantu jika dia memerlukan sesuatu.

Menurut Mohd Amir Mohd Azam daripada Skuad Saidina Umar Pejabat Lembaga Zakat Selangor (LZS) Cawangan Klang, beliau diberitahu Amirul Aliff mengidap penyakit tersebut sejak ia masih kecil lagi.

Untuk penyakit yang dihidapi Amirul dengan keadaannya sekarang kos perubatan termasuk keperluan hariannya agak tinggi, catat beliau melalui laman media sosial agensi itu pada Selasa, 9 Februari 2021.

Ayah beliau hanyalah seorang pemandu lori roti yang tidak mampu menyediakan kos keperluan perubatan yang agak tinggi untuk anaknya. Dengan kerjayanya juga kadangkala tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keperluan seisi keluarga.

Hasil maklumat awam yang prihatin, pihak Skuad Saidina Ummar LZS mengunjugi Amirul Aliff dan mendaftarkan keluarganya sebagai asnaf miskin setelah memperolehi maklumat lengkap.

Pihak LZS juga memberi sumbangan pendahuluan wang tunai sementara menunggu bantuan lain yang bakal menyusul kemudian.


Pegawai Skuad Saidina Ummar Lembaga Zakat Selangor Cawangan Gombak bersama Ketua Kampung Sungai Chinchin dan Amil Kariah Sungai Chinchin semasa mengunjungi Ain di rumah sewanya di Kampung Sungai Chinchin, Gombak. 


Sementara itu, seorang gadis anak tunggal terpaksa menjaga ibunya yang menghidap strok (angin ahmar) dan beberapa jenis penyakit lain di rumah sewa mereka di Kampung Sungai Chinchin, Gombak.

Ain, 19, ketika ini bekerja sebagai perunding insurans dan dropship kek melalui dalam talian dengan pendapatan purata bulanan RM2,000 memerlukan bantuan perubatan keperluan ibunya.

Beliau sekeluarga sebelum ini tinggal menyewa di Puchong, Selangor nekad berpindah ke rumah sewa baharu tersebut untuk menjimatkan kos perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang agak tinggi kerana perlu menggunakan ambulans atau khidmat Grab Car kerana kedudukan jauh.

Beliau berpindah ke rumah tersebut pada hujung Januari 2021 lalu juga tujuannya untuk dekat dengan rumah makciknya selain HKL.


Ain menunjukkan sebahagian barangan bantuan yang disumbangkan oleh Lembaga Zakat Selangor untuk ibunya yang stroke dan menghidap beberapa jenis penyakit lain.


Ibu Ain sebelum ini bekerja sendiri sebagai perunding pelaburan. Bagaimanapun pada Disember 2020 disahkan menghidap strok oleh doktor di HKL dan keadaanya terlantar sekarang.

Pada Ahad 7 Februari 2021, Skuad Saidina Ummar LZS Daerah Gombak bersama Amil Kariah Kampung Sungai Chinchin dan Ketua Kampung Sungai Chinchin mengadakan kunjungan ziarah hasil maklumat daripada FB Uncle Kentang (Kuan Chee Heng).

Bagaimanapun semasa ziarah tersebut, ibu Ain tiada di rumah kerana menjalani rawatan susulan strok dan penyakit-penyakit lain yang dihidapinya di HKL sejak 1 Februari 2021 lalu.

Pihak LZS memberikan sumbangan awal wang tunai untuk mengurang beban dan kerisauan Ain untuk membeli bekalan lampin dan susu ibunya. Beliau juga akan diberikan bantuan bulanan. 


Ain memberikan maklumat kepada pegawai Skuad Saidina Ummar, Lembaza Zakat Selangor Cawangan Gombak.


Ain juga didoakan sentiasa tabah dan diberi kekuatan dalam urusan menjaga ibunya yang sakit, manakala untuk Amirul Aliff diharap segera sembuh dan keluarganya terus istiqamah atas ujian terpaksa ditempuh.

Pihak LZS berharap sesiapa sahaja yang ingin membantu kedua-dua keluarga ini meringankan tanggungan hidup mereka salurkanlah sumbangan dengan berzakat melalui pejabat-pejabat LZS daerah berhampiran. - KitaReporters


1
0
0
0
0
You will be interested