Insan & Komuniti 23 May, 2021

COVID-19: Pahang buka dua lagi PKRC di Kuantan! Sebagai persiapan awal jika kes terus meningkat!

@nur ain darwishah
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan.

Share this


KERAJAAN Pahang akan membuka dua Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Kuantan sebagai persiapan awal sekiranya jumlah kes positif wabak ini terus meningkat.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata dua pusat PKRC terbabit ialah Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) dan Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Kampus Gambang.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan PKRC


“Dua pusat kuarantin bagi pesakit berisiko rendah ini dibuka bagi memastikan sistem kesihatan di negeri ini tidak lumpuh sekiranya terus berlaku pertambahan kes positif COVID-19 di negeri ini.

“PKRC KUIPSAS dijangka beroperasi sepenuhnya esok (Ahad, 23 Mei 2021) dan satu lagi PKRC di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang sedang dalam proses persiapan dan dijangka boleh mula digunakan dalam tempoh dua atau tiga hari lagi,” katanya  ketika dihubungi di Kuantan pada Sabtu, 22 Mei 2021.

Beliau berkata pertambahan PKRC yang dibuka itu  bukan bermakna penularan wabak COVID-19 di negeri ini berada pada tahap yang membimbangkan.

“Pertambahan PKRC ini bukan bermakna situasi penularan wabak ini (COVID-19) di negeri ini berada pada tahap membimbangkan tetapi pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mengambil langkah awal untuk memastikan tidak berlaku situasi kelam-kabut jika saat akhir baru kita nak buat (persiapan).

“Ingin saya maklumkan kepada semua rakyat Pahang bahawa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri sedang melakukan usaha terbaik bagi membendung (penularan) wabak ini dan kita sangat berharap agar semua pihak dapat memberi kerjasama, terutama dengan mematuhi semua Prosedur Operasi Srandard (SOP) yang sudah ditetapkan,” katanya.



Beliau berkata dengan pembukaan PKRC di KUIPSAS, ia menjadikan sebanyak empat buah pusat kuarantin kini beroperasi di negeri ini.

“PKRC di KUIPSAS ini merupakan PKRC keempat selepas kita menggunakan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKMM), Kuantan; Institut Latihan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (i-KPKT) di Bentong dan Kompleks Sukan Pahang (SUKPA), Kuantan sebelum ini,” katanya.

Menurut beliau lagi, PKRC di KUIPSAS mampu memuatkan seramai 200 pesakit berisiko rendah manakala jumlah pesakit yang boleh ditempatkan di PKRC Kompleks Sukan UMP pula akan dimaklumkan selepas semua persiapan teknikal membabitkan susun atur katil selesai dilakukan. - KitaReporters


0
0
0
0
0
You will be interested