Pertubuhan Kebajikan Ilmu dan Amal Selangor menjalankan inisiatif mengumpulan dana untuk membeli 1,000 buah tablet yang bakal diagihkan kepada 1,000 keluarga miskin dan kurang mampu untuk membolehkan anak-anak mereka belajar di rumah melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian. - Kredit foto: Pertubuhan Kebajikan Ilmu dan Amal Selangor.
USAHA menyediakan alat kemudahan anak-anak belajar secara dalam talian di rumah agak menyukarkan bagi keluarga miskin dan kurang mampu terutama keluarga asnaf dan mereka yang ramai anak bersekolah.
Dalam keadaan ekonomi yang semakin merudum ketika ini sudah tentulah mereka mengharap ihsan ada pihak sudi membantu bagi menyediakan alat pembelajaran tersebut termasuk tablet,telefon pintar dan laptop.
Menyedari keadaan ini sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Kebajikan Ilmu dan Amal Selangor melakukan inisiatif membantu anak-anak asnaf berkenaan dikategorikan sebagai asnaf memenuhi keperluan mereka belajar secara dalam talian di rumah.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan anak asnaf:
https://kitareporters.com/search?search=anak+asnaf
Melalui program yang dikenali sebagai "Sumbangan Tablet Untuk Asnaf ", NGO itu menyasarkan pengumpulan dana sebanyak RM300,000 bagi pembelian 1,000 buah tablet bagi diagihkan kepada 1,000 keluarga miskin dan tidak berkemampuan.
Menurut Presidennya, Muhammad Naim Hasim, projek kebajikan ini dilancar bagi membantu anak-anak miskin memiliki tablet bagi kemudahan mereka belajar melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Katanya, persatuan mengambil berat dan memandang serius keadaan terpaksa dilalui keluarga miskin dan kurang mampu dalam menghadapi masalah pembelajaran anak-anak berikutan kekangan ekonomi terutama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ini.
"Memiliki akses pendidikan merupakan keperluan anak-anak bersekolah tentulah menjadi beban kepada ibu bapa golongan berkenaan lebih-lebih lagi dengan keadaan sekarang," ujarnya melalui laman sosial pertubuhan itu.
Selain itu, katanya, memiliki akses pendidikan yang sempurna adalah hak semua namun bukan seluruh keluarga mampu menyediakan bahan-bahan tersebut untuk kemudahan anak-anak belajar secara dalam talian.
Disebabkan masalah ekonomi keluarga asnaf ini terpaksa belajar di rumah secara dalam talian dengan bergilir-gilir menggunakan telefon pintar.
Muhammad Naim berharap orang ramai terutama mereka yang berkemampuan dapat sama-sama membantu menjayakan program kebajikan tersebut semata-mata membolehkan anak-anak asnaf dapat belajar dengan mudah.
Katanya, melalui dana sumbangan orang ramai program 1,000 tablet untuk 1,000 keluarga itu nanti dapat membantu anak-anak yang memerlukan mengikuti pelajaran tanpa tercicir.
Konsep PdPR terpaksa dilaksanakan sejak sesi persekolah tahun ini yang bermula 20 Januari 2021 lalu bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Secara Bersemuka berikutan pelaksanaan PKP 2.0.
Muhamad Naim Hasim,Presiden Pertubuhan Kebajikan Ilmu dan Amal Selangor.
Orang ramai boleh menyalurkan dana Sumbangan Tablet Buat Asnaf mengikut pakej yang ditentukan. Untuk Pakej A untuk sumbangan sebanyak RM300, Pakej B (RM100), Pakej C (RM50) dan Pakej D (RM30).
Setiap sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank bernombor 562991019074 dan untuk rujukan tandakan "TabletBuatAsnaf".
Untuk maklumat lanjut mengenai program bantuan tablet buat asnaf ini, boleh menghubungi Muhamad Naim menerusi talian 019-6023803. - KitaReporters
Bagi keluarga miskin dan kurang mampu yang memiliki ramai anak bersekolah terpaksa menggunakan telefon pintar secara bergilir untuk belajar secara dalam talian di rumah.
Bagi anak-anak ini, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah secara dalam talian adalah suatu yang baharu buat mereka.
Bagi anak-anak yang masih di sekolah rendah mereka perlu diberi bimbingan semasa mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah secara dalam talian supaya mereka faham segala pelajaran diterima.