Insan & Komuniti 23 Sep, 2021

Ken Worden pakar motivator! Dollah, Malek, Gunalan dedah perangai pelik! Pernah minum air kasut!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this


PEMBERIAN sehelai kemeja-T daripada Ken Worden kini menjadi barang paling bernilai kepada bekas pemain bola sepak Selangor, K Gunalan selepas jurulatih itu meninggal dunia pada Isnin, 20 September, 2021 lalu.

Menurut Gunalan, Worden memberi kemeja-T itu sebagai hadiah selepas dia dipilih memenangi anugerah Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Piala FA 1991.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bola sepak


“Pada perlawanan akhir itu, Selangor mengalahkan Perak 1-0. Ia adalah kejayaan pertama Worden sebagai jurulatih kami.

“Saya masih ingat, sebaik sahaja sampai ke hotel penginapan selepas perlawanan itu, Worden mengeluarkan sehelai T-shirt dan memberikan kepada saya sambil berkata ‘Ini hadiah daripada saya kerana kamu terpilih sebagai pemain terbaik’.

“Ia hanya sehelai T-shirt biasa. Saya sendiri sudah lupa jenamanya tapi ia sangat bermakna kerana dihadiahkan secara peribadi oleh seorang jurulatih. Ia adalah satu penghargaan.

“Saya masih menyimpan T-shirt itu, cuma tak tahu di mana saya letak. Bila mendapat berita Worden meninggal dunia Isnin lalu, saya teringat kembali T-shirt pemberiannya itu, ia akan jadi kenangan dan barang paling berharga kepada saya sekarang,” ujar Gunalan.

K Gunalan. Kredit foto: The Star


Ia adalah secebis kenangan Gunalan sepanjang bermain di bawah bimbingan Worden yang menjadi jurulatih Selangor sebanyak tiga kali iaitu pada 1991, kemudian 1995-1996 dan 2002.

Bagi Gunalan, Worden adalah jurulatih terbaik yang membentuk dirinya serta pemain-pemain muda Selangor ketika itu seperti Azman Adnan, Malek Rahman, Shahril Arsat, P Maniam dan ramai lagi menjadi pemain yang berjaya.

“Beliau bijak menaikkan semangat pemain dengan cara memprovokasi kami. Beliau kerap mencabar saya dengan berkata saya belum cukup bagus dan mahu saya bermain lebih baik.

“Kata-kata itu membakar semangat saya untuk membuktikan bahawa beliau membuat penilaian yang salah, jadi setiap kali turun padang, saya akan bermain bersungguh-sungguh.

“Malah, Worden adalah jurulatih yang bertanggungjawab menukar posisi saya daripada pertahanan kanan atau pemain tengah bertahan kepada pertahanan tengah,” ujar Gunalan.


Di bawah bimbingan Worden, Selangor muncul sebagai juara Piala Malaysia sebanyak tiga kali, dua kali Piala Sumbangsih dan sekali juara Piala FA. - Kredit foto: Arena Bolasepak.


Keserasian kedua-dua individu itu terbukti apabila Worden yang kembali menjadi jurulatih Selangor pada 1995 memanggil Gunalan pulang mewakili skuad The Red Giants.

“Pada 1994, saya berhijrah ke Negeri Sembilan. Tapi, apabila Worden kembali menjadi jurulatih Selangor pada 1995, dia mengajak saya pulang. Saya tidak menolak kerana memang suka bermain di bawah bimbingannya,” kata Gunalan.

Sementara itu, seorang lagi bekas pemain Selangor, Abdul Malek Abdul Rahman, menganggap jurulatih kelahiran England itu seorang yang bijak memberi motivasi kepada pemain.

“Saya masih ingat, ketika kami mengadakan latihan di Perth, Australia sebagai persiapan musim 1991, Worden meminta kepada pengurus pasukan, (Allahyarham Datuk) Dr Nordin Selat untuk memberi peluang kepadanya untuk melatih kami dalam satu sesi sahaja.

“Walaupun hanya satu sesi tapi semua pemain sangat menyukai corak latihan Worden. Jadi, apabila beliau akhirnya dipilih menggantikan (mendiang Datuk) M Chandran sebagai jurulatih Selangor, kami semua menyambutnya dengan gembira.

Abdul Malek Abdul Rahman


“Dia seorang yang bijak memberi motivasi. Cakap serta mimik mukanya sudah cukup untuk menaikkan semangat pemain. Kami akan bermain bermatian-matian untuk beliau.

“Satu sikap Worden, apabila dia sudah mempercayai seseorang pemain, dia akan menaruh kepercayaan penuh ke atas pemain itu. Saya adalah antara pemain yang boleh dianggap dalam kategori itu baik dalam skuad Selangor mahu pun pasukan kebangsaan.

“Worden sendiri pernah berkata kepada saya bahawa apabila dia menyediakan senarai kesebelasan utama untuk sesuatu perlawanan, nama saya akan berada nombor tiga selepas penjaga gol dan Dollah Salleh. Begitulah kepercayaannya kepada saya.

“Malah, saya masih ingat, dalam satu perlawanan menentang Johor di Stadium Shah Alam, saya kurang sihat tapi Worden tetap hendak saya bermain. Jadi, saya terpaksa menelan berbelas biji Panadol untuk memastikan saya cepat pulih untuk turun dalam perlawanan itu.


Malek (depan dua dari kiri) dan Gunalan (berdiri empat dari kiri) antara pemain yang menjadi pilihan Worden mewakili skuad kebangsaan semasa beliau menjadi jurulatih.


“Tapi, masuk separuh masa kedua, saya rasa tidak berdaya untuk meneruskan perlawanan, saya minta digantikan tapi Worden tetap memaksa saya bermain.

“Akhirnya, ketika perlawanan sedang berlangsung, saya berlari keluar padang kerana ketika itu pandangan saya sudah kelam. Saya sudah tidak peduli kalau Worden hendak marah dengan tindakan saya itu,” cerita Malek.

Menurut Malek, kali terakhir dia menemui jurulatih itu adalah pada 2013 yang mana ketika itu Worden datang untuk meminta peluang menjadi jurulatih pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Apabila beliau dapat tahu saya diberi tugasan oleh ATM untuk membentuk pasukan itu pada 2013, Worden menemui saya untuk memohon dilantik sebagai jurulatih tapi saya tidak dapat memenuhi hajatnya kerana kesihatannya sudah merosot. Kami akhirnya memilih B Sathianathan.

“Itulah pertemuan terakhir kami. Saya akan kenang Worden sebagai jurulatih terbaik yang banyak berjasa kepada saya, Selangor dan Malaysia,” ujar Malek.


Kredit foto: FB Selangor FC


Worden, 78, kelahiran England, meninggal dunia di Hospital Besar Townsville di Queensland, Australia, pada Isnin, 20 September, 2021.

Beliau dikenang sebagai jurulatih yang membantu Selangor menjulang Piala Malaysia sebanyak tiga kali, sekali Piala FA dan dua Piala Sumbangsih.

Bekas pemain Burnley dan Preston North End itu pertama kali melatih Selangor pada 1991 dan terus membawa pasukan itu menjulang Piala FA selepas mengalahkan Perak 1-0.

Setahun kemudian, beliau dilantik sebagai jurulatih skuad kebangsaan dengan rekod membanggakan apabila sepanjang dua tahun membimbing pasukan itu, Malaysia menjuarai Kejohanan Jemputan Vietnam, Piala Jakartaraya dan Pestabola Merdeka.


Worden meraikan kejayaan Selangor bersama Azman Adnan. - Kredit foto: NSTP


Kegagalan pada kelayakan Piala Dunia dan Sukan SEA 1993 menyaksikan Worden meninggalkan skuad kebangsaan dan beralih angin ke Singapura. Namun, hanya selepas beberapa bulan melatih pasukan republik itu, beliau kembali ke pangkuan Selangor.

Pada 1995, Selangor di bawah kendalian Worden menjulang Piala Malaysia dan pada 1996, mempertahankan kejuaraan di samping turut menjuarai Piala Sumbangsih sebelum beliau meninggalkan pasukan itu untuk meneruskan kerjaya di Australia.

Beliau kembali ke kancah bola sepak Malaysia pada 1999 untuk melatih Sabah, namun cintanya terhadap Selangor begitu mendalam apabila sekali lagi menyertai The Red Giants pada 2002 untuk membawa pasukan itu menjuarai Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.

Worden memeluk Dollah Salleh selepas Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka 1993. - Kredit foto: NSTP


Worden janji kalau menang dia minum air dalam kasut dan dia buat - Dollah Salleh


Bekas penyerang skuad negara, Dollah Salleh yang dihubungi Bernama pula berkata Worden sering membuat perjanjian pelik serta mengujakan kepada pemain sekiranya pasukan berjaya meraih kemenangan.

"Dia (Worden) selalu buat perjanjian pelik, satu kali itu di Indonesia dia janji kalau menang dia minum air dalam kasut dan dia buat. Macam-macam lagi dibuat," jelas Dollah. 

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Kenneth Joseph Worden akan terus dikenang sebagai salah seorang jurulatih hebat yang pernah mewarnai bola sepak Malaysia. – KitaReporters

Kredit foto: FB Selangor FC

  

15
9
0
12
1
You will be interested